Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    
Showing posts with label Fonetik Dan Fonologi. Show all posts
Showing posts with label Fonetik Dan Fonologi. Show all posts

Saturday, 30 May 2020

Asas Vokal dan Pengucapan dalam Drama

Dalam drama, vokal dan pengucapan merupakan aspek yang memainkan peranan penting untuk memastikan drama tersebut menarik perhatian penonton. Dalam hal ini, pelakon bagi sesebuah drama memainkan peranan penting untuk menarik minat dan perhatian penonton terhadap drama tersebut. Oleh yang demikian, pelakon perlulah menguasai pelbagai kemahiran dalam aspek vokal dan pengucapan. Dengan menguasai aspek tersebut, pelakon dapat melontarkan suaranya dengan baik. Lontaran suara yang baik juga memainkan peranan penting untuk membantu pelakon menyampaikan emosinya kepada penonton. Secara umumnya, asas vokal dan pengucapan dalam drama dapat dibahagikan kepada pernafasan, vokal dan variasi vokal.
Asas Vokal dan Pengucapan
·       Pernafasan
·       Vokal
·       Variasi Vokal

Pernafasan

Pernafasan memainkan peranan penting dalam drama. Menurut Mana Sikana (1985), penafasan yang baik membolehkan pelakon menghidupkan watak yang dillakonkan dengan baik. Secara amnya, terdapat empat jenis pernafasan yang sering digunakan oleh pelakon untuk memastikan lakonannya berkesan. Setiap perrnafasan tersebut mempunyai fungsi tertentu yang membantu pelakon dalam lontaran vokal yang dianggap sebagai aspek penting dalam drama. Jadual 3.2 menunjukkan jenis pernafasan yang terdapat dalam drama:
Jenis Pernafasan
Huraian
Pernafasan dada
·       Hanya sesuai sebagai aktiviti pemanasan pernafasan yang akan mengeluarkan vokal. Contohnya dalam latihan humming.
·       Walau bagaimanapun pernafasan dada kurang sesuai digunakan untuk melafazkan dialog kerana boleh menjejaskan lakonan.
·       Ini kerana bahu menjadi kaku dan dada membusung akibat udara yang diserap masuk ke rongga.
Pernafasan perut
·       Pernafasan perut berlaku apabila kita menyedut udara ke dalam perut dan melepaskannya.
·       Penggunaannya lebih praktikal kerana tidak menjejaskan aksi lakonan. Malah suara yang dikeluarkan daripada perut akan lebih jelas dan bulat.
Pernafasan lengkap
·       Pernafasan lengkap merupakan pernafasan yang menggunakan dada dan perut untuk menyimpan udara sehingga mencapai tahap minimum.
·       Biasanya pernafasan ini sangat penting ketika mengeluarkan vocal tanpa banyak pergerakan.Perna fasan ini sesuai untuk latihan menyanyi, humming dan pemanasan vokal.
Pernafasan diafragma
·       Pernafasan diafragma ialah apabila diafragma kita mengembang apabila kita menyedut udara. 
·       Pernafasan ini lebih kerap digunakan oleh manusia dalam percakapan seharian.
·       Pernafasan ini tidak banyak mengganggu pergerakan dan daya tampungnya lebih banyak berbanding pernafasan perut.


            Berikut adalah latihan pernafasan yang digunakan oleh pelakon untuk menguasai kemahiran lontaran vokal yang baik:
Latihan Lontaran Vokal
·        Menyedut udara seberapa banyak, masuk ke dada sehingga ke perut dan tahan.
·       Gerakkan badan hingga ke batas bawah, kemudian naik ke posisi asal sebelum melepaskan nafas yang ditahan di perut tadi.
·       Menarik nafas dan mengeluarkannya dengan cepat
·       Menarik nafas sedalam-dalamnya kemudian dikeluarkan melalui mulut dengan mendesis, mengumam atau cara-cara lain tanpa melepaskannya terus.


