Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Saturday 30 May 2020

Latar Belakang Kerajaan Kedah Tua

Kedah Tua dikatakan telah wujud sejak abad kedua hingga keempat masihi sebagai pelabuhan perdagangan berdasarkan sumber penulisan India. Menurut Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Zuliskandar Ramli, Farhana Abdullah dan Asyaari Muhamad (2011), Kedah Tua juga merupakan antara kerajaan yang dahulunya berada di bawah naungan kerajaan Funan . Namun perkembangan Kedah Tua adalah agak terhad pada ketika itu. Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh dasar perdagangan kerajaan Funan yang memusatkan kepentingan perdagangannya di Oc-Eo dan fungsi Kedah Tua hanya sebagai feeder port iaitu pusat tempat komoditi perdagangan dihasilkan atau dikumpulkan kepada pelabuhan Oc-Eo pada masa itu (Nasha Rodziadi Khaw, Nazarudin Zainun, Tanniji Masron dan Zulkifli Jaafar, 2008)
Kedah Tua kemudiannya membebaskan diri daripada naungan kerajaan Funan dan menjalankan pentadbirannya sendiri apabila kerajaan Funan mula lemah (Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Zuliskandar Ramli, Farhana Abdullah dan Asyaari Muhamad, 2011). Kemunculan tamadun Lembah Bujang dikatakan bermula seawal abad ke-5M dan diasaskan di Sungai Mas seperti yang dinyatakan oleh Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman (2008) setelah artifak dan inskripsi ditemui di Sungai Mas ekoran projek pembinaan tali air. Menurut Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Othman Mohd Yatim (1990), kawasannya terletak antara Sungai Muda di Selatan dan Sungai Sala di Utara. Luas kawasan ini dianggarkan seluas 144 batu persegi dan merangkumi daerah Seberang Perai Utara, Yan, Kuala Muda dan Kota Setar (Nazaruddin Zainun dan Nasha Rodziadi Khaw, 2015).
Dari sudut sistem pentadbiran, tidak terdapat laporan yang jelas tentang sistem pentadbiran tempatan yang digunakan di Kedah Tua meskipun Kedah Tua wujud 600 tahun lebih awal daripada kerajaan Melayu Melaka. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, terdapat catatan yang melaporkan kewujudan pentadbiran tempatan di kawasan Kuala Kilah (kini Kuala Merbuk) yang diketuai oleh Tun Derma Dewa dan Tun Maha Perkasa semasa ketibaan Maharaja Derbar Raja pada tahun 630 Masihi. Namun, hal ini masih tidak dapat menceritakan dengan jelas sistem pentadbiran pada masa tersebut (Mazlan Ismail dan Nadzman Mustaffa, 2015). Namun Mohammad Shariff Abu Samah (2012) menjelaskan sistem pentadbiran daerah telah wujud semasa ketibaan Maharaja Derbar Raja yang mana kerajaan Kedah dibahagikan kepada empat buah daerah iaitu Kuala Kilah, Kuala Bahang, Kuala Merpah dan Kuala Bara.
Sebelum kedatangan Islam di Kedah Tua, Kedah Tua menerima dan mengamalkan agama Buddha. Hal ini adalah berdasarkan kepada penemuan Kolonel James Low juga menjumpai tinggalan kawasan jajahan Hindu dengan runtuhan candi yang berselerak di sepanjang cerun Gunung Jerai serta tujuh serpihan inskripsi yang dalam bahasa Sanskrit yang ditulis pada abad ke-4 Masihi dengan tulisan Pallawa (Mohd. Dahlan Mansoer, 1979). I.H.N. Evans pula telah menemui patung Durga Devi bersama arca Durga Mahisasuramardhini di Sungai Batu pada tahun 1921 manakala pada tahun 1923, beliau menjumpai arca Ganesha dan banyak lagi bahan arkeologi telah ditemui pada tahun-tahun selepasnya (I.H.N. Evans, 1927). Agama Buddha bertapak di Lembah Bujang pada kira-kira abad ke-5 Masihi dan kemudiannya agama ini diresapi oleh unsur Saivisma pada abad ke-7 Masihi ekoran hubungan yang erat dengan India (Paul Wheatley, 1959). Semasa peralihan pusat perdagangan Kedah ke Pengkalan Bujang pada kurun ke-10 Masihi hingga kurun ke-13 Masihi, penduduk Kedah Tua ketika itu mengamalkan Hindu-Saivisme (Adnan Jusoh, 2013). Menurut Adnan Jusoh (2013) lagi, semasa kedatangan Islam, peranan Pengkalan Bujang sebagai pelabuhan entrepot mulai merosot.

No comments:

Post a Comment