Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Saturday 30 May 2020

Faktor-faktor Kemerosotan Kedah Tua

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kemerosotan Kedah Tua terutamanya perubahan politik dan sosioekonomi pada kurun ke-13.

Perubahan politik dan dasar perdagangan China
Pada awalnya, Dinasti Song Utara mengamalkan dasar state monopoly dan hal ini dapat dilihat melalui tindakan pemerintah yang mengawal kegiatan perdagangan dan mengenakan cukai terhadap barang dagangan. Dinasti Song juga mengamalkan dasar ufti. Kawalan terhadap perdagangan dan dasar ufti ini menguntungkan pelabuhan entrepot Srivijaya serta pelabuhan di pesisir Selat Melaka termasuklah pelabuhan Kedah Tua (O.W. Wolters, 1990). Dinasti Song Utara juga mengawal perdagangan antarabangsa. Hal ini dapat dibuktikan melalui kewujudan jawatan Inspector of Foreign yang ditugaskan untuk mengawal perdagangan di setiap pelabuhan utama di China (C. P. Fitzgerald, 1961).
Perubahan politik dan dasar perdagangan China bermula pada penghujung kurun ke-12 apabila Dinasti Song Utara menghadapi masalah dengan puak-puak nomad yang terdiri daripada puak Khitan (Dinasti Liao), puak Tongut (Dinasti Hsia) dan puak Juchen (Dinasti Chin) (Nasha Rodziadi Khaw, Nazarudin Zainun, Tanniji Masron dan Zulkifli Jaafar, 2008). Pada tahun 1125, Dinasti Chin berjaya menjatuhkan tiga dinasti yang lain dan menyebabkan waris-waris Dinasti Song berundur ke Selatan China kemudian mengasaskan Kerajaan Song Selatan. Ancaman berterusan daripada puak nomad menyebabkan dasar ufti mula diabaikan. Menurut Ann Paludan (), pada tahun 1178, Maharaja Sung Hsiao Tung (1163-1190) tidak membenarkan ufti dihantar ke istana tetapi terus dihantar ke Fukien seperti yang dicatatkan oleh Ma Tuan Lin. Sehubungan dengan perubahan dasar ini, bermula pada awal hingga hujung kurun ke-13, kapal-kapal dagang dari nusantara mula berdagang terus dengan pusat pengeluaran barang dan tidak lagi berdagang di pusat-pusat pengumpulan barangan.
       Ketiadaan dasar perdagangan yang konsisten selepas kejatuhan Dinasti Song Selatan kepada orang Mongol pada tahun 1280 menyebabkan kejatuhan kebanyakan pelabuhan entrepot di nusantara termasuklah Kedah Tua. Hal ini adalah kerana, kemakmuran pelabuhan entrepot bergantung kepada penguasaan perdagangan atau peranannya sebagai penghubung antara pusat pengeluaran komoditi dengan pembeli. Terdapat juga dasar Dinasti Mongol yang mengehadkan penglibatan orang China dalam aktiviti perdagangan antarabangsa. Perubahan politik China ini membawa kepada ketiadaan penemuan seramik zaman Ming yang menunjukkan kemerosotan perdagangan di nusantara terutamanya Kedah Tua.