Vokal

Menurut Indirawati Zahid dan Mardian Shah Omar (2006), vokal ialah bunyi-bunyi bersuara yang semasa menghasilkannya, udara dari paru-paru keluar melalui rongga tekak dan rongga mulut secara berterusan tanpa sebarang sekatan atau sempitan yang boleh menerbitkan bunyi-bunyi geseran. Bunyi vokal mempunyai ciri kelantangan dan kepanjangan iaitu bunyi tersebut dapat didengar dengan jelas dan lebih panjang daripada bunyi-bunyi konsonan (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Secara ringkas, bunyi vokal ialah bunyi bahasa yang tidak mengalami sebarang gangguan pada arus udara. Oleh sebab bunyi vokal dihasilkan melalui penyuaraan, maka pita suara merupakan alat yang memainkan peranan penting dalam penghasilan bunyi vokal. Sekiranya bibir dan lidah berada dalam satu keadaan, rongga yang dilalui oleh udara yang bergetar akan menyebabkan terbitnya kelantangan yang mencirikan sesuatu bunyi vokal.
            Alat artikulasi yang terlibat secara langsung dalam penghasilan bunyi vokal ialah lidah, bibir dan lelangit lembut (Abdullah Hassan, 2007). Lidah berperanan menerbitkan kegiatan dan keadaan yang berbeza dan fungsi ini penting dalam menentukan kualiti vokal. Kedudukan lidah boleh dihurailan menurut dua ukuran, iaitu tinggi rendah dan depan belakang. Lidah boleh diturunkan serendah-rendahnya atau dinaikkan sehingga mendekati lelangit keras dalam menghasilkan bunyi. Dengan ini, bunyi yang terhasil boleh rendah dan boleh tinggi.
            Dalam konteks drama, kemahiran vokal juga wujud serentak atau seiringan dengan gerak dalam kemahiran fizikal khasnya dalam latihan obzervasi dan ilusi. Kemahiran tersebut adalah penting untuk keserasian dan kesesuaian dalam menentukan gerak laku yang relevan dengan lontaran suara yang dilakukan. Perkara ini adalah fundamental untuk membolehkan pelakon dalam sesebuah drama mengkoordinasikan pengucapan dan pergerakan dengan baik. Asas vokal yang baik sangat penting kepada seorang pelakon. Menurut Zakaria Ariffin (2001), vokal yang baik mempunyai ciri-ciri berikut:
Ciri-ciri Vokal yang Baik
·        Boleh didengar walau pada jarak yang jauh.
·       Sebutan yang jelas dan bulat (artikulasi)
·       Mesej dialog sampai kepada penonton.
·       Penonton boleh tertarik dengan hanya mendengar vokal


            Vokal yang baik boleh dihasilkan melalui latihan-latihan vocal yang berterusan dan berkesan. Antara latihan vokal yang boleh dilakukan ialah:
Latihan Vokal
·        Tariklah nafas dan keluarkan dengan energi sambil menyebut “wah….”, mengumam “mmm…mmm…”, mendesis “sss…”, vokal aaa…,iii…, uuu…, eee…, ooo….Lakukan berulang kali.
·       Gunakan melodi yang sesuai untuk latihan vokal
·       Berteriak sekuat-kuatnya seperti orang histeria.
·       Bersuara, berteriak, berbicara sambil berjalan, melompat, membongkok, bergulung-gulung, berlari-lari, berpusing, dan berbagai variasi lain.


            Pada peringkat awal latihan tekak akan sakit kerana lendir-lendir tekak sedang terkikis. Namun demikian, latihan vokal jangan keterlaluan sehingga merosakkan peti suara. Latihan lebih mudah dan sesuai dilakukan di tempat terbuka dan luas seperti dalam hutan, di kawasan pantai, sungai dan bukit. Berikut merupakan aspek-aspek penting dalam vokal.

Komponen dalam Vokal
Huraian
Artikullasi
·       Artikulasi sangat penting dalam pengucapan dialog.
·       Kecacatan artikulasi dalam vokal boleh berlaku akibat gugup, bercakap terlalu cepat, latar belakang (latar bahasa) dan kecacatan semulajadi (tidak boleh menyebut R, L, O dan sebagainya).
·       Oleh itu latihan diperlukan untuk mengatasi atau mengurangkan kecacatan artikulasi.
·       Antaranya mengucapkan alphabet dengan betul secara berulang-ulang dan menggunakan kepelbagaian nada sama ada tinggi, rendah, sengau, kecil, besar dan sebagainya.
Getikulasi
·       Getikulasi adalah suatu cara untuk memenggal kata dan memberi tekanan pada kata atau kalimat pada sebuah dialog.
·       Sama seperti artikulasi, getikulasi adalah berkait rapat dengan pengucapan dialog, namun berbeza dari segi fungsinya sahaja yang berbeza. 
·       Getikulasi harus dilakukan jika sesuatu dialog itu mempunyai maksud yang berbeza. Misalnya, “Tuan lambat. Pergi!”
Intonasi

