Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Saturday, 30 May 2020

Asal-usul Nama Kedah

Terdapat beberapa pendapat yang menyatakan nama Kedah berasal daripada bahasa Arab iaitu Kalah. Ibnu Muhalhil pernah menyebut tentang sebuah negeri di utara Tanah Melayu yang bernama Kalah pada tahun 941 Masehi (Adnan Jusoh, 2013). Nama Kedah juga dikatakan berasal daripada perkataan arab iaitu Kalah Bar. Menurut Jabil Mapjabil, Nooriah Yusof dan Ahmad Tharmizzie Mat Jusoh (2010), seorang pengembara Arab bernama Sulaiman pernah menyebut tentang kawasan bernama Kalahbar yang dikatakan sebagai tempat yang bernaung di bawah Zabaj iaitu Empayar Srivijaya di Palembang dalam tulisan beliau pada tahun 851 Masihi. Menurut Paul Wheatley (1961), Kalah Bar bermaksud sebuah kerajaan yang lokasinya berdekatan dengan pesisir pantai. Kalah Bar juga merupakan kerajaan yang berada di bawah penguasaan al-Zabaj iaitu Srivijaya (Paul Wheatley, 1961). Roland Braddell (1950) pula menerangkan bahawa Kalah atau Kalah Bar merupakan sebuah kerajaan yang besar dan dikelilingi tembok, taman bunga, kemudahan sumber air, pasar dan rumah serta mempunyai penduduk yang ramai.
Menurut catatan I-Tsing, beliau telah melaporkan bahawa beliau pernah mengunjungi sebuah tempat yang bernama ‘Chieh-cha’. Catatan tersebut jelas menggambarkan lokasi yang dikunjungi oleh I-Tsing adalah negeri Kedah seperti yang ditulis semula oleh Wolters (1967),

I-Tsing belayar tanpa halangan selama 20 hari (dari Canton) dan tiba ke ‘Fo-Shih’ (Srivijaya). Dia singgah di situ dalam perjalanan (ke India) selama enam bulan dan mula mempelajari ‘Sabdawidya’ (Nahu Sanskrit). Pemerintah (Fo-Shih) menghulurkan bantuan dan mengirimnya ke (Malayu) yang kini diubah kepada ‘Shih-li-fo-shih’ (Srivijaya). Sekali lagi I-Tsing  singgah dalam perjalanan (di Malayu) selama dua bulan dan kemudian lalu kembali ke kapalnya dan meneruskan pelayarannya ke arah ‘Chieh-cha’ (Kedah). Tidak sampai bulan kedua belas (6 Januari-4 Februari, 672) layar kapal dinaikkan dan dia kembali ke kapal raja dan kemudian beransur-ansur meneruskan perjalanan ke syurga Timur (India).

Kedah juga disebut sebagai Kataha atau Kadara dalam tulisan Sanskrit menurut sumber catatan India manakala dalam tulisan Tamil pula, Kedah disebut sebagai Kadaram atau Kalagam (Adnan Jusoh, 2013). Sebuah puisi Tamil yang berjudul  Pattinappalai yang pernah menyebut tentang Kedah dan menggelarnya Kadaram merupakan bukti kewujudan Kedah pada awal abad masihi dan hubungannya dengan petempatan orang India (Adi Haji Taha dan Othman Mohd Yatim, 1981). Menurut  Abdul Rahman Abdullah (2000), Kadaram bermaksud kuali besar manakala Kalagam pula bermaksud warna hitam.
Kewujudan kerajaan Kedah juga boleh dirujuk melalui manuskrip Melayu atau sumber sastera klasik Melayu seperti Hikayat Merong Mahawangsa (1643) dan Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah (1927). Menurut Abdul Rahman Abdullah (2000), Hikayat Merong Mahawangsa meriwayatkan bahawa asal usul Kedah dikaitkan dengan negeri Rom dan diperintah oleh Raja Merong Mahawangsa sebagai Raja Kedah yang pertama. Merong Mahawangsa kemudiannya memeluk Islam dan menggunakan nama Sultan Muzaffar Shah. Manakala menurut Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karya Haji Hassan Haji Arshad pula, Raja Kedah yang pertama bernama Maharaja Derbar Raja, iaitu seorang raja yang kehilangan takhta di Gumarun dan mula memerintah pada sekitar tahun 630 Masihi. Maharaja Derbar Raja kemudiannya memeluk Islam dan menggunakan nama Sultan Muzaffar Shah.

Latar Belakang Kerajaan Kedah Tua

Kedah Tua dikatakan telah wujud sejak abad kedua hingga keempat masihi sebagai pelabuhan perdagangan berdasarkan sumber penulisan India. Menurut Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Zuliskandar Ramli, Farhana Abdullah dan Asyaari Muhamad (2011), Kedah Tua juga merupakan antara kerajaan yang dahulunya berada di bawah naungan kerajaan Funan . Namun perkembangan Kedah Tua adalah agak terhad pada ketika itu. Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh dasar perdagangan kerajaan Funan yang memusatkan kepentingan perdagangannya di Oc-Eo dan fungsi Kedah Tua hanya sebagai feeder port iaitu pusat tempat komoditi perdagangan dihasilkan atau dikumpulkan kepada pelabuhan Oc-Eo pada masa itu (Nasha Rodziadi Khaw, Nazarudin Zainun, Tanniji Masron dan Zulkifli Jaafar, 2008)
Kedah Tua kemudiannya membebaskan diri daripada naungan kerajaan Funan dan menjalankan pentadbirannya sendiri apabila kerajaan Funan mula lemah (Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Zuliskandar Ramli, Farhana Abdullah dan Asyaari Muhamad, 2011). Kemunculan tamadun Lembah Bujang dikatakan bermula seawal abad ke-5M dan diasaskan di Sungai Mas seperti yang dinyatakan oleh Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman (2008) setelah artifak dan inskripsi ditemui di Sungai Mas ekoran projek pembinaan tali air. Menurut Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Othman Mohd Yatim (1990), kawasannya terletak antara Sungai Muda di Selatan dan Sungai Sala di Utara. Luas kawasan ini dianggarkan seluas 144 batu persegi dan merangkumi daerah Seberang Perai Utara, Yan, Kuala Muda dan Kota Setar (Nazaruddin Zainun dan Nasha Rodziadi Khaw, 2015).
Dari sudut sistem pentadbiran, tidak terdapat laporan yang jelas tentang sistem pentadbiran tempatan yang digunakan di Kedah Tua meskipun Kedah Tua wujud 600 tahun lebih awal daripada kerajaan Melayu Melaka. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, terdapat catatan yang melaporkan kewujudan pentadbiran tempatan di kawasan Kuala Kilah (kini Kuala Merbuk) yang diketuai oleh Tun Derma Dewa dan Tun Maha Perkasa semasa ketibaan Maharaja Derbar Raja pada tahun 630 Masihi. Namun, hal ini masih tidak dapat menceritakan dengan jelas sistem pentadbiran pada masa tersebut (Mazlan Ismail dan Nadzman Mustaffa, 2015). Namun Mohammad Shariff Abu Samah (2012) menjelaskan sistem pentadbiran daerah telah wujud semasa ketibaan Maharaja Derbar Raja yang mana kerajaan Kedah dibahagikan kepada empat buah daerah iaitu Kuala Kilah, Kuala Bahang, Kuala Merpah dan Kuala Bara.
Sebelum kedatangan Islam di Kedah Tua, Kedah Tua menerima dan mengamalkan agama Buddha. Hal ini adalah berdasarkan kepada penemuan Kolonel James Low juga menjumpai tinggalan kawasan jajahan Hindu dengan runtuhan candi yang berselerak di sepanjang cerun Gunung Jerai serta tujuh serpihan inskripsi yang dalam bahasa Sanskrit yang ditulis pada abad ke-4 Masihi dengan tulisan Pallawa (Mohd. Dahlan Mansoer, 1979). I.H.N. Evans pula telah menemui patung Durga Devi bersama arca Durga Mahisasuramardhini di Sungai Batu pada tahun 1921 manakala pada tahun 1923, beliau menjumpai arca Ganesha dan banyak lagi bahan arkeologi telah ditemui pada tahun-tahun selepasnya (I.H.N. Evans, 1927). Agama Buddha bertapak di Lembah Bujang pada kira-kira abad ke-5 Masihi dan kemudiannya agama ini diresapi oleh unsur Saivisma pada abad ke-7 Masihi ekoran hubungan yang erat dengan India (Paul Wheatley, 1959). Semasa peralihan pusat perdagangan Kedah ke Pengkalan Bujang pada kurun ke-10 Masihi hingga kurun ke-13 Masihi, penduduk Kedah Tua ketika itu mengamalkan Hindu-Saivisme (Adnan Jusoh, 2013). Menurut Adnan Jusoh (2013) lagi, semasa kedatangan Islam, peranan Pengkalan Bujang sebagai pelabuhan entrepot mulai merosot.