Perkembangan pelabuhan Jawa
Secara umumnya, pelabuhan yang terletak pada laluan perdagangan akan menjadi pelabuhan yang paling kerap dilawati dan akan meningkatkan hasil kutipan cukai sekali gus membawa kepada kekayaan pelabuhan tersebut. Hal ini dapat dibuktikan melalui kemakmuran pelabuhan-pelabuhan entrepot di pesisir Selat Melaka yang diketahui merupakan laluan utama pedagang-pedagang antarabangsa.
    Walau bagaimanapun, pada penghujung kurun ke-12, pelabuhan di Pulau Jawa mula berkembang dan telah mengatasi kepentingan Melayu-Jambi. Hal ini seperti yang dicatatkan dalam penulisan Chou-K'ii-Fei yang menyatakan bahawa  kepentingan pelabuhan ShO-Po [Jawa] telah mendahului kepentingan pelabuhan San-Fo-Tsi [Suvarnadvipa, Melayu-Jambi]. (K. A. Nilakantha Sastri). Perkembangan pelabuhan di Jawa bermula selepas  perpindahan pusat kerajaan Mataram ke Jawa Timur dan berkesinambungan sehingga ke zaman kerajaan Majapahit pada penghujung kurun ke-13. Perkembangan pelabuhan di Pulau Jawa berkemungkinan menjadi antara faktor kemerosoton Kedah Tua.
      Pada zaman awal perkembangan pelabuhan Jawa, empayar Srivijaya masih mampu menghalang pelabuhan Jawa Timur daripada menjadi saingan kepada pelabuhan-pelabuhannya di Selat Melaka kerana empayar Srivijaya masih mempunyai kuasa di perairan Asia Tenggara. Perkembangan kepentingan pelabuhan maritim Jawa Timur dibuktikan melalui konflik antara Raja Dharmawangsa Teguh dengan Melayu-Jambi pada tahun 997M (Boechari, 1976). Namun, pelabuhan Jawa Timur masih belum dapat mengatasi kepentingan pelabuhan Srivijaya sehingga kurun ke-12.
      Konflik politik yang berlaku dalam kerajaan Mataram menyebabkan Raja Airlangga membahagikan kerajaan Mataram kepada dua iaitu kerajaan Panglaju dan kerajaan Janggala (Nasha Rodziadi Khaw, Nazarudin Zainun, Tanniji Masron dan Zulkifli Jaafar. 2008). Pembahagian kerajaan ini kurang membawa kesan kepada perdagangan di Jawa kerana kekayaan hasil bumi Jawa telah menarik perhatian pedagang-pedagang asing dan menyebabkan kegiatan perdagangan maritim tetap berkembang di sana. Menurut Boechari (1976), pelabuhan di Pulau Jawa dikatakan pernah dilawati oleh para pedagang antarabangsa seperti Champa, Khmer, Burma, Sri Lanka dan India semasa pemerintahan Raja Kamesvara. Hal ini membuktikan peranan Pelabuhan Jawa sebagai pelabuhan entrepot pada masa itu. Kemakmuran Jawa juga adalah selari dengan kemerosotan kerajaan Srivijaya (Wolters, O.W., 1990).
       Dasar perdagangan yang diamalkan oleh Srivijaya juga menjadi lebih agresif pada kurun ke-13. Sebagai contohnya, Srivijaya akan menyerang kapal-kapal yang tidak singgah di pelabuhannya. Kegiatan perlanunan yang berleluasa di Karimata dan Bentan berpunca disebabkan kegiatan Datu-Datu orang laut yang bebas merompak kapal dagang yang melalui perairan Selat Melaka juga turut mengkucar-kacirkan perdagangan di Selat Melaka (Wolters, O.W., 1990). Hal ini jelas menunjukkan mereka tidak lagi terikat atau menghormati dasar perdagangan yang diamalkan oleh Srivijaya dan keadaan ini menyebabkan pedagang-pedagang luar mula hilang sabar. Pedagang mula berusaha untuk mencari pelabuhan lain dan kemudiannya memilih pelabuhan Jawa yang menggunakan dasar perdagangan yang tidak bersifat menindas pedagang sebagai alternatif kepada pedagang-pedagang antarabangsa untuk mengelak daripada perairan Srivijaya. Kekayaan hasil bumi Jawa juga berkemungkinan telah meningkatkan jumlah pedagang di Pelabuhan Jawa dan secara tidak langsung membawa kepada penurunan jumlah pedagang di pelabuhan entrepot Srivijaya iaitu Kedah Tua.

Kebangkitan Majapahit
Pada pertengahan kurun ke-14, terdapat pelbagai perubahan politik yang ketara seperti berlakunya kebangkitan kuasa Ayutthaya, kebangkitan kuasa Majapahit, kejatuhan kuasa Angkor dan pertumbuhan kerajaan-kerajaan Islam di Sumatera Utara. (George Coedes, 1988). Perubahan ini telah melenyapkan struktur sosiopolitik dan ekonomi yang pernah wujud sejak zaman proto sejarah lagi.
       Kedah Tua yang diapit oleh kuasa Angkor-Champa di Utara, Jawa di Selatan, China di Timur dan India di Barat telah menerima kesan yang amat mendalam akibat daripada perubahan-perubahan yang berlaku tersebut. Peranan Kedah sebagai sebuah pusat entrepot mula hilang apabila tiada seramik-seramik dan artifak-artifak yang dapat dipertarikhkan pada zaman Ming (Nasha Rodziadi Khaw, Nazarudin Zainun, Tanniji Masron dan Zulkifli Jaafar. 2008). Menurut Ann Paludan (1998), Dinasti Ming merupakan kuasa yang menggantikan Dinasti Mongol di Tanah Besar China.
  Penulisan Nagarakretagama menceritakan tentang bermulanya penguasaan Majapahit di nusantara telah menyenaraikan Kedah Tua sebagai jajahannya (Siametmujiana, 1976). Pada kurun ke-14, Majapahit yang memulakan dasar peluasan kuasa yang lebih agresif. Walau bagaimanapun, peluasan kerajaan Agraris yang kurang memberi perhatian terhadap perdagangan Kedah Tua berkemungkinan menyebabkan tiada usaha dilakukan untuk menghidupkannya semula. Perluasan kuasa Majapahit sehingga ke Selatan Thai kadangkala bertindih dengan kawasan naungan Thai membawa kepada ketidaktentuan politik di pesisiran Selat Melaka (Paul Wheatley, 1961). Hal sebegini sememangnya mendatangkan kesan negatif terhadap perdagangan pada masa itu. Kejatuhan Dinasti Mongol dan kebangkitan Dinasti Ming pada pertengahan kurun ke-14 dilihat sebagai zaman transisi dalam pembabakan sejarah Asia Tenggara kerana zaman ini memperlihatkan kejatuhan pelabuhan-pelabuhan tradisional di pesisiran Selat Melaka dan kebangkitan pelabuhan-pelabuhan yang baru.

No comments:

Post a Comment