·       Intonasi merupakan tekanan dalam pengucapan dialog agar tidak mendatar dan membosankan.
·       Terdapat 3 jenis intonasi iaitu :
§  Tekanan Dinamik (keras-lembut). Dilakukan untuk memberi makna yang berbeza dalam frasa. Contohnya penekanan pada perkataan yang dihitamkan dalam frasa di bawah:
a.         Saya tidak bersalah !
b.         Saya tidak bersalah !
c.          Saya tidak bersalah !
§  Tekanan Nada (tinggi). Mengucapkan dialog dengan nada dan bukannya seperti biasa.
§  Tekanan Tempo adalah memperlambat atau mempercepatkan pengucapan untuk   tujuan penegasan sesuatu perkara.
Cross Talk
·       Cross talk atau pengucapan mencelah juga sangat penting untuk melatih artikulasi dan intonasi vokal.
Warna Suara
·       Setiap individu mempunyai warna suara tersendiri dan berbeza.
·       Warna suara juga berbeza mengikut usia.
·       Misalnya warna suara kanak-kanak berbeza dengan warna suara orang tua. Latihan peniruan suara kanak-kanak, orang tua, pengemis dan sebagainya boleh memberi variasi warna suara seseorang.
·       Vokal yang baik ada kaitan dengan pernafasan.
·       Oleh itu sebelum mengenali vocal latihan pernafasan perlulah dititik beratkan. 


Pengucapan

Untuk dapat berucap dengan baik, kelenturan alat-alat pengucapan merupakan perkara asas yang perlu dikuasai dan dilatih dengan secukupnya. Alat-alat tersebut termasuklah bibir. Bibir sangat berperanan dalam membentuk huruf-huruf hidup dan huruf M-B-P. Latihan dengan membentuk mulut dengan ruang gerak yang maksimum, otot bibir berulang membentuk bunyi A-I-U-E-O. Pada bentuk O, bibir membuat bulatan dan jangan lupa tarik bibir ke arah depan tetap diperhatikan. Ketika menyebut huruf A, bibir seolah-olah pada posisi menguap membentuk lonjong maksimum. Ketika menyebut huruf I, bibir seolah-olah menarik pipi ke bawah sehingga mulut nampak pipih.
       Lakukan latihan ini berulang-ulang mulai dengan tempoh masa untuk membentuk lambang-lambang bunyi, percepatkan temponya semakin cepat dan cepat lagi. Lakukan latihan dengan menyuarakan gabungan huruf mati dengan huruf di atas, menjadi MA-BA-PA, MI-BI-PI, MU-BU-PU. ME-BE-PE, MO-BO-PO berulang-ulang dari lambat ke sedang dan cepat. Lakukan juga dengan huruf mati yang lain. Lakukan dengan diiringi latihan pernafasan. Seterusnya latihan alat artikulasi rahang. Latihan membantu pembentukan rongga mulut. Tutup dan buka mulut selebar mungkin, berulang-ulang. Doronglah rahang bawah ke muka lalu buka ke bawah lalu tarik ke arah dalam/ leher lalu tutup mulut, rahang rapat, dorong ke muka kembali dan lakukan seterusnya berulang-ulang semakin cepat. Seterusnya, melakukan gerakan rahang bawah ke kanan dan kiri.
            Selain daripada melatih alat-alat pengucapan, salah satu daripada tanggungjawab pelakon bagi memastikan pengucapannya dalam keadaan yang baik, pelakon perlu memastikan suaranya kedengaran dalam panggung teater. Suara adalah sesuatu yang amat bernilai bagi seseorang pelakon. Bagaimanapun, seseorang pelakon itu harus bercakap dengan lantang tanpa menjerit. Justifikasinya agar penonton dapat memahami perkataan yang disebut oleh pelakon terbabit. Justeru, seseorang pelakon hendaklah menggunakan sepenuhnya kekuatan suara baik dari segi vokal, artikulasi, ritma dan tempo suara. Bagi melontarkan suara, latihan pernafasan yang betul boleh membantu. seorang pelakon yang baik suaranya dapat didengari di seluruh auditorium tanpa menjerit. Kunci utamanya adalah ketenangan dari kerongkong dan rahang agar menghasilkan suara yang bergema. Kelantangan suara harus disertakan dengan pengucapan yang jelas atau di sebut artikulasi. Hal ini kerana, suara adalah aset yang amat bernilai kepada pelakon selain teknik atau gaya lakonan.


