Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Friday 22 April 2011

FONETIK ARTIKULASI

FONETIK ARTIKULASI

1.0 Pendahuluan

1.1 Pengenalan Ilmu Fonetik dan Fonetik Artikulasi

Fonetik berasal dari perkataan Inggeris phonetics ialah ilmu yang mengkaji bagaimana bunyi bahasa yang dihasilkan. Pengkajian ini bertumpu pada panjang pendek keras lembut, tekanan, intonasi dan irama bagi bunyi bagi satu-satu bahasa Ilmu Fonetik ini juga memperlihatkan bagaimana organ manusia seperti paru-paru, larings, rongga mulut dan hidung turut membantu menghasilkan bunyi bahasa. Jika diikut urutan kajian dalam ilmu linguistik, ilmu fonetik akan menjadi ilmu pertama yang akan dikaji diikuti selepasnya oleh fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik.Bidang fonetik juga melibatkan kajian bagaimana bunyi bahasa itu didengar dan ditanggapi. Menurut Dr. Awang Had Salleh, pengkajian fonetik ini boleh juga dibahagikan kepada tiga bahagian besar iaitu:

a) Kajian dari segi gerakan alat-alat yang menghasilkan bunyi atau fonetik artikulasi.
b) Kajian dari segi pendengaran bunyi yang keluar dari mulut atau fonetik auditori.
c) Kajian dari segi bunyi atau fonetik akustik


Fonetik Artikulasi

Ilmu yang menghuraikan bagaimana gelombang bunyi diproses oleh telinga dan seterusnya dihantar ke otak untuk diproses menjadi bunyi-bunyi yang bermakna. Fonetik artikulasi akan mendedahkan kepada kita bagaimana sesuatu bunyi itu dihasilkan, oleh itu secara langsungnya kita akan diperkenalkan dengan organ-organ yang terlibat dalam penghasilan bunyi bahasa itu. Contohnya, udara bergerak dari paru-paru ke trakea, pita suara, kerongkong, dan akhirnya keluar sama ada melalui rongga mulut dan/atau rongga hidung. Ini akan melibatkan organ-organ sebutan yang tertentu semasa bunyi bahasa itu disebut. Menerusi ilmu ini juga, kita akan mempelajari bagaimana kita boleh mengubah bentuk organ-organ sebutan serta mengolah udara untuk menghasilkan bunyi-bunyi bahasa yang berbeza.


2.0 Penghasilan Bunyi Bahasa

2.1 Sistem Penghasilan Bunyi

1) Paru-Paru (Lungs)

Paru-paru dilindungi oleh tulang rangka dan diampu dibahagian bawahnya oleh oleh diafragma. Semasa Menghembus udara keluar, paru-paru ditekan dan mengecut, dan apabila udara disedut masuk, paru-paru pula akan mengembang Otok-otok yang terdapat di antara tulang rusuk dan diafragma banyak membantu dalam mengekalkan tekanan udara semasa penghasilan bunyi-bunyi bahasa.

2) Larings

Larings terdapat di bahagian atas tengkorak (trachea) dan bersambung dengan paru-paru agar semua udara yang masuk/keluar dari/ke paru-paru akan melaluinya. Ianya mengandungi rawan-rawan trioid, krikoid, dan aritenoid. Di sinilah terdapat pita suara yang juga dikenali sebagai glottis. Pita suara mempunyai dua keping otot dan tisu penyambung yang terbentang antara antara satu sama lain di bahagian tenggkorak. Pita suara melekat pada tulang-tulang aritenoid. Keadaan glotis atau pita suara yang berbeza akan menghasilkan bunyi yang berbeza, sama ada bunyi itu bersuara atau tidak bersuara

3) Farings

Farings terletak atas daripada larings. Farinks berbentuk seperti tiub yang kemudian bercabang kepada dua yang mengarah ke rongga oral (mulut) dan satu lagi mengarah ke rongga nasal (hidung). Farings bertindak sebagai bekas untuk menampung udara yang mampu menghasilkan getaran berdasarkan getaran yang berlaku di pita suara. Getaran bersambung dari golia dan terus-menerus hingga ke bahagian atas farings.

