Saya telah melaksanakan pengajaran mikro bersama rakan kumpulan saya bagi mata pelajaran Matematik (SK). Sesi pengajaran mikro yang telah dilaksanakan adalah untuk memenuhi tugasan kursus elektif teras iaitu MTES3182 Pengajaran Sukatan, Geometri dan Perwakilan Data yang mana mengekehendaki siswa pendidik untuk melaksanakan satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran berdasarkan resos pembelajaran yang telah disediakan seperti mana yang terdapat dalam Rancangan Pengajaran Harian secara berkumpulan. Pada sesi pengajaran dan pembelajaran tersebut, saya telah memilih tajuk panjang di bawah bidang sukatan bagi murid Tahun 1. Standard Pembelajaran yang telah dipilih ialah 6.1 Menggunakan Unit Relatif untuk Mengukur Panjang. Setelah selesai melaksanakan sesi pengajaran mikro, saya telah melakukan sesi perbincangan bersama dengan ketua panitia dan guru mata pelajaran Matematik di sekolah tersebut untuk mengenal pasti aspek kekuatan, kelemahan dan cadangan penambahbaikan terhadap aktiviti pengajaran mikro yang dilaksanakan.
Berdasarkan sesi perbincangan yang telah dilaksanakan, antara kekuatan yang telah dikenal pasti terhadap pelaksanaan langkah pengajaran dan pembelajaran seperti mana yang terdapat dalam Rancangan Pengajaran Harian ialah aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah laksanakan selaras dengan prinsip pembelajaran iaitu pembelajaran seharusnya bermula daripada mudah kepada sukar. Perkara tersebut bertepatan dengan teori perkembangan kogntif Jean Piaget yang mana menegaskan bahawa pembelajaran kanak-kanak seharusnya bermula daripada kemahiran yang mudah kepada yang sukar (Wong Kiet Wah et al., 2013). Hal ini demikian kerana, murid pada peringkat sekolah rendah berada pada peringkat operasi konkrit yang mana tidak dapat menaakul secara abstrak. Berdasarkan Rancangan Pengajaran Harian yang telah dihasilkan, langkah-langkah pengajaran yang telah ditetapkan disusun daripada yang mudah kepada sukar berdasarkan Standard Pembelajaran seperti mana yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Matematik Tahun 1 Sekolah Kebangsaan. Sebagai contoh, aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada Langkah 1 dalam Rancangan Pengajaran Harian dirancang berdasarkan Standard Pembelajaran yang mudah iaitu Membuat pengukuran objek menggunakan unit bukan piawai menerusi aktiviti mengukur kepanjangan pokok yang ditayangkan menerusi paparan slaid dengan menggunakan jengkal. Pada langkah pembelajaran yang berikutnya, aras kesukaran bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran bertambah kerana memerlukan murid mengaplikasi konsep yang telah dipelajari pada langkah sebelumnya. Deduksinya, aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan selaras dengan teori perkembangan kognitif jean Piaget yang menekankan pembelajaran seharusnya bermula daripada perkara mudah kepada yang lebih kompleks.
Penggunaan resos pembelajaran yang bersesuaian juga merupakan salah satu kekuatan sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan. Dalam hal ini, resos pembelajaran yang telah digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran meningkatkan tahap kefahaman murid terhadap isi pelajaran yang guru sampaikan. Menurut Ragbir Kaur Joginder Singh (2013), penggunaan resos pembelajaran yang bersesuaian adalah fundamental bagi memperkukuh kefahaman murid terhadap sesuatu konsep terutamanya konsep yang abstrak. Berdasarkan pernyataan tersebut, teknik serta kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dimplementasikan oleh guru bukanlah penentu berlakunya suatu proses pengajaran dan pembelajaran yang bermakna dan efektif tanpa penggunaan resos pembelajaran yang sesuai. Perkara ini signifikan dengan pernyataan Mok Soon Sang (2009) iaitu resos pembelajaran yang digunakan oleh guru untuk membantu guru tersebut melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang bermakna di dalam bilik darjah. Dalam konteks sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan salah satu resos pembelajaran yang digunakan ialah riben. Penggunaan resos pembelajaran tersebut membolehkan murid mengetahui cara untuk mengukur sesuatu benda dengan menggunakan unit bukan piawai. Konklusinya, resos pembelajaran yang telah digunakan adalah bersesuaian kerana membantu murid dalam pembinaan konsep.
Kekuatan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang seterusnya ialah mengimplementasikan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Pengaplikasian teknologi maklumat dan komunikasi dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah adalah signifikan dengan salah satu aspek Elemen Merentas Kurikulum dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Matematik Tahun 1 Sekolah Kebangsaan iaitu teknologi maklumat dan komunikasi (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2010). Penggunaan resos pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi dapat meningkatkan minat murid terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran yang guru laksanakan. Perkara ini bertepatan dengan pernyataan Noraiti A. Rashid et al. (2012) yang menegaskan bahawa penggunaan resos pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran meningkatkan motivasi murid untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru. Sebagai tamsilan, terdapat pelbagai resos pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi yang telah digunakan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti video, paparan slaid, komputer riba dan pembesar suara. Intihanya, penggunaan resos pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan meningkatkan motivasi murid untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan.