Variasi Vokal

Menurut Harun Mat Piah (2006), variasi vokal saling berkaitan dengan konteks iaitu maksud pada setiap perkataan dalam setiap ayat yang merujuk kepada dialog sesebuah pementasan. Kemampuan membezakan suara di dalam barisan tone yang enak mencipta kepelbagaian variasi vokal agar vokal tidak monoton atau statik. Suara yang dapat berubah mengikut masa berpotensi mencipta variasi vokal berkesan dengan menggunakan tingkatan nada, lingkungan, infleksi, kekuatan, kadar atau tempo, berhenti sekejap dan irama. Berikut adalah definisi kepada terma yang dinyatakan oleh Harun Mat Piah (2006):
Jenis Variasi Vokal
Huraian
Tinggi atau rendahnya nada
(Pitch) dan lingkungan (Range)
Pitch adalah bagaimana tinggi atau rendah bunyi suara. Manakala range pula adalah ukuran jarak dalam nota antara pitch paling rendah dan paling tinggi.
Infleksi
Infleksi adalah naik dan turunnya pitch pada suara.
Kekuaran (Intensity)
Kekuatan memasukkan emosi di dalam menggabungkan kualiti percakapan dengan kelakuan.
Kadar atau Tempo
Kelajuan dengan satu percakapan.
Tekanan Suara
Tekanan suara merujuk kepada jumlah tekanan, kekuatan atau berat vokal          menempatkan sesetengah kata atau perkataan di dalam ayat. 
Berhenti Seketika (Pause)
Permulaan penangguhan pada suara atau keraguan dalam percakapan.
Irama (Rhythm)
Perubahan dalam senyap, bunyi, kekuatan dan kelemahan dalam percakapan.

Konsep Melayu

Menurut Husin Fateh Din dan Nazariyah Sani (2014), perkataan Melayu dikatakan berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu ‘Malaya’ atau daripada perkataan Tamil ‘Malai’ yang bererti bukit atau tanah tinggi. Terdapat juga sumber sejarah yang mengatakan bahawa perkataan Melayu berasal daripada Sungai Melayu di Jambi. Secara amnya, isitlah Melayu merujuk kepada bangsa austronesia yang terdapat di semenanjung Tanah Melayu yang juga disebut sebagai gugusan pulau Melayu. Gugusan pulau Melayu meliputi Semenanjung Tanah Melayu dan juga gugusan pulau-pulau Indonesia. Oleh sebab itu, selepas Perang Dunia Kedua, timbul hasrat dalam kalangan pejuang Melayu untuk menubuhkan sebuah negara yang mencantumkan Tanah Melayu dengan Indonesia untuk menjadi sebuah negara yang bernama Melayu Raya. Walau bagaimanapun, percantuman dua buah negara tersebut tidak berlaku sehingga ke hari ini.

Pada tahun 1972, Istilah Melayu telah ditakrifkan oleh UNESCO sebagai sebuah suku bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagaskar. Meskipun begitu, menurut Perlembagaan Malaysia, istilah ‘Melayu’ hanya merujuk kepada seseorang yang berketurunan Melayu yang menganut agama Islam. Dalam erti kata yang lain, bukan semua orang yang berketurunan daripada nenek moyang Melayu adalah orang Melayu. Hal ini demikian kerana agama menjadi rujukan penjenamaan Melayu.

            Secara ringkasnya, Melayu dapatlah didefinisikan sebagai negara bangsa yang tinggal di kawasan Austronesia. Bangsa Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi. Dalam konteks negara Malaysia pula, definisi Melayu terlalu sempit kerana hanya menggangap individu yang menganuti agama Islam sebagai Melayu.