4) Rongga Oral (Mulut)

Rongga ini merupakan bahagian/ organ terpenting kerana ia boleh dipelbagaikan bentuknya untuk menghasilkan bunyi yang pelbagai.Rongga oral/mulut dibumbungi oleh lelangit. Lelangit di bahagian hadapan bertulang keras dan melekat serta tidak boleh bergerak. Ianya dikenali sebagai lelangit keras. Manakala di bahagian belakang dikenali sebagai lelangit lembut. Lelangit lembut boleh digerakkan dan ianya berfungsi untuk menyekat udara dari keluar melalui rongga hidung. Fungsi lelangit dalam pengujuran adalah pelindung (foil) kepada lidah dalam pergerakan artikulasi. Anak tekak juga terletak dalam rongga oral/mulut. Anak tekak ialah daging lembut yang terletak di hujung lelangit lembut dan peranannya perlu diasingkan daripada lelangit lembut.
Organ yang paling penting yang terdapat dalam rongga oral/mulut ialah lidah. Munurut Nor Hashimah Jalaluddin (1998),lidah boleh dibahagikan kepada tiga bahagian besar berdasarkan hubungannya dengan bahagian lelangit, iaitu ( ketika kedudukan lidah ditempat asal):

i. Daun lidah (Blade)-bahagian yang bertentangan dengan gigI-gusi.
ii. Depan lidah (Front)-bahagian yang bertentangan dengan lelangit keras.
iii. Belakang lidah (Back)-bahagian yang bertentangan dengan lelangit lembut.

5) Rongga Nasal (Hidung)

Rongga nasal/hidung merupakan organ yang menghasilkan bunyi-bunyi nasal atau sengau. Apabila pita suara bergetar, velum diturunkan supaya farings, rongga hidung dan mulut dapat berhubung antara satu sama lain. Udara yang bergetar akan menghasilkan bunyi-bunyi nasal/sengau. Bungi sengau akan terhasil apabila pada waktu yang sama udara yang hendak keluar dari rongga mulut tersekat, maka udara yang hendak keluar, akan keluar melalui rongga hidung,




2.2 Organ/Alat/Saluran Sebutan

a) Pita Suara
Mengandungi glotis yang akan berkeadaan terbuka atau tertutup untuk menghasilkan bunyi-bunyi bersuara atau tidak bersuara

b) Anak Tekak (Uvulum)
Sekeping otot yang terdapat di bahagian hujung lelangit lembut. Biasanya belakang lidah akan berinteraksi dengannya untuk menghasilkan bunyi-bunyi uvular.

c) Lelangit lembut. (Velum)
Organ yang lembut dan boleh mengawal udara untuk sama ada keluar melalui mulut atau hidung. Bahagian ini boleh disentuh oleh lidah,khususnya lidah bahagian belakang.

d) Lelangit keras (Palatum)
Merupakan bahagian atas rongga mulut. Jika dirasa dengan lidah, ia berkeadan licin. Selalunya bahagian tengah lidah akan berinteraksi dengannya untuk menghasilkan bunyi [c] dan [j].

e) Gusi-lelangit keras. (Alveopalatum)
Merupakan batas gusi yang terletak di antara gusi dan lelangit keras.
f) Gusi. ( Alveolum)
Merupakan bahagian isi di mana terdapatnya gigi. Bahagian hujung dan daun lidah sering berinteraksi dengannya untuk menghasilkan bunyi-bunyi seperti [t] dan [n].

g) Lidah.
Merupakan organ yang paling aktif dan boleh bergerak ke beberapa daerah dan membentuk pelbagai bentuk. Ia boleh dibahagikan kepada lima bahagian iaitu, hujung lidah, daun lidah, depan lidah, belakang lidah, dan akar lidah. ( Nor’Aini Ismail : 2005).

h) Gigi. (Dental)
Ianya turut membantu dalam penghasilan bunyi. Walaupun gigi atas dan bawah sahaja yang kelihatan dan sering disebut sebagai organ yang berperanan dalam penghasilan bunyi tetapi sebenarnya gigi depan dan belakang juga begitu.

i) Bibir. (Labia)
Ianya boleh dirapatkan untuk menghasilkan bunyi-bunyi seperti [p] dan [b]
atau dirapatkan ke gigi hadapan untuk menghasilkan bunyi [f] dan [v] atau boleh juga dibundarkan dan dileperkan untuk menghasilkan vokal.