Faktor-faktor Kemerosotan Kedah Tua

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kemerosotan Kedah Tua terutamanya perubahan politik dan sosioekonomi pada kurun ke-13.

Perubahan politik dan dasar perdagangan China
Pada awalnya, Dinasti Song Utara mengamalkan dasar state monopoly dan hal ini dapat dilihat melalui tindakan pemerintah yang mengawal kegiatan perdagangan dan mengenakan cukai terhadap barang dagangan. Dinasti Song juga mengamalkan dasar ufti. Kawalan terhadap perdagangan dan dasar ufti ini menguntungkan pelabuhan entrepot Srivijaya serta pelabuhan di pesisir Selat Melaka termasuklah pelabuhan Kedah Tua (O.W. Wolters, 1990). Dinasti Song Utara juga mengawal perdagangan antarabangsa. Hal ini dapat dibuktikan melalui kewujudan jawatan Inspector of Foreign yang ditugaskan untuk mengawal perdagangan di setiap pelabuhan utama di China (C. P. Fitzgerald, 1961).
Perubahan politik dan dasar perdagangan China bermula pada penghujung kurun ke-12 apabila Dinasti Song Utara menghadapi masalah dengan puak-puak nomad yang terdiri daripada puak Khitan (Dinasti Liao), puak Tongut (Dinasti Hsia) dan puak Juchen (Dinasti Chin) (Nasha Rodziadi Khaw, Nazarudin Zainun, Tanniji Masron dan Zulkifli Jaafar, 2008). Pada tahun 1125, Dinasti Chin berjaya menjatuhkan tiga dinasti yang lain dan menyebabkan waris-waris Dinasti Song berundur ke Selatan China kemudian mengasaskan Kerajaan Song Selatan. Ancaman berterusan daripada puak nomad menyebabkan dasar ufti mula diabaikan. Menurut Ann Paludan (), pada tahun 1178, Maharaja Sung Hsiao Tung (1163-1190) tidak membenarkan ufti dihantar ke istana tetapi terus dihantar ke Fukien seperti yang dicatatkan oleh Ma Tuan Lin. Sehubungan dengan perubahan dasar ini, bermula pada awal hingga hujung kurun ke-13, kapal-kapal dagang dari nusantara mula berdagang terus dengan pusat pengeluaran barang dan tidak lagi berdagang di pusat-pusat pengumpulan barangan.
       Ketiadaan dasar perdagangan yang konsisten selepas kejatuhan Dinasti Song Selatan kepada orang Mongol pada tahun 1280 menyebabkan kejatuhan kebanyakan pelabuhan entrepot di nusantara termasuklah Kedah Tua. Hal ini adalah kerana, kemakmuran pelabuhan entrepot bergantung kepada penguasaan perdagangan atau peranannya sebagai penghubung antara pusat pengeluaran komoditi dengan pembeli. Terdapat juga dasar Dinasti Mongol yang mengehadkan penglibatan orang China dalam aktiviti perdagangan antarabangsa. Perubahan politik China ini membawa kepada ketiadaan penemuan seramik zaman Ming yang menunjukkan kemerosotan perdagangan di nusantara terutamanya Kedah Tua.

