Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Saturday 30 May 2020

Asal-usul Nama Kedah

Terdapat beberapa pendapat yang menyatakan nama Kedah berasal daripada bahasa Arab iaitu Kalah. Ibnu Muhalhil pernah menyebut tentang sebuah negeri di utara Tanah Melayu yang bernama Kalah pada tahun 941 Masehi (Adnan Jusoh, 2013). Nama Kedah juga dikatakan berasal daripada perkataan arab iaitu Kalah Bar. Menurut Jabil Mapjabil, Nooriah Yusof dan Ahmad Tharmizzie Mat Jusoh (2010), seorang pengembara Arab bernama Sulaiman pernah menyebut tentang kawasan bernama Kalahbar yang dikatakan sebagai tempat yang bernaung di bawah Zabaj iaitu Empayar Srivijaya di Palembang dalam tulisan beliau pada tahun 851 Masihi. Menurut Paul Wheatley (1961), Kalah Bar bermaksud sebuah kerajaan yang lokasinya berdekatan dengan pesisir pantai. Kalah Bar juga merupakan kerajaan yang berada di bawah penguasaan al-Zabaj iaitu Srivijaya (Paul Wheatley, 1961). Roland Braddell (1950) pula menerangkan bahawa Kalah atau Kalah Bar merupakan sebuah kerajaan yang besar dan dikelilingi tembok, taman bunga, kemudahan sumber air, pasar dan rumah serta mempunyai penduduk yang ramai.
Menurut catatan I-Tsing, beliau telah melaporkan bahawa beliau pernah mengunjungi sebuah tempat yang bernama ‘Chieh-cha’. Catatan tersebut jelas menggambarkan lokasi yang dikunjungi oleh I-Tsing adalah negeri Kedah seperti yang ditulis semula oleh Wolters (1967),

I-Tsing belayar tanpa halangan selama 20 hari (dari Canton) dan tiba ke ‘Fo-Shih’ (Srivijaya). Dia singgah di situ dalam perjalanan (ke India) selama enam bulan dan mula mempelajari ‘Sabdawidya’ (Nahu Sanskrit). Pemerintah (Fo-Shih) menghulurkan bantuan dan mengirimnya ke (Malayu) yang kini diubah kepada ‘Shih-li-fo-shih’ (Srivijaya). Sekali lagi I-Tsing  singgah dalam perjalanan (di Malayu) selama dua bulan dan kemudian lalu kembali ke kapalnya dan meneruskan pelayarannya ke arah ‘Chieh-cha’ (Kedah). Tidak sampai bulan kedua belas (6 Januari-4 Februari, 672) layar kapal dinaikkan dan dia kembali ke kapal raja dan kemudian beransur-ansur meneruskan perjalanan ke syurga Timur (India).

Kedah juga disebut sebagai Kataha atau Kadara dalam tulisan Sanskrit menurut sumber catatan India manakala dalam tulisan Tamil pula, Kedah disebut sebagai Kadaram atau Kalagam (Adnan Jusoh, 2013). Sebuah puisi Tamil yang berjudul  Pattinappalai yang pernah menyebut tentang Kedah dan menggelarnya Kadaram merupakan bukti kewujudan Kedah pada awal abad masihi dan hubungannya dengan petempatan orang India (Adi Haji Taha dan Othman Mohd Yatim, 1981). Menurut  Abdul Rahman Abdullah (2000), Kadaram bermaksud kuali besar manakala Kalagam pula bermaksud warna hitam.
Kewujudan kerajaan Kedah juga boleh dirujuk melalui manuskrip Melayu atau sumber sastera klasik Melayu seperti Hikayat Merong Mahawangsa (1643) dan Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah (1927). Menurut Abdul Rahman Abdullah (2000), Hikayat Merong Mahawangsa meriwayatkan bahawa asal usul Kedah dikaitkan dengan negeri Rom dan diperintah oleh Raja Merong Mahawangsa sebagai Raja Kedah yang pertama. Merong Mahawangsa kemudiannya memeluk Islam dan menggunakan nama Sultan Muzaffar Shah. Manakala menurut Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karya Haji Hassan Haji Arshad pula, Raja Kedah yang pertama bernama Maharaja Derbar Raja, iaitu seorang raja yang kehilangan takhta di Gumarun dan mula memerintah pada sekitar tahun 630 Masihi. Maharaja Derbar Raja kemudiannya memeluk Islam dan menggunakan nama Sultan Muzaffar Shah.

No comments:

Post a Comment