Pengimplementasian strategi pembelajaran berpusatkan murid dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran merupakan salah satu kekuatan yang telah dikenal pasti ketika pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan takrifan yang diberikan oleh Noriati A. Rashid et al. (2009), strategi pembelajaran berpusatkan murid bermaksud murid mengambil alih sedikit tanggungjawab terhadap aktiviti pembelajaran. Menerusi pengaplikasian strategi ini, masa yang banyak diperuntukkan kepada murid untuk meneroka dan menyelesaikan masalah pembelajaran dengan bimbingan daripada guru. Dalam erti kata yang lain, strategi pembelajaran berpusatkan murid memerlukan murid untuk memahami isi pelajaran yang guru sampaikan secara praktikal dengan bimbingan guru. Hal ini sejajar dengan teori pembelajaran konstruktivisme yang menekankan peranan murid sebagai pembina ilmu pengetahuan ketika berlangsungnya sesi pengajaran dan pembelajaran. Berlandaskan sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan, pengaplikasian strategi pembelajaran berpusatkan murid dapat dilihat menerusi aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada Langkah 2 dalam Rancangan Pengajaran Harian iaitu murid secara berkumpulan mengukur riben dengan menggunakan klip kertas. Dalam hal ini, murid melakukan pembelajaran secara koperatif dengan bimbingan guru untuk menguasai konsep pengukuran. Secara tuntas, strategi pembelajaran berpusatkan murid yang diaplikasikan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bertepatan dengan pembelajaran abad ke-21 yang menekankan aspek koperatif.
Menerusi sesi perbincangan yang dilakukan juga, tedapat beberapa kelemahan yang telah dikesan berkenaan dengan pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Salah satu kelemahan tersebut ialah guru tidak menunjukkan simulasi kepada murid untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Implikasinya, murid tidak dapat melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah diarahkan oleh guru dengan betul kerana guru tidak menunjukkan cara-cara yang betul bagi melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Menurut teori kognitif sosial Albert Bandura, kanak-kanak mempelajari sesuatu berdasarkan peniruan terhadap sesuatu yang berlaku dalam persekitaran sosialnya (Noriati A. Rashid et al., 2009). Berdasarkan pernyataan tersebut, simulasi yang dilakukan oleh guru adalah penting bagi membolehkan murid mengetahui cara-cara melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang guru arahkan dengan betul. Dalam konteks sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan, guru tidak menunjukkan cara untuk mengukur dengan betul sehingga menyebabkan ukuran yang diperoleh oleh murid tidak tepat. Sebagai cadangan penambahbaikan, guru perlu menunjukkan simulasi berkenaan dengan cara untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan betul agar murid dapat mengaplikasikan simulasi tersebut. Oleh itu, guru seharusnya menunjukkan simulasi pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran kepada murid signifikan dengan teori kognitif sosial Albert Bandura agar murid melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan betul.
Kelemahan yang seterusnya yang dikenal pasti dalam pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran ialah arahan dan penerangan yang guru berikan tidak jelas. Arahan dan penerangan guru yang tidak jelas menyebabkan murid tidak dapat memahami arahan dan penerangan yang guru berikan. Hal ini menyebabkan murid tersebut tidak dapat memberikan tindak balas yang sesuai berdasarkan arahan dan penerangan guru. Ragbir Kaur Joginder Singh (2013) yang menegaskan bahawa arahan dan penerangan yang jelas oleh guru membolehkan murid untuk memberi respons yang bersesuaian. Berdasarkan pernyataan tersebut guru seharusnya memberikan arahan dan penerangan kepada murid dengan menggunakan ayat yang mudah difahami. Dalam hal ini, guru perlu memberi perhatian terhadap aspek penggunaan kosa kata dan struktur ayat dalam memberi arahan dan penerangan. Penggunaan kosa kata yang diluar pengetahuan murid menyebabkan murid tidak dapat memahami aspek semantik yang terkandung dalam arahan dan penerangan guru. Contohnya, guru tidak memberikan arahan yang jelas kepada murid dalam menjawab soalan yang terdapat lembaran kerja yang diberikan. Kesannya, murid mengambil tempoh masa yang agak panjang untuk menyelesaikan soalan dalam lembaran kerja. Untuk tujuan penambahbaikan, guru perlu memberikan arahan dan penerangan yang jelas agar murid dapat memberikan tindak balas yang sesuai seperti mana yang terkandung dalam arahan dan penerangan guru.
Secara holistik, terdapat beberapa kekuatan dan kelemahan pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah dikenal pasti menerusi aktiviti perbincangan yang dilakukan dengan ketua panitia dan guru Matematik. Menerusi aktiviti perbincangan yang dilakukan, guru pelatih dapat melakukan penambahbaikan terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan. Perkara tersebut secara tidak langsung dapat membantu guru pelatih dalam meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan.
No comments:
Post a Comment