Perkembangan pelabuhan Jawa
Secara umumnya, pelabuhan yang terletak pada laluan perdagangan akan menjadi pelabuhan yang paling kerap dilawati dan akan meningkatkan hasil kutipan cukai sekali gus membawa kepada kekayaan pelabuhan tersebut. Hal ini dapat dibuktikan melalui kemakmuran pelabuhan-pelabuhan entrepot di pesisir Selat Melaka yang diketahui merupakan laluan utama pedagang-pedagang antarabangsa.
    Walau bagaimanapun, pada penghujung kurun ke-12, pelabuhan di Pulau Jawa mula berkembang dan telah mengatasi kepentingan Melayu-Jambi. Hal ini seperti yang dicatatkan dalam penulisan Chou-K'ii-Fei yang menyatakan bahawa  kepentingan pelabuhan ShO-Po [Jawa] telah mendahului kepentingan pelabuhan San-Fo-Tsi [Suvarnadvipa, Melayu-Jambi]. (K. A. Nilakantha Sastri). Perkembangan pelabuhan di Jawa bermula selepas  perpindahan pusat kerajaan Mataram ke Jawa Timur dan berkesinambungan sehingga ke zaman kerajaan Majapahit pada penghujung kurun ke-13. Perkembangan pelabuhan di Pulau Jawa berkemungkinan menjadi antara faktor kemerosoton Kedah Tua.
      Pada zaman awal perkembangan pelabuhan Jawa, empayar Srivijaya masih mampu menghalang pelabuhan Jawa Timur daripada menjadi saingan kepada pelabuhan-pelabuhannya di Selat Melaka kerana empayar Srivijaya masih mempunyai kuasa di perairan Asia Tenggara. Perkembangan kepentingan pelabuhan maritim Jawa Timur dibuktikan melalui konflik antara Raja Dharmawangsa Teguh dengan Melayu-Jambi pada tahun 997M (Boechari, 1976). Namun, pelabuhan Jawa Timur masih belum dapat mengatasi kepentingan pelabuhan Srivijaya sehingga kurun ke-12.
      Konflik politik yang berlaku dalam kerajaan Mataram menyebabkan Raja Airlangga membahagikan kerajaan Mataram kepada dua iaitu kerajaan Panglaju dan kerajaan Janggala (Nasha Rodziadi Khaw, Nazarudin Zainun, Tanniji Masron dan Zulkifli Jaafar. 2008). Pembahagian kerajaan ini kurang membawa kesan kepada perdagangan di Jawa kerana kekayaan hasil bumi Jawa telah menarik perhatian pedagang-pedagang asing dan menyebabkan kegiatan perdagangan maritim tetap berkembang di sana. Menurut Boechari (1976), pelabuhan di Pulau Jawa dikatakan pernah dilawati oleh para pedagang antarabangsa seperti Champa, Khmer, Burma, Sri Lanka dan India semasa pemerintahan Raja Kamesvara. Hal ini membuktikan peranan Pelabuhan Jawa sebagai pelabuhan entrepot pada masa itu. Kemakmuran Jawa juga adalah selari dengan kemerosotan kerajaan Srivijaya (Wolters, O.W., 1990).
       Dasar perdagangan yang diamalkan oleh Srivijaya juga menjadi lebih agresif pada kurun ke-13. Sebagai contohnya, Srivijaya akan menyerang kapal-kapal yang tidak singgah di pelabuhannya. Kegiatan perlanunan yang berleluasa di Karimata dan Bentan berpunca disebabkan kegiatan Datu-Datu orang laut yang bebas merompak kapal dagang yang melalui perairan Selat Melaka juga turut mengkucar-kacirkan perdagangan di Selat Melaka (Wolters, O.W., 1990). Hal ini jelas menunjukkan mereka tidak lagi terikat atau menghormati dasar perdagangan yang diamalkan oleh Srivijaya dan keadaan ini menyebabkan pedagang-pedagang luar mula hilang sabar. Pedagang mula berusaha untuk mencari pelabuhan lain dan kemudiannya memilih pelabuhan Jawa yang menggunakan dasar perdagangan yang tidak bersifat menindas pedagang sebagai alternatif kepada pedagang-pedagang antarabangsa untuk mengelak daripada perairan Srivijaya. Kekayaan hasil bumi Jawa juga berkemungkinan telah meningkatkan jumlah pedagang di Pelabuhan Jawa dan secara tidak langsung membawa kepada penurunan jumlah pedagang di pelabuhan entrepot Srivijaya iaitu Kedah Tua.

Kebangkitan Majapahit
Pada pertengahan kurun ke-14, terdapat pelbagai perubahan politik yang ketara seperti berlakunya kebangkitan kuasa Ayutthaya, kebangkitan kuasa Majapahit, kejatuhan kuasa Angkor dan pertumbuhan kerajaan-kerajaan Islam di Sumatera Utara. (George Coedes, 1988). Perubahan ini telah melenyapkan struktur sosiopolitik dan ekonomi yang pernah wujud sejak zaman proto sejarah lagi.
       Kedah Tua yang diapit oleh kuasa Angkor-Champa di Utara, Jawa di Selatan, China di Timur dan India di Barat telah menerima kesan yang amat mendalam akibat daripada perubahan-perubahan yang berlaku tersebut. Peranan Kedah sebagai sebuah pusat entrepot mula hilang apabila tiada seramik-seramik dan artifak-artifak yang dapat dipertarikhkan pada zaman Ming (Nasha Rodziadi Khaw, Nazarudin Zainun, Tanniji Masron dan Zulkifli Jaafar. 2008). Menurut Ann Paludan (1998), Dinasti Ming merupakan kuasa yang menggantikan Dinasti Mongol di Tanah Besar China.
  Penulisan Nagarakretagama menceritakan tentang bermulanya penguasaan Majapahit di nusantara telah menyenaraikan Kedah Tua sebagai jajahannya (Siametmujiana, 1976). Pada kurun ke-14, Majapahit yang memulakan dasar peluasan kuasa yang lebih agresif. Walau bagaimanapun, peluasan kerajaan Agraris yang kurang memberi perhatian terhadap perdagangan Kedah Tua berkemungkinan menyebabkan tiada usaha dilakukan untuk menghidupkannya semula. Perluasan kuasa Majapahit sehingga ke Selatan Thai kadangkala bertindih dengan kawasan naungan Thai membawa kepada ketidaktentuan politik di pesisiran Selat Melaka (Paul Wheatley, 1961). Hal sebegini sememangnya mendatangkan kesan negatif terhadap perdagangan pada masa itu. Kejatuhan Dinasti Mongol dan kebangkitan Dinasti Ming pada pertengahan kurun ke-14 dilihat sebagai zaman transisi dalam pembabakan sejarah Asia Tenggara kerana zaman ini memperlihatkan kejatuhan pelabuhan-pelabuhan tradisional di pesisiran Selat Melaka dan kebangkitan pelabuhan-pelabuhan yang baru.

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi
Seperti mana yang diketahui umum bahawa dalam bidang sains dan teknologi, hanya perkataan-perkataan daripada Bahasa Inggeris yang digunakan untuk membina atau menghasilkan sesuatu penemuan atau penciptaan yang baru khususnya dalam bidang perubatan. Oleh hal yang demikian, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah berusaha dan memainkan peranan yang sangat penting bagi memperkaya bahasa kebangsaan kita iaitu Bahasa Melayu supaya lebih banyak perkataan daripada Bahasa Melayu dihasilkan di dalam bidang-bidang yang pesat berkembang sperti bidang sains dan teknologi

Memajukan bakat kesusasteraan terutama dalam bahasa kebangsaan
Menurut Berita Harian, DBP menggiatkan program dari semasa ke semasa iaitu Minggu Penulis Remaja dengan motif melahirkan dan memupuk penulis muda. Program ini juga bertujuan melahirkan pewaris ilmu kesusasteraan pada masa depan. Dalam usaha memperkasakan ilmu kesusasteraan ini, DBP sekali lagi menggunakan kaedah penganugerahan bagi menggalakkan sasterawan-sasterawan menceburi bidang ini. Kepentingan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah begitu penting sehingga ia diiktiraf oleh jabatan kerajaan sebagai Badan Berkanun melalui Akta Parlimen pada tahun 1959 dalam memantapkan lagi pengembangan bahasa sastera. Begitu juga dengan pengaturan rancangan memupuk bahasa sastera dengan baik.