Latar Belakang Masyarakat Melayu

Menurut Mohd Ashraf Ibrahim et al. (2018), Asal usul bangsa Melayu merupakan sesuatu yang sukar ditentukan. Meskipun terdapat beberapa kajian dilakukan untuk menjelaskan perkara ini, tetapi kata sepakat antara para sarjana belum dicapai. Secara amnya, terdapat dua teori mengenai asal-usul tentang tempat asal orang Melayu seperti yang dikemukakan oleh ahli arkeologi dan ahli linguistik iaitu teori Yunan dan teori Nusantara.

(i)         Teori Yunan

Berdasarkan teori ini, orang Melayu dikatakan berasal dari kawasan selatan China. Pelbagai nama digunakan untuk merujuk kepada kawasan tersebut, antaranya Indo-China, pantai timur China Selatan, iaitu di Champa dan Kampuchea dan ada pendapat yang mengatakan tempat tersebut ialah burma. Penghijrahan dari utara (bahagian selatan China) ke selatan, iaitu Nusantara, dilakukan secara berkelompok-kelompok. Walau bagaimanapun, sebab-sebab perpindahan masih tidak dapat dipastikan. Perpindahan ini telah menurunkan kelompok Melayu. Kelompok Melayu yang pertama sampai ke kawasan Nusantara dinamakan sebagai Melayu-Proto. Kelompok Melayu kedua pula ialah Melayu Deutro. Golongan Melayu-Deutro pula telah menurunkan orang Melayu moden. Mereka dikatakan mempunyai peradaban yang lebih tinggi daripada Melayu-Proto. Golongan ini lebih pandai dan berkemahiran jika dibandingkan dengan Melayu-Proto. Mereka telah membina petempatan di pesisir pantai dan menetap di situ. Meskipun begitu, teori orang Melayu berasal dari Yunan agak meragukan. Hal ini kerana terdapat bukti arkeologi yang menunjukkan bahawa manusia moden telah menghuni Alam Melayu sejak 35 000 tahun yang lalu. Perkara ini bertentangan dengan tarikh penghijrahan kelompok Melayu proto dan deutro iaitu pada 2 000 SM.

(ii)        Teori Nusantara

Berdasarkan teori Nusantara ini, orang Melayu dikatakan manusia asal yang memang telah wujud di Nusantara. Oleh itu, orang-orang Melayu merupakan orang tempatan. Sarjana yang mengemukakan teori ini menyenaraikan beberapa buah tempat yang dirujuk sebagai kawasan asal Austronesia, iaitu nenek moyang orang Melayu. Kawasan asal yang dicadangkan oleh para sarjana ini adalah berdasarkan beberapa bukti.
Bukti yang pertama dapat dilihat menerusi aspek kebudayaan. Crawfurd telah menyatakan bahawa tanah asal orang Melayu adalah di Sumatera dan Jawa. Hal ini kerana kedua-dua buah kawasan ini memperlihatkan perkembangan kebudayaan yang sangat menonjol berbanding bahagian-bahagian lain di Nusantara. Orang Melayu yang telah bergerak dari Sumatera dan Jawa ke bahagian-bahagian lain di Nusantara seperti di Semenanjung Tanah Melayu ini turut membawa kebudayaan mereka. Hal ini menyebabkan kebudayaan mereka tersebar ke kawasan lain dan lebih menonjol berbanding kebudayaan lain. Oleh itu, orang Melayu tidak berasal dari mana-mana tempat di luar Nusantara, tetapi mereka merupakan induk yang tersebar ke bahagian lain.
Bukti yang kedua ialah aspek bahasa. Marsden mendapati bahawa bahasa Melayu serumpun dengan bahasa Polinesia, Melanesia, dan Mikronesia. Induk kepada bahasa-bahasa ini ialah Austronesia kerana terdapat kekerabatan antara bahasa-bahasa tersebut. Bahasa Austronesia ini tersebar ke pesisir pantai timur (Lautan Pasifik), pantai barat (Lautan Hindi), dan selatan Asia (kawasan Nusantara) sahaja dan tidak termasuk ke wilayah Asia Tengah. Dyen pula menyatakan bahawa orang Melayu berasal dari tiga buah tempat, iaitu Melanesia, Formosa, atau New Guine. Tempat ini berdasarkan bukti bahawa setiap bahasa di kawasan ini mempunyai kekerabatan. Berdasarkan kajian, beliau mendapati bahasa yang terpisah lebih awal mempunyai peratusan kekerabatan yang rendah, sebaliknya bahasa yang baru terpisah mempunyai peratusan kekerabtan yang tinggi. Kekerabatan bahasa dapat dilihat menerusi persamaan beberapa perkataan yang digunakan, persamaan dari segi bentuk kata, dan persamaan dari segi struktur bahasa. Perkara ini menunjukkan bahawa bahasa yang dituturkan di Nusantara berasal daripada induk yang sama.