3.0 Bunyi-Bunyi Bahasa

Bunyi-Bunyi ujuran boleh dibahagikan kepada konsonan dan vokal. Munurut Nor Hashimah Jalaluddin (1998), faktor utama dalam klasifikasi bunyi-bunyi konsonan ialah titik artikulsi dan cara artikulasi. Di samping itu faktor bersuara dan tak bersuara serta juga kedudukan velum (bagi menentukan bunyi oral atau sengau) memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan bunyi-bunyi konsonan. Manakala faktor utama dalam klasifikasi bunyi vokal pula ialah kedudukan bibir dan darjah turun naik lidah dalam rongga mulut.

3.1 Cara Sebutan Bunyi

Menurut Nor ‘Aini Ismail (2005), cara asas menyebut segmen bunyi itu, sama ada segmen vokal atau konsonan boleh dilihat dari tiga aspek, iaitu:
a) Bunyi oral atau nasal
b) Bunyi bersuara atau tak bersuara.
c) Udara semasa menghasilkan bunyi itu dihalang atau tidak.

a) Bunyi oral atau nasal
Bunyi itu dikatakan sebagai bunyi oral jika udara keluar melalui mulut ketika sesuatu bunyi bahasa itu disebut. Manakala bunyi nasal berlaku apabila lelangit lembut direnggangkan dari farings dan keadaan ini akan menyebabkan udara akan keluar melalui rongga nasal.
Contoh;
Bunyi Oral - [s ], [ p ], [ k ].
Bunyi Nasal - [ m ], [ n ].

b) Bunyi bersuara atau tak bersuara.
Bunyi bersuara terjadi apabila udara melalui pita suara yang bukaan glotisnya agak rapat. Ketika itu pita suara akan bergetar. Bunyi tak bersuara pula ialah bunyi yang terjadi ketika udara melalui pita suara yang bukaan glotisnya agak renggang dan keadaan pita suara ketika itu tidak bergetar
Contoh:
Bunyi bersuara - [v ], [ b ], [ l ].
Bunyi tak bersuara - [ f ], [ p ], [ s ].

c) Udara semasa menghasilkan bunyi dihalang atau tidak.
Penghasilan udara dari papu-paru juga mungkin terhalang sama ada secara penuhnya atau tidak oleh organ-organ tertentu di dalam rongga pertuturan. Contohnya semasa bunyi konsonan plosive dihasilkan. Udara mungkin bergerak secara terus menerus tanpa dihalang dalam rongga pertuturan, seperti semasa menyebut bunyi-bunyi vokal.




3.2 Konsonan

Konsonan ialah segmen bunyi yang ketika menyebutnya, udara akan terhalang sama ada secara sepenuhnya atau tidak di dalam pertuturan dan ianya juga ialah bunyi bahasa selain daripada bunyi vokal. Bunyi konsonan boleh jadi bunyi oral atau bunyi nasal, bersuara atau tak bersuara. Menurut Radiah Yussof (2005), untuk mendeskripsikan sesuatu bunyi konsonan, beberapa aspek boleh digunakan, iaitu:
a. Cara yang utama iaitu oral atau nasal.
b. Cara udara dilepaskan iaitu hentian, letusan, geseran, geteran, sisian, atau geluncuran.
c. Daerah iaitu biladial (dwididir), ladiodental (bibir-gigi), dental (antara gigi), alveolar (gusi), palatal (lelangit keras), velar (lelangit lembut), uvulur (anak tekak), faringal (rongga tekak), atau gotal (pita suara).
d. Keadaan pita suara, sama ada bersuara atau tak bersuara.

3.2.1 Titik Artikulasi Konsonan

Titik artikulasi dan artikultor merupakan nadi utama dalam menghasilkan bunyi-bunyi bahasa. Menurut Nor Hashimah Jalaluddin (1998), terdapat dua belas titik artikulasi yang terlibat bagi menghasilkan bunyi-bunyi bahasa (konsonan). Beliau berpendapat titik artikulasi ialah alat tutur manusia yang tidak boleh bergerak. Ia bersifat statik. Manakala artikulator pula ialah alat-alat tutur yang boleh bergerak seperti lidah, rahang, lelangit lembut dan bibir. Bibir boleh boleh termasuk dalam titik artikulasi di samping artikulator. Ini kerana bibir atas boleh dianggap sebagai titik artikulasi sementara bibir bawah pula boleh dianggap sebagai articulator. Pengelasan ini adalah berdasarkan pada ciri boleh bergerak yang membezakan antara titik artikulasi dengan artikulator. Titik artikulasi tersebut ialah:

1) Dua bibir
2) Bibir-Gusi
3) Gigi (Dental)
4) Gigi-Gusi (Alveolus)
5) Gelungan ( Refroflex)
6) Lelangit keras – Gigi gusi
7) Gigi Gusi – Lelangit keras
8) Lelangit keras
9) Lelangit Lembut
10) Anak Tekak


3.2.2 Klasifikasi Konsonan

a) Sengau
Bunyi sengau dihasilkan dengan menurunkan velum agar udara dapat melalui rongga hidung dan rongga mulut. Udara yang melalui rongga mulut akan disekat di titik-titik artikulasi yang tertentu dengan artikulasi. Contohnya [m], [ŋ ], [η ], [Ν] .

b) Letupan ( Afrikat)
Letupan ialah bunyi yang mengalami halangan udara sebentar dan kemudiannya dilepaskan secara perlahan ketika menyebutnya. Contohnya [ c ] dan [ j ]

c) Getaran (Tril)
Getaran ialah bunyi yang terhasil apabila udara akan bergetar ketika disebut. Getaran ini disebabkan oleh getaran lidah atau alat sebutan yang lain. Contoh. [ r]

d) Geseran (Frikatif)
Geseran ialah bunyi semasa menyebutnya, udara yang dilepaskan secara bergeser di sempitan yang dilakukan oleh dua alat sebutan Contoh [ s ], [ z ], [ f ], [  ],
[ β], [ θ ].

e) Sisian (Lalerar)
Bunyi sisian dihasilkan dengan menaikkan hujung lidah ke arah bahagian belakang gigi dan udara akan keluar melalui sisi lidah. Contoh [ l ]

f) Tamparan
Tamparan mempunyai persamaan dengan getaran kecuali hujung tidak digetarkan. Hujung lidah ditamparkan sekali sahaja bagi menghasilkan bunyi tamparan. Contoh [ ſ ] [ R ]

g) Malaran Tak Bergeser
Bunyi ini dikenali juga sebagi bunyi separuh vokal. Ianya ialah bunyi yang ketika menyebutnya berlakunya penggeluncuran udara. Contoh [ w ] [ y ].


3.3 Vokal

Vokal ialah bunyi yang dihasilkan secara lantang dan udara akan bergerak terus menerus dari paru-paru ke rongga pertuturan tanpa halangan. Bunyi-bunyi vokal melibatkan udara egresif sahaja iaitu udara yang dihembus keluar semasa menghasilkan bunyi ini. Ketika bunyi-bunyi vokal dihasilkan, tiada sekatan dan penyempitan berlaku di antara titik artikulasi dengan artikulator.
Menurut Radiah Yussof (2005), untuk mendeskripkan sesuatu vokal, kita perlu menggunakan aspek:
i. Lidah - sama ada tinggi, tengah, atau rendah
ii. Bahagian lidah - sama ada tengah, atau belakang
iii. Keadaan bibir - sama ada neutral, leper atau bundar.


3.3.1 Vokal Sistem Kardinal – Daniel Jones (1956)

Pengelasan vokal yang terbaik adalah berdasarkan vokal system kardinal yang dihasilkan leh Daniel Jones (1956). Rajah vokal kardinal adalah seperti yang berikut:
Apabila menghasilkan bunyi-bunyi vokal, lidah dan bibir dianggap mempunyai peranan terpenting. Lelangit lembut (terutama velum) pula akan menentukan sama ada bunyi vokal itu bunyi atau bunyi sengau.
Lidah boleh memberikan berbagai-bagai bentuk dan rupa bagi menghasilkan bunyi-bunyi vokal yang berbeza. Lokasi dan kedudukan lidah berasaskan kepada
dua paksi iaitu yang mendatar dan yang menegak. Bahagian mendatar ialah dari depan ke belakang mulut sementara yang menegak pula ialah dari lantai mulut hingga ke bumbung mulut.