Mencetak / menerbitkan / membantu usaha percetakan atau penerbitan buku-buku, risalah-risalah dan lain-lain bentuk persuratan dalam bahasa kebangsaan
Pihak DBP merupakan sebuah organisasi yang begitu penting dalam industri percetakan dan penerbitan buku-buku, risalah-risalah, kamus-kamus, serta pelbagai bentuk bahan ilmiah kerana ia merupakan salah sebuah organisasi penerbitan yang terbesar di Malaysia. Pihak DBP telah banyak mencetak dan menerbitkan buku-buku untuk sekolah-sekolah seperti buku teks dan buku rujukan yang merupakan bahan ilmiah yang sangat penting bagi pelajar-pelajar sekolah rendah mahupun sekolah menengah. DBP juga bergiat aktif dalam menerbitkan buku-buku kesusasteraan Bahasa Melayu mahupun dalam Bahasa Inggeris. Ini bermakna peranan yang dimainkan oleh DBP adalah sangat penting dan ia juga memberi impak yang baik dalam bidang kesusasteraan, pendidikan dan juga industri percetakan Negara. Menurut Bekas Menteri Kehakiman Malaysia, Dato’ Dr. Sulaiman Hj. Daud (1990:1) bahawa Dewan Bahasa dan Pustakan (DBP) sejak 20 tahun lalu berjaya menerbitkan tidak kurang daripada 50 judul buku undang-undang Bahasa Melayu. Ini menunjukkan DBP juga bertindak sebagai medium penterjemahaan karya-karya asing.
Maka ilmu dari luar dapat diadaptasikan dalam Bahasa Melayu bagi memperkayakan perbendaharaannya. Dalam masa yang sama DBP juga memerlukan penglibatan para sarjana, pengkritik dan pemantau bahasa, agar buku-buku terbitan DBP dapat dianalisa dan diberi ulasan-ulasan fragmentasi atau resensi buku, agar orang ramai akan dapat menikmati dan memahami intipati buku-buku yang diterbitkan oleh DBP.

Membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan
Pelaksanaan dasar bahasa yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah, menengah dan peringkat institusi pengajian tinggi menggerakkan kegiatan peristilahan yang didukung oleh DBP. Banyak Jawatankuasa Istilah (JKI) telah ditubuhkan oleh DBP dengan kerjasama institusi pengajian tinggi awam untuk mengumpul, membentuk dan menyebar luas istilah bahasa Melayu dalam bidang sains asas dan sains gunaan. Perubahan ini menyaksikan perancangan korpus bahasa Melayu berkembang dengan cepat sekali.

Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul
Seperti mana yang sedia maklum, tidak ramai atau hanya segelintir sahaja daripada rakyat Malaysia yang menggunakan Bahasa Melayu dengan betul. Majoriti daripada mereka menggunakan Bahasa Melayu yang tidak betul. Sebagai contoh yang paling ketara ialah rakyat Malaysia menggunakan bahasa pasar sebagai bahasa percakapan harian mereka. Bukan sahaja sebagai bahasa percakapan harian, malah notis-notis ataupun risalah-risalah awam yang diedarkan kebanyakannya tidak menggunakan Bahasa Melayu yang betul seperti risalah-risalah ataupun poster-poster untuk konsert dan promosi kompleks-kompleks beli-belah. Oleh hal yang demikian, pihak DBP perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk mengatasi masalah yang telah berleluasa hingga ke hari ini seperti mewujudkan buku-buku dan risalah-risalah dan akhbar-akhbar yang menggunakan dan memperbetulkan penggunaan Bahasa Melayu yang tidak betul di kalangan rakyat Malaysia. Walaupun DBP menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan namun setelah masa beredar melangkaui peredaran zaman kini banyak pecampuran bahasa seperti bahasa rojak yang sedang menular dalam masyarakat masa kini. Oleh itu, dengan adanya DBP masalah penyalahgunaan bahasa ini dapat dibendung. Disamping itu, keaslian bahasa kebangsaan ini tidak dicemar. Begitu juga dengan penggunaan bahasa singkatan. Contohnya, singkatan bagi sungai, bukit, jalan dan sebagainya. Penggunaan singkatan ini memudahkan penulis surat bagi alamat dan kawasan.

Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa
Dalam usaha memperkembangkan bahasa Melayu DBP melaksanakan pelbagai program melalui fungsi pengukuhan dasar bahasa kebangsaan, pemantauan, pemupukan, penataran, pekhidmatan dan penyebaran. Pelbagai kegiatan dilaksanakan melalui fungsi-fungsi ini bagi memastikan kedudukan bahasa Melayu terus menjadi mantap sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa perpaduan negara Malaysia.  Di sinilah peranan yang dimainkan oleh DBP sangat penting ke arah memasyarakatkan secara meluas penggunaan bahasa Melayu dengan pendekatan dan kaedah yang menarik dan selaras dengan perkembangan teknologi info-telekomunikasi. Daripada kaedah biasa dan stereotaip yang sering digunakan, DBP perlu meneroka pendekatan baru melalui industri kreatif, media sosial dan elektronik mengadakan program pembelajaran bahasa Melayu dan menghasilkan promo, iklan, drama dan sitkom televisyen serta radio yang bersangkutan dengan bahasa Melayu.

Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi yang cekap dan berkesan dalam semua bidang
Bidang yang dimaksudkan ialah bidang pentadbiran negara, bidang pengajian tinggi, dan dalam kegiatan yang maju serta kompleks seperti kegiatan intelektual, kegiatan kebudayaan, ekonomi dan perdagangan. Masalah yang timbul ialah terdapat golongan yang berpandangan bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa yang maju dan bersifat saintifik. Tetapi kita jangan lupa bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua franca suatu ketika dahulu yang dituturkan dan digunakan sebagai bahasa komunikasi oleh golongan pedagang, golongan agama dan golongan pemodal di nusantara ini. Bahasa Melayu kini telah dituturkan oleh masyarakat di negara ini sebagai bahasa komunikasi, bahasa perpaduan dan sebagainya.

Proses Menterjemah

Terjemahan merupakan aktiviti menggantikan bahan teks asli, iaitu bahan sumber ke dalam teks bahan sasaran dalam bentuk bahasa persamaan yang paling hampir atau difahami oleh bahasa sasaran. Bentuk bahasa penerima mesej (pengguna) daripada bahasa sumber disalin semula dengan beberapa penyesuaian tanpa mengubah maksud asal teks asli tersebut.
            Berbicara dalam konteks penterjemahan, terdapat empat proses yang penting untuk dilakukan bagi memastikan bahawa hasil daripada urusan-urusan penterjemahan adalah sempurna. Antara proses tersebut termasuklah analisis teks, pemindahan warta, menstruktur semula serta menyemak teks terjemahan.