Fonetik, Jenis Fonetik, Fonologi, Morfologi, Sintaksis, Semantik

Fonetik

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigationJump to search
Linguistik
Linguistik teori
Fonetik
Fonologi
Morfologi
Sintaksis
Semantik
Semantik leksikal
Semantik statistik
Semantik struktur
Semantik prototaip
Stilistik
Preskripsi
Pragmatik
Linguistik gunaan
Pemerolehan bahasa
Psikolinguistik
Sosiolinguistik
Linguistik generatif
Linguistik kognitif
Linguistik pengiraan
Linguistik perihalan
Linguistik sejarah
Linguistik perbandingan
Etimologi
Sejarah linguistik
Senarai ahli linguistik
Masalah yang belum diatasi
Fonetik (daripada perkataan Yunani φωνή (phonê) "bunyi" atau "suara") ialah kajian terhadap bunyi fizikal percakapan manusia. Ia berkaitan dengan sifat fizikal bunyi (fon), serta proses penghasilan fisiologi, penerimaan auditori, dan persepsi neurofizikal.
Ilmu fonetik mula dikaji seawal 2,500 tahun lalu di India purba, berikutan catatan Pāṇini mengenai tempat dan kelakuan penghasilan bunyi bagi bunyi konsonan di dalam buku bertarikh abad ke-5 SM dalam Bahasa Sanskrit. Sistem huruf Indik utama hari ini menyusun huruf konsonan mengikut klasifikasi Pāṇini.

Jenis fonetik[sunting | sunting sumber]

Phonetik mempunyai tiga cabang utama:

Fonologi (daripada Bahasa Yunani: φωνή, phōnē, "suara, bunyi" dan λόγος, lógos, "perkataan, pertuturan, subjek perbincangan") ialah kajian yang dilakukan mengenai pola bunyi bahasa iaitu tentang bunyi-bunyi yang berfungsi dalam sesuatu bahasa. Mengikut Frank Parker (1994), fonologi merupakan suatu bidang yang mengkaji sistem bunyi sesuatu bahasa: iaitu rumus-rumus yang menentukan aspek sebutan.
Dalam tradisi barat, pengkajian tentang bidang fonologi ini telah bermula sejak 200 tahun yang lalu, iaitu bermula lebih kurang pada awal tahun 1800, apabila para ahli bahasa memulakan pengkajian tentang perubahan bunyi bahasa dengan cara membandingkan buni bahasa yang wujud dalam pelbagai bahasa yang berkaitan.
Sehubungan itu dengan kata lain, fonologi ialah ilmu tentang perbendaharaan fonem sesebuah bahasa. Dalam pengkajian fonetik, ahli bahasa mempelajari bagaimana bunyi-bunyi fonem sebuah bahasa direalisasikan atau dilafazkan. Fonetik juga mempelajari cara kerja organ tuhuh manusia, terutama yang berhubungan dengan penggunaan bahasa.

Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur kata, bentuk kata dan penggolongan kata.[1] Struktur kata merujuk kepada susunan bentuk bunyi bahasa atau lambang (dalam tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna.
Bahasa mempunyai tiga sistem yang utama, iaitu fonologi, tatabahasa, dan semantik. Tatabahasa terdiri daripada dua komponen utama, iaitu morfologi dan sintaksis. Bidang morfologi mengkaji morfem dan kata. Kedudukan morfologi adalah pada tingkat paling akhir dan kedua akhir dalam hierarki tatabahasa ( melayu ).

Sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji proses pembinaan ayat.[1] Sintaksis juga bermaksud bidang yang mengkaji hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.

