Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Saturday 30 May 2020

Cabaran Pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Goay Teck Chong et. al (2013) menyatakan bahawa Dasar Kebudayaan Kebangsaan merupakan salah satu dasar sosial yang diperkenalkan oleh kerajaan ke arah mewujudkan identiti nasional negara untuk menerapkan nilai perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Dengan adanya identiti nasional tersebut, perpaduan dalam kalangan kaum dapat diwujudkan menerusi perkongsian kebudayaan kebangsaan yang sama. Dalam hal ini, Dasar Kebudayaan Kebangsaan berteraskan kebudayaan Melayu dan mengintegrasikan elemen kebudayaan kaum lain yang relevan dalam konteks Malaysia. Pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan merupakan medium yang sesuai untuk menonjolkan keunikan budaya yang terdapat dalam negara. Masyarakat multietnik di negara ini mempunyai kepelbagaian budaya yang unik. Menerusi Dasar Kebudayaan Kebangsaan, budaya tersebut diketengahkan menerusi beberapa inisiatif yang telah diperkenalkan oleh pihak berwajib. Namun demikian, Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang telah diperkenalkan dilihat kurang efektif dalam mewujudkan perpaduan kaum dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia. Perkara ini sudah tentu memberi implikasi yang negatif terhadap usaha kerajaan untuk merealisasikan hasrat Transformasi Nasional 2050 yang memberi penekanan terhadap penyatuan masyarakat multietnik yang terdapat di negara ini tanpa mengira aspek perbezaan. Terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh pihak kerajaan dalam mempraktikkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan ke arah merealisasikan hasrat untuk membentuk perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini.

Perbezaan budaya masyarakat multietnik yang wujud di negara ini merupakan cabaran utama dalam merealisasikan hasrat Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Secara amnya, kebudayaan merupakan seluruh cara hidup masyarakat atau seluruh aspek pemikiran dan tingkah laku manusia yang diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi yang lain melalui proses pembelajaran (Husin Fateh Din dan Nazariyah Sani, 2014). Untuk realisasikan hasrat pembinaan kebudayaan kebangsaan seperti mana yang ditekankan dalam Dasar Kebudayaan, kerajaan menerusi Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan telah memperkenalkan beberapa strategi untuk memastikan dasar tersebut dipraktikkan dengan jayanya. P. Sivarajan et al. (2015) menyatakan bahawa proses pembentukan kebudayaan nasional memerlukan perancangan yang terperinci supaya dapat melahirkan cara hidup yang mencerminkan identiti Malaysia. Hal ini demikian kerana, kewujudan masyarakat majmuk merupakan cabaran yang besar dalam merealisasikan konsep negara bangsa. Akan tetapi, pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan telah menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Hal ini demikian kerana, timbul kerisauan dalam kalangan masyarakat majmuk berkenaan dengan kelestarian budaya kaum masing-masing. Mereka beranggapan bahawa pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan melenyapkan kebudayaan tradisional kaum mereka. Oleh yang demikian, usaha kerajaan untuk mengukuhkan semangat perpaduan menerusi perkongsian budaya tidak menampakkan hasil seperti yang dimatlamatkan kerana masyarakat masih berfikiran liberal. Ringkasnya, mentaliti masyarakat yang lebih mementingkan hak dan identiti kaum masing-masing menyebabkan pelaksaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan terjejas lalu menyebabkan usaha untuk mewujudkan negara bangsa Malaysia sukar direalisasikan.