Analisis Teks
Dalam proses menterjemah, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah proses analisis teks. Proses analisis teks merupakan proses yang melibatkan dua perkara iaitu proses baca dan faham. Dalam hal ini, ia berlaku dalam fikiran penterjemah. Maksudnya, penterjemah akan membaca sesuatu perkataan atau ayat atau wacana secara mentalis dan cuba untuk memahami perkara-perkara tersebut secara terperinci. Seperti yang kita sedia maklum proses terjemahan melibatkan dua bahasa yang berbeza iaitu penterjemahan daripada bahasa sumber kepada bahasa sasaran. Oleh itu, terdapat pelbagai ciri istimewa bahasa sumber yang perlu dititikberatkan sewaktu membuat proses analisis bahan terjemahan. Antara lainnya termasuklah peribahasa. Peribahasa secara amnya merupakan susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar, bijak perkataannya dan senang difahami. Dalam bahasa asing misalnya bahasa Inggeris, peribahasa disebut sebagai proverbs. Dalam melakukan penterjemahan proverbs, analisis yang dibuat perlulah dilakukan secara kontekstual. Hal ini bermaksud, penterjemah mentafsir maksud peribahasa (proverbs) dengan menilai secara keseluruhan maksud peribahasa tersebut dan bukannya melalui terjemahan secara leksikon semata-mata. Contohnya ;
‘No man is an island’.
Jika diterjemahkan berpandukan kamus semata-mata, maka terjemahan peribahasa Inggeris di atas akan menjadi ‘manusia bukan pulau’. Hal ini akan membuatkan mesej yang ingin disampaikan dalam peribahasa Inggeris tersebut salah. Jika dianalisis secara keseluruhan dan mengikut konteks, peribahasa tersebut bermaksud tidak ada manusia yang boleh hidup sendiri kerana semua orang perlukan  bantuan daripada orang lain.

Pemindahan Warta
Seterusnya ialah proses pemindahan warta. Proses pemindahan warta ialah sebuah proses yang sangat penting dalam bidang penterjemahan. Dalam proses ini, ia menuntut penterjemah untuk mencari dan mengenal pasti padanan istilah yang sesuai apabila sesuatu bahan itu diterjemahkan ke dalam bahasa sasaran tanpa mengubah maksud asal daripada bahasa sumber.
          Proses pemindahan warta amnya merupakan proses pemilihan perkataan-perkataan, istilah-istilah dan diksi-diksi yang sesuai daripada bahasa sumber kepada bahasa sasaran. Namun demikian, proses ini masih dikira sebagai sebuah proses dalaman kerana ianya berlaku dalam fikiran penterjemah. Maksudnya, walaupun penterjemah sudah mula mencari perkataan-perkataan yang sesuai untuk digunakan dalam bahasa sumber namun ia masih belum ditulis dan dihasilkan dalam bentuk teks atau wacana secara sepenuhnya.
             
Menstruktur Semula
Beralih pula kepada proses yang seterusnya iaitu proses penstrukturan semula. Proses penstrukturan semula merupakan sebuah proses yang melibatkan tentang pemilihan struktur ayat. Penterjemahan sesuatu karya akan membawa kepada penghasilan sesuatu karya yang baru dengan bahasa yang berbeza. Lantaran daripada itu, penterjemah perlu benar-benar menitikberatkan struktur ayat yang ingin digunakan tanpa mengubah maksud karya asli yang menggunakan bahasa sumber.
        Hampir kesemua perkara perlu dititikberatkan dalam proses ini. Misalnya, penggunaan gaya bahasa perlulah yang mudah untuk difahami oleh para pembaca. Selain itu, penggunaan tanda baca yang betul juga sangat dititikberatkan dalam proses ini. Hal ini tidak lain bertujuan untuk memastikan bahawa karya terjemahan yang dihasilkan dapat difahami dengan mudah dan senang. Penitikberatan terhadap kedua-dua aspek ini iaitu gaya bahasa dan tanda baca akan menghasilkan struktur ayat yang jelas dan mudah untuk difahami oleh para pembaca.

Menyemak Teks Terjemahan
Proses yang terakhir sekali dalam proses penterjemahan ialah proses semakan. Proses semakan merupakan sebuah proses yang melibatkan pembacaan dan penelitian secara menyeluruh terhadap hasil terjemahan karya yang dilakukan oleh penterjemah. Perkara pertama yang perlu dilakukan dalam proses ini ialah menentukan seseorang yang betul-betul berkredibiliti untuk membuat proses semakan.
        Dalam hal ini, seseorang yang dilantik untuk menjadi penyemak mestilah seseorang yang benar-benar mahir dalam selok-belok dunia terjemahan. Misalnya, jika penterjemah menterjemah sebuah novel Inggeris ke dalam bahasa Melayu, antara ciri yang perlu dititikberatkan termasuklah kepakaran seseorang itu terhadap dunia penulisan novel. Tidak dinafikan bahawa karya yang diterjemahkan merupakan sebuah karya yang boleh dianggap berdiri sendiri. Namun, proses semakan perlu dilakukan bagi memastikan segala kekurangan dan kelemahan yang terdapat dalam hasil terjemahan dapat dimurnikan, selain dapat menyesuaikan teks terjemahan tersebut dengan kehendak pembaca sasaran.

Menterjemah Bahan Autentik

Perkataan autentik bermaksud satu keadaan atau benda yang masih asal atau asli. Noresah Baharum (2000) mendefinisikan autentik sebagai bahan yang dapat dipercayai atau dijadikan pegangan, asli dan benar (bukan palsu, rekaan dan sebagainya). Justeru itu, menterjemah bahan autentik dapat dirumuskan sebagai perlakuan menterjemah bahan bertulis yang asli daripada bahasa sumber ke dalam bahasa penerima atau bahasa sasaran.
            Berikut ditunjukkan beberapa contoh aktiviti menterjemah menggunakan bahan yang berbeza mengikut tiga kaedah terjemahan yang telah dibincangkan iaitu kaedah terus, kaedah struktural dan kaedah global. Jadual 1.0 menunjukkan penerangan mengenai teknik terjemahan terus,teknik struktural dan teknik global.
Teknik
Penerangan
Teknik Secara Terus
Terjemahan secara terus juga dikenal sebagai terjemahan harfiah atau literal. Teknik ini meminta penterjemah untuk menterjemahkan perkataan-perkataan dalam teks bahasa sumber satu persatu dengan perkataan yang sepadan dalam bahasa penerima. Perkataan bahasa penerima yang sepadan dengan bahasa sumber tidak semestinya mengandungi makna asal perkataan atau teks bahasa sumber.
Teknik Secara Struktural
Bermaksud teks asal dalam bahasa sumber dipisahkan atau dipecahkan kepada ayat-ayat atau frasa-frasa. Terjemahan dilakukan ke atas pecahan-pecahan itu. Teknik ini memberi keutamaan kepada bentuk ayat, struktur ayat, golongan kata, kelas kata, tanda baca dan makna yang mesti dikekalkan.
Teknik Secara Global
Bermaksud terjemahan secara keseluruhan. Terjemahan ini memerlukan dan mengutamakan pemahaman pembaca. Penterjemah bebas menyesuaikan perkataan bahasa sumber dengan perkataan dalam bahasa sasaran.