Semantik merupakan kajian makna istilah. Perkataan ini berasal daripada perkataan Yunani Purba σημαντικός "semantikos" yang membawa maksud "erti yang penting".
Selalunya terdapat perbezaan antara "semantik" dengan "sintaksis". Dalam keadaan tersebut, "semantik" merujuk kepada makna perkataan manakala "sintaksis" merujuk kepada struktur ataupun pola yang formal bagi penyataannya (contoh, secara bertulis ataupun bertutur).

Kepentingan Fonetik dan Fonologi kepada Guru Bahasa Melayu

Kepentingan Fonetik dan Fonologi kepada Guru Bahasa Melayu

Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Fonetik dan fonologi merupakan salah satu cabang bidang linguistik yang mengkaji bahasa secara saintifik (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Bidang fonetik adalah suatu bidang kajian mengenai cara menghasilkan bunyi menggunakan alat dan daerah artikulasi untuk tujuan bertutur. Manakala, aspek sistem bahasa merupakan fokus kajian aspek fonologi. Fonetik dan fonologi memainkan peranan yang amat penting dalam konteks pertuturan harian. Dalam konteks pendidikan di sekolah, bidang ini perlulah dikuasai oleh guru bahasa  Melayu kerana dapat memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku secara efektif. Terdapat banyak manfaat yang diperoleh oleh guru bahasa seandainya mereka menguasai bidang ini.

Awang Sariyan (1985) menyatakan bahawa kepentingan ilmu fonetik dan fonologi kepada guru bahasa dalam konteks aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah ialah dapat membantu para pelajar untuk bertutur dengan menggunakan sebutan baku. Penggunaan sebutan baku adalah penting untuk memastikan para pelajar dapat berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan betul.  Dengan menguasai ilmu fonetik dan fonologi, guru dapat mengajarkan para pelajar mengenai cara untuk melafazkan sesuatu perkataan dengan menggunakan kaedah sebutan baku yang berasaskan sebutan fonemik dan sistem ejaan yang memerlukan para pelajar mengetahui tentang cara membunyikan setiap huruf dengan betul. Implikasinya, pelajar dapat mengurangkan penggunaan bahasa dialek tempatan ketika berkomunikasi. Konklusinya, penguasaan terhadap ilmu fonetik dan fonologi terhadap guru bahasa Melayu untuk membantu pelajar menggunakan sebutan baku dalam komunikasi harian ke arah menyeragamkan lagi kaedah sebutan dalam bahasa Melayu.

            Abdullah Hassan (2007) menyatakan bahawa bidang fonetik dan fonologi membantu dalam pembelajaran bahasa kanak-kanak. Guru bahasa yang mempunyai pengetahuan tentang bidang fonetik dan fonologi dapat mengajarkan pelajar khususnya di prasekolah untuk menguasai kemahiran membaca dengan menggunakan kaedah fonetik.  Penggunaan kaedah tersebut membantu pelajar prasekolah membunyikan suku kata dan menggabungkan bunyi-bunyi bahasa menjadi perkataan. Dalam erti kata yang lain, kaedah fonetik ini menfokuskan penguasaan murid terhadap hubungan huruf dengan bunyi huruf tersebut tanpa mengetahui nama huruf. Pengajaran kemahiran membaca berasaskan kaedah fonetik bermula dengan pengenalan huruf vokal , diikuti oleh huruf konsonan, pembentukan suku kata dan pembentukan perkataan yang bermakna. Dalam pada itu, guru bahasa perlulah menggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai untuk memastikan pelajar dapat  memahami kaedah untuk membunyikan sesuatu huruf dengan betul. Secara ringkas, penguasaan guru bahasa terhadap bidang fonetik dan fonologi membantu guru untuk meningkatkan penguasaan kemahiran membaca dalam kalangan pelajar.
               
