Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Saturday 30 May 2020

Keperluan Memahami Budaya Bahasa Sumber dan Bahasa Sasaran dalam Penterjemahan

Adat Resam
Adat secara umumnya didefinisikan sebagai suatu aturan dan cara hidup yang mencerminkan segala perbuatan yang ada kalanya dilakukan setiap hari ataupun musim sama ada berpandukan bulan atau tahun. Adat bagi setiap masyarakat pastinya dilihat dari sistem nilai yang berbeza. Sebagai contoh, bagi masyarakat Minangkabau, adat dianggap sebagai sebuah tradisi lisan yang tinggi sekali martabatnya dalam kehidupan mereka.
            Adat dalam konteks masyarakat Minangkabau bukan sekadar cara bersanding, cara menyantap hidangan makanan, cara pertabalan Luak dan sebagainya, tetapi adat ialah suatu peraturan hidup yang perlu dipegang kuat oleh generasi mereka sehingga ke hari ini. Justeru tidak hairanlah jika dalam masyarakat mereka wujud istilah-istilah seperti undang-undang adat, mahkamah adat, ketua adat dan sebagainya. Oleh sebab itu, penterjemah harus mengambil kira aspek adat resam dalam penterjemahan kerana adat resam ialah suatu ketetapan yang tidak boleh berubah dan dianggap sebagai suatu pengungkap identiti bangsa.
            Dalam erti kata lain, penterjemah perlu memahami adat resam bahasa sumber dan bahasa sasaran termasuk hukum agama dan pantang larang. Dengan membuat penyelidikan terlebih dahulu untuk memahami adat resam sesuatu masyarakat, maka barulah kita dapat memahami adat resam dan melakukan penterjemahan dengan penyampaian makna yang berkesan.

Geografi dan Persekitaran
Setiap bahasa mempunyai kepelbagaian perbendaharaan kata yang berbeza. Perbezaan ini sangat bergantung kepada budaya, dalam hal ini termasuk lokasi geografi dan persekitaran. Sebagai contoh, penduduk luar bandar di Papua menumpukan perhatian terhadap kehidupan memburu dan mengumpul makanan di dalam hutan. Manakala penduduk yang tinggal di pelabuhan menumpukan kehidupan mereka dalam perdagangan dan pelayaran. Selain itu, masyarakat yang tinggal di bandar menumpukan kehidupan mereka terhadap pekerjaan bagi mendapatkan wang, bersukan dan bersekolah. Perbezaan dalam fokus kehidupan ini mewujudkan perbezaan dalam perbendaharaan kata.
            Sebagai contoh, masyarakat yang tinggal di kawasan perladangan dan pertanian sudah tentu mempunyai lebih banyak perbendaharaan kata berkaitan tanaman, tumbuh-tumbuhan dan musim tumbuhan berbanding masyarakat yang tinggal di kawasan perdagangan. Dalam proses penterjemahan, selain memahami teks yang akan diterjemahkan, penterjemah juga harus mempertimbangkan aspek budaya bahasa sumber dan bahasa sasaran supaya penyampaian maksud dapat dicapai.

Kepercayaan, Mitos dan Legenda
Terdapat kepercayaan karut yang masih dipegang oleh segelintir masyarakat di dunia contohnya masyarakat di Korea. Perkataan bujeog ialah aksesori yang dipakai oleh seseorang tertera tulisan, rajah ataupun gambar yang dibawa ke mana-mana atau ditampal di dinding sebagai azimat dan pelindung. Kepercayaan masyarakat Korea ini mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu yang mempercayai tangkal. Tangkal ini biasanya dibuat oleh bomoh atau dukun. Dalam masyarakat Melayu juga ada anggapan bahawa penggunaan tangkal sebagai pelindung tetapi perkara ini dilarang sama sekali dalam amalan agama Islam kerana membawa kepada amalan syirik. Persamaan dari segi kepercayaan tersebut membolehkan perkataan bujeog (bahasa sumber) diterjemahkan kepada perkataan tangkal (bahasa sasaran) disebabkan penterjemah mengetahui serba sedikit tentang kepercayaan budaya bahasa sumber dan bahasa sasaran tersebut.



Peribahasa dan Kiasan
Tiap-tiap bahasa mempunyai caranya sendiri apabila menggunakan peribahasa untuk menyampaikan perasaan dan prasangka mereka. Oleh yang demikian, peribahasa daripada bahasa asing hendaklah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu supaya tepat dengan konteksnya.
            Peribahasa ialah bentuk ungkapan yang unik yang terdapat dalam sesuatu bahasa. Salah satu punca sukarnya menterjemahkan peribahasa adalah disebabkan makna sesuatu peribahasa itu tidak mungkin dapat diteka daripada susunan ayat. Kita hanya tahu makna peribahasa apabila kita memang sudah mengetahui makna peribahasa itu sebelum membaca ayat.
Contoh:
Perkataan
Makna
Sunday
Ahad
week
minggu
Makna Sunday Week ialah Ahad selepas Ahad depan.