Terdapat empat bahagian bagi paksi menegak, iaitu:
i. Bahagian sempit/tinggi
ii. Bahagian separuh sempit/tinggi
iii. Bahagian separuh luas/rendah
iv. Bahagian luas/rendah

Paksi menegak ini bermula dari dari lantai lidah hingga ke atas iaitu ke bahagian lelangit. Tinggi atau sempit merujuk kepada kedudukan lidah yang hampar dengan bumbung mulut. Merujuk kepada mendatar, tiga titik mendatar itu ialah kedudukan depan, tengah dan belakang lidah. Selain lidah, bibir turut memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan bunyi vokal. Bentuk bibir boleh dibahagikan kepada bundar dan hampar. Bibir akan menjadi bundar apabila menghasilkan bunyi-bunyi vokal belakang. Manakala bentuk hampar akan terjadi apabila bunyi-bunyi vokal depan dibunyikan .


3.4 Diftong

Bunyi diftong berkait dengan vokal, ini adalah kerana bunyi diftong melibatkan dua deretan vokal yang hadir serentak. Menurut Nor Hashimah Jalaluddin (1998), bunyi diftong terhasil apabila vokal hadir selepas bunyi vokal yang satu lagi menggeluncur ke arah vokal yang mula-mula hadir tanpa menunjukkan sebarang puncak kelantangan. Ketiadaan puncak kelantangan semasa penghasilan bunyi diftong menjadi bunyi tersebut sebagai satu suku kata sahaja.


Terdapat tiga jenis diftong dalam bahasa Melayu iaitu /ai/, /oi/ dan /au/.
Bunyi /i/ aka menggeluncur ke bunyi /a/ dan bunyi /i/ akan hilang puncak kelantangannya. Begitu juga bunyi /i/ pada diftong /oi/ dan /u/ pada diftong /au/


4.0 Penutup

4.1 Kesimpulan

Fonetik artikulasi adalah merupakan satu cabang ilmu dari bidang Fonetik. Fonetik artikulasi memfukoskan kajian dan perbincangan bagaimana bunyi bahasa dihasilkan dengan bantuan organ dalaman. Menerusi ilmu ini kita akan didedahkan dan diperkenalkan kepada sistem penghasilan bunyi dan organ sebutan. Seperti paru-paru, pita suara, lelangit lembut dan keras, bahagian lidah dan lain-lain lagi. Fonetik artikulasi juga akan mendedahkan kepada kita bagaimana sesuatu bunyi terjadi, contohnya paru-paru ditekan, udara keluar dan menggeletarkan pita suara, menggerakkan lidah serta rahang ditambah dengan pergerakan bibir sehingga terhasilnya bunyi. Alat- alat yang digunakan untuk membentuk bunyi-bunyi dikenali sebagai artikulator. Bunyi –bunyi ujuran boleh dibahagikan kepada konsonan dan vokal.

Faktor utama yang terlibat dalam klasifikasi bunyi-bunyi konsonan ialah faktor bersuara dan tak bersuara di faktor titik artikulasi. Manakala faktor utama dalam kasifikasi bunyi vokal ialah kedudukan bibir dan darjah naik turun lidah dalam rongga mulut. Bunyi-bunyi yang berbeza akan dihasilkan dengan aksi yang berbeza bagi bahagian-bahagian organ tutur yang boleh bergerak. Untuk menentukan perbezaan-perbezaan dari aspek penghasilan bunyi, kita mestilah menentukan organ-organ mana yang terlibat dalam waktu-waktu yang relevan. Kita juga seharus dapat menentukan samada udara yang keluar udara jenis egresif ataupun udara jenis ingresif. Di samping itu kita seharusnya melihat juga bagaimana tekanan udara yang keluar samada kuat atau perlahan. Selain itu, kedudukan pita suara dan velum juga harus diambil kira. Bunyi bahasa akan ditentukan berdasarkan kedudukan pita suara sementara bunyi oral atau bunyi nasal pula akan ditentukan oleh kedudukan velum.


Bibliografi

Abdullah Hassan. (1980). Linguistik Am untuk Guru. Kuala Lumpur : Fajar Bakti

Abdullah Hassan. (1978). Rencana Linguistik. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka

Nor Hashimah Jalaluddin. (1998). Asas Fonetik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka

Nik Safiah Karim. (1990). Beberapa Persoalan Linguistik Bahasa Melayu.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Radiah Yusoff, Nor ‘Aini Ismail, & Wan Rose Eliza Abdul Rahman. (2004). Pengantar Linguistik. Pearson Prentice Hall: Universiti Sains Malaysia.

Radiah Yussoff & Nor ‘Aini Ismail. (2005) Linguistik Pengenalan. Pearson Prentic Hall: Universiti Sains Malaysia.

No comments:

Post a Comment