Keperluan Memahami Budaya Bahasa Sumber dan Bahasa Sasaran dalam Penterjemahan

Adat Resam
Adat secara umumnya didefinisikan sebagai suatu aturan dan cara hidup yang mencerminkan segala perbuatan yang ada kalanya dilakukan setiap hari ataupun musim sama ada berpandukan bulan atau tahun. Adat bagi setiap masyarakat pastinya dilihat dari sistem nilai yang berbeza. Sebagai contoh, bagi masyarakat Minangkabau, adat dianggap sebagai sebuah tradisi lisan yang tinggi sekali martabatnya dalam kehidupan mereka.
            Adat dalam konteks masyarakat Minangkabau bukan sekadar cara bersanding, cara menyantap hidangan makanan, cara pertabalan Luak dan sebagainya, tetapi adat ialah suatu peraturan hidup yang perlu dipegang kuat oleh generasi mereka sehingga ke hari ini. Justeru tidak hairanlah jika dalam masyarakat mereka wujud istilah-istilah seperti undang-undang adat, mahkamah adat, ketua adat dan sebagainya. Oleh sebab itu, penterjemah harus mengambil kira aspek adat resam dalam penterjemahan kerana adat resam ialah suatu ketetapan yang tidak boleh berubah dan dianggap sebagai suatu pengungkap identiti bangsa.
            Dalam erti kata lain, penterjemah perlu memahami adat resam bahasa sumber dan bahasa sasaran termasuk hukum agama dan pantang larang. Dengan membuat penyelidikan terlebih dahulu untuk memahami adat resam sesuatu masyarakat, maka barulah kita dapat memahami adat resam dan melakukan penterjemahan dengan penyampaian makna yang berkesan.

Geografi dan Persekitaran
Setiap bahasa mempunyai kepelbagaian perbendaharaan kata yang berbeza. Perbezaan ini sangat bergantung kepada budaya, dalam hal ini termasuk lokasi geografi dan persekitaran. Sebagai contoh, penduduk luar bandar di Papua menumpukan perhatian terhadap kehidupan memburu dan mengumpul makanan di dalam hutan. Manakala penduduk yang tinggal di pelabuhan menumpukan kehidupan mereka dalam perdagangan dan pelayaran. Selain itu, masyarakat yang tinggal di bandar menumpukan kehidupan mereka terhadap pekerjaan bagi mendapatkan wang, bersukan dan bersekolah. Perbezaan dalam fokus kehidupan ini mewujudkan perbezaan dalam perbendaharaan kata.
            Sebagai contoh, masyarakat yang tinggal di kawasan perladangan dan pertanian sudah tentu mempunyai lebih banyak perbendaharaan kata berkaitan tanaman, tumbuh-tumbuhan dan musim tumbuhan berbanding masyarakat yang tinggal di kawasan perdagangan. Dalam proses penterjemahan, selain memahami teks yang akan diterjemahkan, penterjemah juga harus mempertimbangkan aspek budaya bahasa sumber dan bahasa sasaran supaya penyampaian maksud dapat dicapai.

Kepercayaan, Mitos dan Legenda
Terdapat kepercayaan karut yang masih dipegang oleh segelintir masyarakat di dunia contohnya masyarakat di Korea. Perkataan bujeog ialah aksesori yang dipakai oleh seseorang tertera tulisan, rajah ataupun gambar yang dibawa ke mana-mana atau ditampal di dinding sebagai azimat dan pelindung. Kepercayaan masyarakat Korea ini mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu yang mempercayai tangkal. Tangkal ini biasanya dibuat oleh bomoh atau dukun. Dalam masyarakat Melayu juga ada anggapan bahawa penggunaan tangkal sebagai pelindung tetapi perkara ini dilarang sama sekali dalam amalan agama Islam kerana membawa kepada amalan syirik. Persamaan dari segi kepercayaan tersebut membolehkan perkataan bujeog (bahasa sumber) diterjemahkan kepada perkataan tangkal (bahasa sasaran) disebabkan penterjemah mengetahui serba sedikit tentang kepercayaan budaya bahasa sumber dan bahasa sasaran tersebut.



Peribahasa dan Kiasan
Tiap-tiap bahasa mempunyai caranya sendiri apabila menggunakan peribahasa untuk menyampaikan perasaan dan prasangka mereka. Oleh yang demikian, peribahasa daripada bahasa asing hendaklah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu supaya tepat dengan konteksnya.
            Peribahasa ialah bentuk ungkapan yang unik yang terdapat dalam sesuatu bahasa. Salah satu punca sukarnya menterjemahkan peribahasa adalah disebabkan makna sesuatu peribahasa itu tidak mungkin dapat diteka daripada susunan ayat. Kita hanya tahu makna peribahasa apabila kita memang sudah mengetahui makna peribahasa itu sebelum membaca ayat.
Contoh:
Perkataan
Makna
Sunday
Ahad
week
minggu
Makna Sunday Week ialah Ahad selepas Ahad depan.

            Pelbagai bahasa mempunyai cara-caranya mencipta istilah-istilah secara kiasan. Biasanya perkataan-perkataan yang dikiaskan itu tidak serupa antara satu bahasa dengan bahasa lain.
Contoh:
Perkataan
Makna
wife
isteri

Kiasan:
Istilah
Makna
midwife
bidan
dutch wife
bantal peluk
housewife
suri rumah



Istilah-istilah peribahasa boleh diterjemahkan dengan menggunakan kaedah berikut:
1.     Peribahasa menjadi peribahasa
Dalam teknik ini, istilah peribahasa dalam bahasa Inggeris kekal sebagai peribahasa dalam bahasa Melayu. Ini boleh dibuat dengan dua cara:
a.     Peribahasa Inggeris itu dipinjam dengan cara menterjemahkannya secara literal. Contohnya:
yellow culture – kebudayaan kuning
honeymoon – bulan madu
in black and white – dengan hitam putih
cold war – perang dingin
skyscraper – pencakar langit

Dalam bidang sains dan teknologi, cara ini tidak digalakkan kerana makna peribahasa asing yang baru dipinjam tidak terang dan jelas. Sebagai contoh:
feedback – suap balik (biologi)  ... maklum balas
wear and tear – haus dan lusuh (ekonomi) ... haus
foul bite – gigitan salah (seni lukis) ...
green belt – jalur hijau (geografi) ... kawasan subur

b.     Peribahasa Inggeris itu digantikan dengan peribahasa Melayu.
double face – talam dua muka
lip-service – melepas batok di tangga
double-edged advantage – serampang dua mata
to kill two birds with one stone – sambil menyelam minum air

2.     Istilah peribahasa itu menjadi bukan peribahasa di dalam bahasa Melayu
Ini dibuat dengan cara memberikan sahaja makna sebenar peribahasa Inggeris itu.
Contoh:
yellow culture – budaya negatif
in black and white – secara bertulis
backfire – menikam diri sendiri
white-collar job – kerja pejabat
blue-collar job – kerja buruh

3.     Istilah bukan peribahasa dalam bahasa Inggeris menjadi peribahasa dalam bahasa Melayu
Sesetengah istilah dalam bahasa Inggeris adalah dalam bentuk bukan peribahasa. Ada kalanya istilah-istilah itu boleh diganti dengan istilah-istilah kita sendiri yang berbentuk peribahasa.
Contoh:
illiterate – buta huruf
stream – anak sungai
adopted child – anak angkat
manual job – kerja kasar
image – air muka
married – berumah tangga

Makanan dan Pakaian
Sesetengah masyarakat mempunyai makanan dan pakaian tradisi dengan nama tersendiri. Kebanyakan nama bagi makanan dan pakaian tersebut dikekalkan dan tidak berubah. Contohnya, cheongsam (bahasa sumber) apabila diterjemahkan tetap menjadi cheongsam (bahasa sasaran). Oleh itu, penterjemah perlu mengambil kira aspek makanan dan pakaian agar maksud yang diterjemahkan sampai kepada pembaca.