            Pelbagai bahasa mempunyai cara-caranya mencipta istilah-istilah secara kiasan. Biasanya perkataan-perkataan yang dikiaskan itu tidak serupa antara satu bahasa dengan bahasa lain.
Contoh:
Perkataan
Makna
wife
isteri

Kiasan:
Istilah
Makna
midwife
bidan
dutch wife
bantal peluk
housewife
suri rumah



Istilah-istilah peribahasa boleh diterjemahkan dengan menggunakan kaedah berikut:
1.     Peribahasa menjadi peribahasa
Dalam teknik ini, istilah peribahasa dalam bahasa Inggeris kekal sebagai peribahasa dalam bahasa Melayu. Ini boleh dibuat dengan dua cara:
a.     Peribahasa Inggeris itu dipinjam dengan cara menterjemahkannya secara literal. Contohnya:
yellow culture – kebudayaan kuning
honeymoon – bulan madu
in black and white – dengan hitam putih
cold war – perang dingin
skyscraper – pencakar langit

Dalam bidang sains dan teknologi, cara ini tidak digalakkan kerana makna peribahasa asing yang baru dipinjam tidak terang dan jelas. Sebagai contoh:
feedback – suap balik (biologi)  ... maklum balas
wear and tear – haus dan lusuh (ekonomi) ... haus
foul bite – gigitan salah (seni lukis) ...
green belt – jalur hijau (geografi) ... kawasan subur

b.     Peribahasa Inggeris itu digantikan dengan peribahasa Melayu.
double face – talam dua muka
lip-service – melepas batok di tangga
double-edged advantage – serampang dua mata
to kill two birds with one stone – sambil menyelam minum air

2.     Istilah peribahasa itu menjadi bukan peribahasa di dalam bahasa Melayu
Ini dibuat dengan cara memberikan sahaja makna sebenar peribahasa Inggeris itu.
Contoh:
yellow culture – budaya negatif
in black and white – secara bertulis
backfire – menikam diri sendiri
white-collar job – kerja pejabat
blue-collar job – kerja buruh

3.     Istilah bukan peribahasa dalam bahasa Inggeris menjadi peribahasa dalam bahasa Melayu
Sesetengah istilah dalam bahasa Inggeris adalah dalam bentuk bukan peribahasa. Ada kalanya istilah-istilah itu boleh diganti dengan istilah-istilah kita sendiri yang berbentuk peribahasa.
Contoh:
illiterate – buta huruf
stream – anak sungai
adopted child – anak angkat
manual job – kerja kasar
image – air muka
married – berumah tangga

Makanan dan Pakaian
Sesetengah masyarakat mempunyai makanan dan pakaian tradisi dengan nama tersendiri. Kebanyakan nama bagi makanan dan pakaian tersebut dikekalkan dan tidak berubah. Contohnya, cheongsam (bahasa sumber) apabila diterjemahkan tetap menjadi cheongsam (bahasa sasaran). Oleh itu, penterjemah perlu mengambil kira aspek makanan dan pakaian agar maksud yang diterjemahkan sampai kepada pembaca.


Nota Tambahan:
Terdapat beberapa banyak keadaan yang membawa kepada ketiadaan padanan pada peringkat kata. Keadaan-keadaan tersebut adalah seperti dalam berikut:
a)     Apabila teks bahasa sumber memperkatakan konsep-konsep budaya yang langsung tidak diketahui dalam bahasa sasaran;
b)     Konsep yang wujud dalam bahasa sumber tidak ada kata dalam bahasa sasaran untuk menamainya;
c)     Satu-satu kata dalam bahasa sumber sarat dengan makna dan perlukan banyak kata untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa sasaran;
d)     Bahasa sumber dan bahasa sasaran membuat perbezaan makna yang berlainan bagi satu-satu perkataan dalam erti kata perbezaan makna yang dipentingkan dalam bahasa sumber mungkin dipentingkan dalam bahasa sasaran atau sebaliknya;
e)     Bahasa sumber mempunyai kata umum dan superordinat tetapi ini tidak wujud dalam bahasa sasaran;
f)      Bahasa sumber mempunyai kata khusus atau hiponim merujuk sesuatu tetapi bahasa sasaran ketiadaan unsur ini;
g)     Bahasa sumber memerlukan jarak fizikal atau kedudukan seseorang diketahui sebelum dapat menyatakan sesuatu tetapi ciri ini tidak wujud dalam bahasa sasaran atau sebaliknya;
h)     Terdapat kata padanan dalam bahasa sasaran yang mempunyai maksud yang sama tetapi memberikan kesan makna yang berlainan dan kelainan ini mungkin sedikit sahaja atau mungkin ketara sehingga mendatangkan masalah terjemahan dalam konteks keperihalan keadaan berkenaan;
i)      Kelainan bentuk antara bahasa sumber dan bahasa sasaran seperti imbuhan dalam bahasa Inggeris, yang digunakan secara kreatif untuk membentuk perkataan baru mendatangkan masalah apabila diterjemahkan ke dalam bahasa yang kurang menggunakan imbuhan dengan cara yang sama;
j)      kekerapan dan tujuan menggunakan sesuatu kata ini berlainan antara bahasa sumber dan bahasa sasaran. Walaupun kata yang terbabit itu mungkin kata padanan dalam bahasa sasaran, tetapi kekerapan dan tujuan kata itu digunakan dalam bahasa sasaran tidak sama dengan kata yang sama dalam teks sumber. Hal ini membawa implikasi stail atau gaya yang tidak bersahaja atau sejadi dalam teks yang diterjemahkan;
k)    teks bahasa sumber menggunakan kata pinjaman yang bertujuan menambahkan prestij dalam teks asal tetapi kesan ini hilang dalam teks terjemahan akibat tidak mendapat kata padanan atau kata pinjaman yang dapat memberikan maksud yang sama

No comments:

Post a Comment