Cabaran yang dihadapi dalam usaha untuk merealisasikan kebudayaan kebangsaan yang difokuskan oleh Dasar Kebudayaan Kebangsaan ialah isu bahasa kebangsaan. Menurut Goay Teck Chong et al. (2013), bahasa kebangsaan dapat ditakrifkan sebagai suatu bahasa yang menjadi lambang identiti kebangsaan sesuatu bangsa atau negara secara unik yang kebiasaannya digunakan untuk wacana politik dan undang-undang dan ditetapkan oleh kerajaan negara tersebut. Berdasarkan pernyataan tersebut, bahasa kebangsaan merupakan salah satu identiti nasional bagi  negara. Dalam konteks negara Malaysia, bahasa Melayu yang mengikuti piawaian ditetapkan Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan bahasa kebangsaan seperti mana yang dinyatakan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia iaitu Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Berlandaskan pernyataan tersebut, bahasa Melayu dijadikan medium utama sebagai alat komunikasi dan merupakan identiti nasional yang dikongsi oleh semua rakyat. Namun demikian, terdapat sesetengah rakyat di negara ini yang memperjuangkan bahasa ibunda mereka untuk kerana mereka beranggapan bahawa bahasa ibunda tersebut juga perlu dimartabatkan. Hal ini sudah tentu menyebabkan usaha untuk mewujudkan bahasa kebangsaan sebagai identiti nasional mengalami halangan. Deduksinya, sikap memperjuangkan bahasa ibunda kaum masing-masing menyebabkan usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai identiti nasional terjejas
Dalam merealisasikan hasrat mewujudkan kebudayaan kebangsaan yang difokuskan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan, cabaran yang berikutnya ialah pempraktikan sistem pendidikan vernakular yang diperkenalkan semasa era imprealisme British. Matlamat utama pihak British untuk melaksanakan sistem pendidikan vernakular di negara ini pada era pramerdeka adalah untuk mengelakkan daripada wujudnya perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Menurut Sufean Hussin (2004), sistem pendidikan tersebut masih dipraktikkan sehingga pada masa ini dalam sistem pendidikan negara menerusi kewujudan beberapa buah sekolah vernakular. Sebagai contoh, sistem pendidikan dalam negara mempunyai beberapa aliran sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil pada peringkat rendah. Dalam hal ini, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil menggunakan bahasa ibunda masing-masing iaitu bahasa Cina dan bahasa Tamil dalam pelaksanaan aktiviti formal di sekolah tersebut. Disebabkan perkara tersebut, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan konsep Sekolah Wawasan untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan murid multietnik. Dalam hal ini, bahasa Melayu merupakan salah satu identiti nasional yang terkandung dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Menurut Noriati A. Rashid et al. (2013), Sekolah Wawasan adalah sekolah rendah yang berkonsepkan pembelajaran secara bersama-sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum atau agama. Berdasarkan konsep tersebut, dua atau tiga buah sekolah rendah berlainan aliran akan ditempatkan dalam kawasan yang sama. Setiap sekolah akan mempunyai bangunan sendiri yang boleh disambung antara satu sama lain dengan menggunakan jambatan penghubung. Walau bagaimanapun, hasrat murni pihak Kementerian Pelajaran Malaysia tersebut tidak begitu efektif kerana mentaliti masyarakat yang risau akan kehilangan identiti dan jati diri kaum masing-masing. Buktinya, terdapat penentangan berkenaan dengan pelaksanaan konsep Sekolah Wawasan oleh Gabungan Persatuan Guru-guru dan Lembaga Pengelola Sekolah Cina. Penentangan tersebut jelas menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia tidak bersedia untuk menjayakan konsep kebudayaan kebangsaan. Intihanya, kewujudan sistem pendidikan vernakular yang dipraktikkan dalam sistem pendidikan negara menyukarkan lagi usaha untuk merealisasikan intipati Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Sistem politik berasaskan perkauman yang wujud di Malaysia  juga merupakan antara cabaran dalam merealisasikan konsep kebudayaan kebangsaan seperti mana yang dihasratkan dalam Transformasi Nasional 2050. Politik berasaskan kaum merujuk kepada keadaan sistem politik yang memperjuangkan hak dan ideologi kaum masing-masing (Abdul Karim Abdullah dan Ghazali Basri, 1979). Struktur sistem politik yang mewakili kaum masing-masing telah menyukarkan usaha untuk menimbulkan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat di negara ini. Hal ini demikian kerana, kebanyakan politik yang wujud dilihat lebih cenderung untuk memperjuangkan hak dan keistimewaan kaum masing-masing seolah-olah menidakkan kepentingan identiti nasional sebagai medium yang mewujudkan semangat perpaduan dalam konteks masyarakat majmuk. Perkara tersebut dapat dilihat apabila wujudnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang mewakili kaum Melayu, Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang mewakili kaum Cina, Kongres India Malaysia (MIC) dan beberapa parti yang mewakili masyarakat peribumi di Sabah dan Sarawak. Politik yang bersifat perkauman amat bahaya dalam usaha memupuk perpaduan, kerana parti yang berasaskan kaum memperjuangkan untuk kepentingan sesuatu kaum sahaja (Azman Abdul Manaf, 2001). Perasaan prejudis antara kaum masih menjadi masalah dan oleh itu hubungan antara kaum di Malaysia hanya retorik. Keadaan ini berlaku kerana parti yang berasaskan kaum yang jelas memperjuangkan kaum mereka sahaja dan ini akan menimbulkan sensitiviti perkauman. Konklusinya, politik perkauman yang memperjuangkan hak kaum masing-masing merupakan cabaran utama dalam usaha untuk mewujudkan kebudayaan kebangsaan yang diinspirasikan berdasarkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Secara holistik, terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi dalam usaha untuk merealisasikan hasrat Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang ingin mewujudkan kebudayaan kebangsaan yang menjadi identiti nasional rakyat Malaysia, . Perkara ini adalah penting ke arah pembinaan rakyat Malaysia yang bersatu padu seperti mana yang ditekankan dalam Transformasi Nasional 2050. Transformasi Nasional 2050 memberi fokus terhadap pembentukan sebuah negara bangsa Malaysia bukanlah mudah. Hal ini demikian kerana, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia masih kurang sedar tentang pentingnya identiti nasional untuk mewujudkan perpaduan dan persefahaman dalam menjayakan konsep kebudayaan kebangsaan. Untuk itu, masyarakat majmuk di negara ini seharusnya mewujudkan persefahaman antara satu dengan lain. Masyarakat pelbagai kaum juga seharusnya tidak membangkitkan isu-isu yang berunsurkan perkauman. Dalam erti kata yang lain, masyarakat majmuk di negara ini seharusnya menghormati sensitiviti kaum-kaum yang lain dan mengamalkan konsep bertoleransi. Kerajaan juga seharusnya mengambil langkah proaktif dalam mewujudkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini. Pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan merupakan medium yang efektif yang mampu mewujudkan perkongsian identiti nasional sebagai bangsa Malaysia yang bersatu padu. Dengan wujudnya perkongsian tersebut, Malaysia akan dikenali pada peringkat global menerusi kewujudan perkongsian identiti yang unik seperti mana yang diberi penekanan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

No comments:

Post a Comment