Nota Tambahan:
Terdapat beberapa banyak keadaan yang membawa kepada ketiadaan padanan pada peringkat kata. Keadaan-keadaan tersebut adalah seperti dalam berikut:
a)     Apabila teks bahasa sumber memperkatakan konsep-konsep budaya yang langsung tidak diketahui dalam bahasa sasaran;
b)     Konsep yang wujud dalam bahasa sumber tidak ada kata dalam bahasa sasaran untuk menamainya;
c)     Satu-satu kata dalam bahasa sumber sarat dengan makna dan perlukan banyak kata untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa sasaran;
d)     Bahasa sumber dan bahasa sasaran membuat perbezaan makna yang berlainan bagi satu-satu perkataan dalam erti kata perbezaan makna yang dipentingkan dalam bahasa sumber mungkin dipentingkan dalam bahasa sasaran atau sebaliknya;
e)     Bahasa sumber mempunyai kata umum dan superordinat tetapi ini tidak wujud dalam bahasa sasaran;
f)      Bahasa sumber mempunyai kata khusus atau hiponim merujuk sesuatu tetapi bahasa sasaran ketiadaan unsur ini;
g)     Bahasa sumber memerlukan jarak fizikal atau kedudukan seseorang diketahui sebelum dapat menyatakan sesuatu tetapi ciri ini tidak wujud dalam bahasa sasaran atau sebaliknya;
h)     Terdapat kata padanan dalam bahasa sasaran yang mempunyai maksud yang sama tetapi memberikan kesan makna yang berlainan dan kelainan ini mungkin sedikit sahaja atau mungkin ketara sehingga mendatangkan masalah terjemahan dalam konteks keperihalan keadaan berkenaan;
i)      Kelainan bentuk antara bahasa sumber dan bahasa sasaran seperti imbuhan dalam bahasa Inggeris, yang digunakan secara kreatif untuk membentuk perkataan baru mendatangkan masalah apabila diterjemahkan ke dalam bahasa yang kurang menggunakan imbuhan dengan cara yang sama;
j)      kekerapan dan tujuan menggunakan sesuatu kata ini berlainan antara bahasa sumber dan bahasa sasaran. Walaupun kata yang terbabit itu mungkin kata padanan dalam bahasa sasaran, tetapi kekerapan dan tujuan kata itu digunakan dalam bahasa sasaran tidak sama dengan kata yang sama dalam teks sumber. Hal ini membawa implikasi stail atau gaya yang tidak bersahaja atau sejadi dalam teks yang diterjemahkan;
k)    teks bahasa sumber menggunakan kata pinjaman yang bertujuan menambahkan prestij dalam teks asal tetapi kesan ini hilang dalam teks terjemahan akibat tidak mendapat kata padanan atau kata pinjaman yang dapat memberikan maksud yang sama