            Penguasaan terhadap bidang fonetik dan fonologi turut membantu guru bahasa untuk membantu para pelajar untuk menguasai kemahiran bertutur dengan betul. Bertutur merupakan satu cara komunikasi yang kompleks iaitu penghasilan ujarandan melibatkan proses mental yang menggerakkan alat-alat pertuturan untuk mengeluarkan bunyi bahasa yang bermakna (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Selain daripada penghasilan bunyi bahasa, penggunaan unsur-unsur suprasegmental seperti tekanan, intonasi, tempo, rima dan jeda turut diperlukan untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan agar individu tersebut dapat menyampaikan sesuatu mesej.  Unsur-unsur tersebut adalah penting kepada para pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang memerlukan kemahiran bertutur yang tinggi seperti debat, pidato, sajak dan sebagainya yang menekankan aspek-aspek pertuturan. Aktiviti sedemikian memerlukan pelajar menguasai aspek-aspek suprasegmental. Dengan menguasai ilmu fonetik dan fonologi, guru dapat mengajarkan pelajar tentang cara berkomunikasi dengan berkesan melalui pengaplikasian aspek-aspek suprasegmental. Deduksinya, guru bahasa yang menguasai ilmu fonetik dan fonologi dapat mengajar pelajar untuk menguasai aspek-aspek pertuturan dengan betul. 
           
            Dengan menguasai ilmu pengetahuan berkaitan dengan bidang fonetik dan fonologi, guru bahasa dapat mengatasi masalah yang berkenaan dengan sebutan pelajar terutamanya pelajar bahasa kedua (Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Dain, 1982). Hal ini demikian kerana, kebanyakan pelajar bahasa kedua menghadapi masalah untuk membunyikan fonem-fonem segmental yang terdapat dalam bahasa kedua tersebut disebabkan oleh fonem-fonem dalam bahasa kedua tidak terdapat dalam bahasa ibunda mereka. Pelajar bahasa kedua kebiasaannya mengantikan fonem segmental yang terdapat dalam bahasa kedua  dengan bunyi yang paling hampir dengan bahasa ibunda mereka. Sebagai tamsilan, pelajar Cina yang mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua menghadapi masalah untuk menyebut beberapa fonem segmental dalam bahasa Melayu seperti [r] yang digantikan dengan [l]. Dengan menguasai ilmu fonetik dan fonologi, guru bahasa dapat membantu para pelajar khususnya pelajar bahasa kedua untuk menyebut huruf-huruf dalam bahasa kedua tersebut dengan betul. Guru dapat membantu pelajar tersebut untuk membunyikan fonem bahasa kedua dengan betul dengan mengajar pelajar tersebut tentang cara untuk menggerakkan alat artikulasi mereka dengan betul melalui latihan dan bahan-bahan analisis fonetik. Tuntasnya, pengetahuan yang mantap tentang ilmu fonetik dan fonologi membolehkan guru bahasa membetulkan masalah sebutan dalam kalangan pelajar bahasa kedua agar pelajar tersebut dapat membunyikan setiap fonem dalam bahasa kedua dengan betul.

            Kepentingan penguasaan terhadap ilmu fonetik dan fonologi turut membantu guru bahasa untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dengan lebih efektif. Penguasaan terhadap ilmu fonetik dan fonologi membantu guru untuk mengetahui cara melafazkan setiap perkataan berdasarkan sistem sebutan baku (Raminah Sabran dan Rahim Syam, 1985). Dengan itu, guru bahasadapat  mengaplikasikan sebutan baku dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Hal ini disebabkan oleh, penggunaan sebutan baku dalam menyampaikan sesuatu ilmu pengetahuan dapat membantu para pelajar dalam memahami tentang apa yang diajarkan oleh guru kerana penggunaan cara bertutur yang seragam. Seandainya guru bahasa menggunakan pelbagai variasi bahasa sedah tentulah para pelajar tidak dapat memahami apa yang diajarkan oleh guru kerana perbezaan variasi bahasa yang dituturkan. Oleh itu, ilmu fonetik dan fonologi membantu guru untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan disebabkan oleh penggunaan satu variasi bahasa baku standard.

            Secara kesimpulan, ilmu pengetahuan berkenaan dengan bidang fonetik dan fonologi membantu guru bahasa untuk meningkatkan kemahiran berbahasa dalam kalangan murid khususnya dalam aspek pertuturan di samping dapat melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dengan lebih efektif. Untuk menjadi guru bahasa yang baik, pengetahuan tentang bidang fonetik dan fonologi adalah perlu untuk dikuasai oleh guru bahasa tersebut bagi memastikan pelajar dapat membunyikan fonem segmental dalam sesuatu bahasa dengan betul.  Pengetahuan guru bahasa terhadap ilmu fonetik dan fonologi dengan lebih mendalam juga mampu mewujudkan satu cara berbahasa yang seragam.