Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Saturday 30 May 2020

Kaedah Pengajaran Kemahiran Pengajaran Lisan

Dalam pengajaran kemahiran lisan, terdapat beberapa kaedah yang boleh diimplimentasikan antaranya ialah kaedah komunikatif, kaedah audio-lingual, kaedah terus, kaedah fonetik/linguistik dan kaedah eklektik. 

 Kaedah Terus
Menurut Tuan Jah Tuan Yusof dan Faridah Nazir (2014), kaedah ini merujuk kepada pengajaran dan pembelajaran untuk menguasai bahasa pertama secara natural. Kaedah ini juga bermakna belajar secara terus, iaitu menggunakan terus bahasa sasaran tanpa terjemahan ke dalam bahasa ibunda. Kemahiran mendengar dan bertutur adalah diutamakan kerana perkataan yang diajarkan adalah perkara yang digunakan sehari-hari. Berdasarkan kaedah ini, perkataan konkrit contohnya, rumah diajarkan dengan menunjukkan objek rumah. Untuk perkataan abstrak pula, contohnya manis diterangkan menggunakan perkataan yang sudah diketahui oleh murid-murid. Pengajaran sesuatu topik baharu pula adalah berdasarkan sesuatu topik lain yang telah diajarkan tetapi mempunyai kaitan dengan topik baharu tersebut. Sebagai contoh, untuk mengajar ayat yang terdiri daripada kata nama + kata kerja + kata nama haruslah berdasarkan ayat yang telah diajarkan sebelumnya.
Contoh ayat:
Saya baca (ayat sebelumnya)
Saya baca buku (ayat baharu)

Kaedah ini mengutamakan kemahiran bahasa khususnya kemahiran mendengar dan bertutur dan bukannya pengetahuan tentang bahasa. Kelebihan penggunaaan kaedah ini ialah, kesalahan yang berpunca daripada gangguan bahasa ibunda dapat dikurangkan kerana murid-murid telah dibiasakan dengan cara berfikir dan bertutur secara terus dalam bahasa sasaran. Ringkasnya, kaedah terus ini dapat meningkatkan tahap penguasaan murid terhadap aspek kemahiran bertutur dalam sesuatu bahasa.

 Kaedah Fonetik/Linguistik
Kaedah Fonetik/linguistik amat relevan diaplikasikan untuk mengajar kemahiran mendengar dan bertutur (Tuan Jah Tuan Yusof dan Faridah Nazir, 2014). Hal ini demikian kerana, kaedah ini berkait rapat dengan kaedah terus. Kaedah ini juga dikenali sebagai kaedah lisan atau reform.  Pengajaran berlandaskan kaedah ini dimulakan dengan latihan pendengaran kemudian diikuti dengan latihan penyebutan. Latihan penyebutan tersebut dimulakan dengan penyebutan bunyi, perkataan, frasa dan ayat-ayat. Ayat-ayat yang dibina berdasarkan kaedah ini kemudiannya dikompilasikan menjadi dialog dan cerita. Kaedah ini tidak menggunakan ejaan biasa tetapi menggunakan simbol-simbol fonetik misalnya [Əma?] untuk perkataan emak. Nahu atau tatabahasa diajarkan secara induktif, iaitu contoh-contoh penggunaan tatabahasa itu dikemukakan kepada murid-murid sebelum peraturan dan rumus-rumus itu diajarkan. Melalui kaedah ini juga murid-murid akan menulis karangan berdasarkan apa yang didengar atau dibaca.

 Kaedah Eklektik
Menurut Tuan Jah Tuan Yusof dan Faridah Yusof (2014), kaedah ini mengambil ciri-ciri yang baik daripada kaedah lain dan menggabungkannya. Kaedah yang digabungkan misalnya kadah nahu dan kaedah terjemahan yang diubah suai mengikut situasi dalam pengajaran. Kaedah ini juga dikenali sebagai kaedah aktif kerana gabungan ciri-ciri yang baik daripada pelbagai kaedah lain yang dimilikinya. Berdasarkan kaedah eklektik, kemahiran-kemahiran bahasa diajarkan mengikut susunan iaitu bertutur, menulis, memahami dan membaca. Kaedah ini bersifat fleksibel kerana guru boleh mengubah kaedah pengajarannya mengikut keperluan murid-murid. Aspek tatabahasa pula diajarkan mengikut situasi, iaitu sama ada secara deduktif ataupun induktif. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan meliputi latihan mendengar dan bertutur, bacaan kuat dan bersoal jawab.

Kaedah Audio-Lingual

Kaedah ini merupakan gabungan dua kemahiran iaitu kemahiran mendengar (audio) dan kemahiran bertutur (lingual). Kaedah ini mengutamakan penggunaan bahan bantu belajar berupa alat-alat audio seperti radio, pita rakaman, compact disk (audio) dan piring hitam (Tuan Jah Tuan Yusof dan Faridah Nazir, 2014). Bahan-bahan yang diperdengarkan kepada murid-murid ialah petikan bunyi haiwan, bunyi sesuatu suasana misalnya suasana seram, seni kata lagu, nyanyian, petikan cerita dan sajak. Melalui kaedah ini, murid-murid akan mendengar, sebagai tamsilan rakaman sajak daripada pita rakaman. Melalui pengalaman mendengar tersebut, murid-murid akan berlatih menyebut perkataan, frasa dan ayat yang didengar termasuk nada dan intonasinya secara latih tubi. Murid-murid seterusnya akan berlatih mendeklamasikan sajak dengan rakan secara berpasangan atau berkumpulan. Melalui kaedah ini, murid-murid lebih mudah mengingat maklumat yang didengar. Ingatan murid-murid juga dapat diperkukuh dengan cara mendengar semula rakaman dan berbincang dengan rakan-rakan. Murid-murid juga mudah mempelajari bunyi-bunyi linguistik yang berbeza serta nada dan intonasi bahan yang diperdengarkan. Intihanya, kaedah audio-lingual ini adalah relevan degan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Malaysia Sekolah Rendah yang menekankan penggunaan kepelbagaian sumber khususnya dari aspek bahan bantu mengajar dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Kaedah Komunikatif

Menurut Tuan Jah Tuan Yusof dan Faridah Nazir (2014), Kaedah komunikatif terbentuk berlandaskan teori huraian bahasa fungsian dan teori kecekapan komunikatif, manakala teori pembelajarannya pula adalah berdasarkan teori interaksi. Kaedah komunikatif mementingkan proses pemerolehan bahasa kanak-kanak yang melibatkan kognitif dan interaksi bahasa. Kaedah ini menitikberatkan pengajaran kecekapan bahasa, iaitu tatabahasa dan kecekapan komunikatif terutamanya kemahiran mendengar dan bertutur. Ketika murid-murid melalui proses pemerolehan bahasa, mereka menguasai makna terlebih dahulu sebelum dapat menggambarkan makna tersebut dalam struktur ayat tertentu. Proses menggambarkan makna dalam struktur ayat tertentu tersebut menuntut guru-guru melatih murid-murid menguasai kemahiran mendengar dan bertutur melalui aktiviti bahasa yang bermakna. Sehubungan itu, aktiviti-aktiviti bahasa yang bermakna dalam kaedah komunikatif ialah penyelesaian masalah, perbincangan, dialog, sumbang saran dan wawancara. Deduksinya, kecekapan lisan murid dapat ditingkatkan menerusi kaedah komunikatif.

No comments:

Post a Comment