Contoh Penulisan Refleksi Pengajaran Mikro

Saya telah melaksanakan pengajaran mikro bersama rakan kumpulan saya bagi mata pelajaran Matematik (SK). Sesi pengajaran mikro yang telah dilaksanakan adalah untuk memenuhi tugasan kursus elektif teras iaitu MTES3182 Pengajaran Sukatan, Geometri dan Perwakilan Data yang mana mengekehendaki siswa pendidik untuk melaksanakan satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran berdasarkan resos pembelajaran yang telah disediakan seperti mana yang terdapat dalam Rancangan Pengajaran Harian secara berkumpulan. Pada sesi pengajaran dan pembelajaran tersebut, saya telah memilih tajuk panjang di bawah bidang sukatan bagi murid Tahun 1. Standard Pembelajaran yang telah dipilih ialah 6.1 Menggunakan Unit Relatif untuk Mengukur Panjang. Setelah selesai melaksanakan sesi pengajaran mikro, saya telah melakukan sesi perbincangan bersama dengan ketua panitia dan guru mata pelajaran Matematik di sekolah tersebut untuk mengenal pasti aspek kekuatan, kelemahan dan cadangan penambahbaikan terhadap aktiviti pengajaran mikro yang dilaksanakan.
Berdasarkan sesi perbincangan yang telah dilaksanakan, antara kekuatan yang telah dikenal pasti terhadap pelaksanaan langkah pengajaran dan pembelajaran seperti mana yang terdapat dalam Rancangan Pengajaran Harian ialah aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah laksanakan selaras dengan prinsip pembelajaran iaitu pembelajaran seharusnya bermula daripada mudah kepada sukar. Perkara tersebut bertepatan dengan teori perkembangan kogntif Jean Piaget yang mana menegaskan bahawa pembelajaran kanak-kanak seharusnya bermula daripada kemahiran yang mudah kepada yang sukar (Wong Kiet Wah et al., 2013). Hal ini demikian kerana, murid pada peringkat sekolah rendah berada pada peringkat operasi konkrit yang mana tidak dapat menaakul secara abstrak. Berdasarkan Rancangan Pengajaran Harian yang telah dihasilkan, langkah-langkah pengajaran yang telah ditetapkan disusun daripada yang mudah kepada sukar berdasarkan Standard Pembelajaran seperti mana yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Matematik Tahun 1 Sekolah Kebangsaan. Sebagai contoh, aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada Langkah 1 dalam Rancangan Pengajaran Harian dirancang berdasarkan Standard  Pembelajaran yang mudah iaitu Membuat pengukuran objek menggunakan unit bukan piawai menerusi aktiviti mengukur kepanjangan pokok yang ditayangkan menerusi paparan slaid dengan menggunakan jengkal. Pada langkah pembelajaran yang berikutnya, aras kesukaran bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran bertambah kerana memerlukan murid mengaplikasi konsep yang telah dipelajari pada langkah sebelumnya. Deduksinya, aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan selaras dengan teori perkembangan kognitif jean Piaget yang menekankan pembelajaran seharusnya bermula daripada perkara mudah kepada yang lebih kompleks.
Penggunaan resos pembelajaran yang bersesuaian juga merupakan salah satu kekuatan sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan. Dalam hal ini, resos pembelajaran yang telah digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran meningkatkan tahap kefahaman murid terhadap isi pelajaran yang guru sampaikan. Menurut Ragbir Kaur Joginder Singh (2013), penggunaan resos pembelajaran yang bersesuaian adalah fundamental bagi memperkukuh kefahaman murid terhadap sesuatu konsep terutamanya konsep yang abstrak. Berdasarkan pernyataan tersebut, teknik serta kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dimplementasikan oleh guru bukanlah penentu berlakunya suatu proses pengajaran dan pembelajaran yang bermakna dan efektif tanpa penggunaan resos pembelajaran yang sesuai. Perkara ini signifikan dengan pernyataan Mok Soon Sang (2009) iaitu resos pembelajaran yang digunakan oleh guru untuk membantu guru tersebut melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang bermakna di dalam bilik darjah. Dalam konteks sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan salah satu resos pembelajaran yang digunakan ialah riben. Penggunaan resos pembelajaran tersebut membolehkan murid mengetahui cara untuk mengukur sesuatu benda dengan menggunakan unit bukan piawai. Konklusinya, resos pembelajaran yang telah digunakan adalah bersesuaian kerana membantu murid dalam pembinaan konsep.
Kekuatan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang seterusnya ialah mengimplementasikan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Pengaplikasian teknologi maklumat dan komunikasi dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah adalah signifikan dengan salah satu aspek Elemen Merentas Kurikulum dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Matematik Tahun 1 Sekolah Kebangsaan iaitu teknologi maklumat dan komunikasi (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2010). Penggunaan resos pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi dapat meningkatkan minat murid terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran yang guru laksanakan. Perkara ini bertepatan dengan pernyataan Noraiti A. Rashid et al. (2012) yang menegaskan bahawa penggunaan resos pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran meningkatkan motivasi murid untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru. Sebagai tamsilan, terdapat pelbagai resos pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi yang telah digunakan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti video, paparan slaid, komputer riba dan pembesar suara. Intihanya, penggunaan resos pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan meningkatkan motivasi murid untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan.
Pengimplementasian strategi pembelajaran berpusatkan murid dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran merupakan salah satu kekuatan yang telah dikenal pasti ketika pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan takrifan yang diberikan oleh Noriati A. Rashid et al. (2009), strategi pembelajaran berpusatkan murid bermaksud murid mengambil alih sedikit tanggungjawab terhadap aktiviti pembelajaran. Menerusi pengaplikasian strategi ini, masa yang banyak diperuntukkan kepada murid untuk meneroka dan menyelesaikan masalah pembelajaran dengan bimbingan daripada guru. Dalam erti kata yang lain, strategi pembelajaran berpusatkan murid memerlukan murid untuk memahami isi pelajaran yang guru sampaikan secara praktikal dengan bimbingan guru. Hal ini sejajar dengan teori pembelajaran konstruktivisme yang menekankan peranan murid sebagai pembina ilmu pengetahuan ketika berlangsungnya sesi pengajaran dan pembelajaran. Berlandaskan sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan, pengaplikasian strategi pembelajaran berpusatkan murid dapat dilihat menerusi aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada Langkah 2 dalam Rancangan Pengajaran Harian iaitu murid secara berkumpulan mengukur riben dengan menggunakan klip kertas. Dalam hal ini, murid melakukan pembelajaran secara koperatif dengan bimbingan guru untuk menguasai konsep pengukuran. Secara tuntas, strategi pembelajaran berpusatkan murid yang diaplikasikan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bertepatan dengan pembelajaran abad ke-21 yang menekankan aspek koperatif.
Menerusi sesi perbincangan yang dilakukan juga, tedapat beberapa kelemahan yang telah dikesan berkenaan dengan pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Salah satu kelemahan tersebut ialah guru tidak menunjukkan simulasi kepada murid untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Implikasinya, murid tidak dapat melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah diarahkan oleh guru dengan betul kerana guru tidak menunjukkan cara-cara yang betul bagi melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Menurut teori kognitif sosial Albert Bandura, kanak-kanak mempelajari sesuatu berdasarkan peniruan terhadap sesuatu yang berlaku dalam persekitaran sosialnya (Noriati A. Rashid et al., 2009). Berdasarkan pernyataan tersebut, simulasi yang dilakukan oleh guru adalah penting bagi membolehkan murid mengetahui cara-cara melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang guru arahkan dengan betul. Dalam konteks sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan, guru tidak menunjukkan cara untuk mengukur dengan betul sehingga menyebabkan ukuran yang diperoleh oleh murid tidak tepat. Sebagai cadangan penambahbaikan, guru perlu menunjukkan simulasi berkenaan dengan cara untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan betul agar murid dapat mengaplikasikan simulasi tersebut. Oleh itu, guru seharusnya menunjukkan simulasi pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran kepada murid signifikan dengan teori kognitif sosial Albert Bandura agar murid melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan betul.
Kelemahan yang seterusnya yang dikenal pasti dalam pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran ialah arahan dan penerangan yang guru berikan tidak jelas. Arahan dan penerangan guru yang tidak jelas menyebabkan murid tidak dapat memahami arahan dan penerangan yang guru berikan. Hal ini menyebabkan murid tersebut tidak dapat memberikan tindak balas yang sesuai berdasarkan arahan dan penerangan guru. Ragbir Kaur Joginder Singh (2013) yang menegaskan bahawa arahan dan penerangan yang jelas oleh guru membolehkan murid untuk memberi respons yang bersesuaian. Berdasarkan pernyataan tersebut guru seharusnya memberikan arahan dan penerangan kepada murid dengan menggunakan ayat yang mudah difahami. Dalam hal ini, guru perlu memberi perhatian terhadap aspek penggunaan kosa kata dan struktur ayat dalam memberi arahan dan penerangan. Penggunaan kosa kata yang diluar pengetahuan murid menyebabkan murid tidak dapat memahami aspek semantik yang terkandung dalam arahan dan penerangan guru. Contohnya, guru tidak memberikan arahan yang jelas kepada murid dalam menjawab soalan yang terdapat lembaran kerja yang diberikan. Kesannya, murid mengambil tempoh masa yang agak panjang untuk menyelesaikan soalan dalam lembaran kerja. Untuk tujuan penambahbaikan, guru perlu memberikan arahan dan penerangan yang jelas agar murid dapat memberikan tindak balas yang sesuai seperti mana yang terkandung dalam arahan dan penerangan guru.
Secara holistik, terdapat beberapa kekuatan dan kelemahan pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah dikenal pasti menerusi aktiviti perbincangan yang dilakukan dengan ketua panitia dan  guru Matematik. Menerusi aktiviti perbincangan yang dilakukan, guru pelatih dapat melakukan penambahbaikan terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan. Perkara tersebut secara tidak langsung dapat membantu guru pelatih dalam meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan.