Dalam drama, vokal dan pengucapan merupakan aspek yang memainkan peranan penting untuk memastikan drama tersebut menarik perhatian penonton. Dalam hal ini, pelakon bagi sesebuah drama memainkan peranan penting untuk menarik minat dan perhatian penonton terhadap drama tersebut. Oleh yang demikian, pelakon perlulah menguasai pelbagai kemahiran dalam aspek vokal dan pengucapan. Dengan menguasai aspek tersebut, pelakon dapat melontarkan suaranya dengan baik. Lontaran suara yang baik juga memainkan peranan penting untuk membantu pelakon menyampaikan emosinya kepada penonton. Secara umumnya, asas vokal dan pengucapan dalam drama dapat dibahagikan kepada pernafasan, vokal dan variasi vokal.
Asas Vokal dan Pengucapan
|
· Pernafasan
· Vokal
· Variasi Vokal
|
Pernafasan
Pernafasan memainkan peranan penting dalam drama. Menurut Mana Sikana (1985), penafasan yang baik membolehkan pelakon menghidupkan watak yang dillakonkan dengan baik. Secara amnya, terdapat empat jenis pernafasan yang sering digunakan oleh pelakon untuk memastikan lakonannya berkesan. Setiap perrnafasan tersebut mempunyai fungsi tertentu yang membantu pelakon dalam lontaran vokal yang dianggap sebagai aspek penting dalam drama. Jadual 3.2 menunjukkan jenis pernafasan yang terdapat dalam drama:
Jenis Pernafasan
|
Huraian
|
Pernafasan dada
|
· Hanya sesuai sebagai aktiviti pemanasan pernafasan yang akan mengeluarkan vokal. Contohnya dalam latihan humming.
· Walau bagaimanapun pernafasan dada kurang sesuai digunakan untuk melafazkan dialog kerana boleh menjejaskan lakonan.
· Ini kerana bahu menjadi kaku dan dada membusung akibat udara yang diserap masuk ke rongga.
|
Pernafasan perut
|
· Pernafasan perut berlaku apabila kita menyedut udara ke dalam perut dan melepaskannya.
· Penggunaannya lebih praktikal kerana tidak menjejaskan aksi lakonan. Malah suara yang dikeluarkan daripada perut akan lebih jelas dan bulat.
|
Pernafasan lengkap
|
· Pernafasan lengkap merupakan pernafasan yang menggunakan dada dan perut untuk menyimpan udara sehingga mencapai tahap minimum.
· Biasanya pernafasan ini sangat penting ketika mengeluarkan vocal tanpa banyak pergerakan.Perna fasan ini sesuai untuk latihan menyanyi, humming dan pemanasan vokal.
|
Pernafasan diafragma
|
· Pernafasan diafragma ialah apabila diafragma kita mengembang apabila kita menyedut udara.
· Pernafasan ini lebih kerap digunakan oleh manusia dalam percakapan seharian.
· Pernafasan ini tidak banyak mengganggu pergerakan dan daya tampungnya lebih banyak berbanding pernafasan perut.
|
Berikut adalah latihan pernafasan yang digunakan oleh pelakon untuk menguasai kemahiran lontaran vokal yang baik:
Latihan Lontaran Vokal
|
· Menyedut udara seberapa banyak, masuk ke dada sehingga ke perut dan tahan.
· Gerakkan badan hingga ke batas bawah, kemudian naik ke posisi asal sebelum melepaskan nafas yang ditahan di perut tadi.
· Menarik nafas dan mengeluarkannya dengan cepat
· Menarik nafas sedalam-dalamnya kemudian dikeluarkan melalui mulut dengan mendesis, mengumam atau cara-cara lain tanpa melepaskannya terus.
|
Vokal
Menurut Indirawati Zahid dan Mardian Shah Omar (2006), vokal ialah bunyi-bunyi bersuara yang semasa menghasilkannya, udara dari paru-paru keluar melalui rongga tekak dan rongga mulut secara berterusan tanpa sebarang sekatan atau sempitan yang boleh menerbitkan bunyi-bunyi geseran. Bunyi vokal mempunyai ciri kelantangan dan kepanjangan iaitu bunyi tersebut dapat didengar dengan jelas dan lebih panjang daripada bunyi-bunyi konsonan (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Secara ringkas, bunyi vokal ialah bunyi bahasa yang tidak mengalami sebarang gangguan pada arus udara. Oleh sebab bunyi vokal dihasilkan melalui penyuaraan, maka pita suara merupakan alat yang memainkan peranan penting dalam penghasilan bunyi vokal. Sekiranya bibir dan lidah berada dalam satu keadaan, rongga yang dilalui oleh udara yang bergetar akan menyebabkan terbitnya kelantangan yang mencirikan sesuatu bunyi vokal.
Alat artikulasi yang terlibat secara langsung dalam penghasilan bunyi vokal ialah lidah, bibir dan lelangit lembut (Abdullah Hassan, 2007). Lidah berperanan menerbitkan kegiatan dan keadaan yang berbeza dan fungsi ini penting dalam menentukan kualiti vokal. Kedudukan lidah boleh dihurailan menurut dua ukuran, iaitu tinggi rendah dan depan belakang. Lidah boleh diturunkan serendah-rendahnya atau dinaikkan sehingga mendekati lelangit keras dalam menghasilkan bunyi. Dengan ini, bunyi yang terhasil boleh rendah dan boleh tinggi.
Dalam konteks drama, kemahiran vokal juga wujud serentak atau seiringan dengan gerak dalam kemahiran fizikal khasnya dalam latihan obzervasi dan ilusi. Kemahiran tersebut adalah penting untuk keserasian dan kesesuaian dalam menentukan gerak laku yang relevan dengan lontaran suara yang dilakukan. Perkara ini adalah fundamental untuk membolehkan pelakon dalam sesebuah drama mengkoordinasikan pengucapan dan pergerakan dengan baik. Asas vokal yang baik sangat penting kepada seorang pelakon. Menurut Zakaria Ariffin (2001), vokal yang baik mempunyai ciri-ciri berikut:
Ciri-ciri Vokal yang Baik
|
· Boleh didengar walau pada jarak yang jauh.
· Sebutan yang jelas dan bulat (artikulasi)
· Mesej dialog sampai kepada penonton.
· Penonton boleh tertarik dengan hanya mendengar vokal
|
Vokal yang baik boleh dihasilkan melalui latihan-latihan vocal yang berterusan dan berkesan. Antara latihan vokal yang boleh dilakukan ialah:
Latihan Vokal
|
· Tariklah nafas dan keluarkan dengan energi sambil menyebut “wah….”, mengumam “mmm…mmm…”, mendesis “sss…”, vokal aaa…,iii…, uuu…, eee…, ooo….Lakukan berulang kali.
· Gunakan melodi yang sesuai untuk latihan vokal
· Berteriak sekuat-kuatnya seperti orang histeria.
· Bersuara, berteriak, berbicara sambil berjalan, melompat, membongkok, bergulung-gulung, berlari-lari, berpusing, dan berbagai variasi lain.
|
Pada peringkat awal latihan tekak akan sakit kerana lendir-lendir tekak sedang terkikis. Namun demikian, latihan vokal jangan keterlaluan sehingga merosakkan peti suara. Latihan lebih mudah dan sesuai dilakukan di tempat terbuka dan luas seperti dalam hutan, di kawasan pantai, sungai dan bukit. Berikut merupakan aspek-aspek penting dalam vokal.
Komponen dalam Vokal
|
Huraian
|
Artikullasi
|
· Artikulasi sangat penting dalam pengucapan dialog.
· Kecacatan artikulasi dalam vokal boleh berlaku akibat gugup, bercakap terlalu cepat, latar belakang (latar bahasa) dan kecacatan semulajadi (tidak boleh menyebut R, L, O dan sebagainya).
· Oleh itu latihan diperlukan untuk mengatasi atau mengurangkan kecacatan artikulasi.
· Antaranya mengucapkan alphabet dengan betul secara berulang-ulang dan menggunakan kepelbagaian nada sama ada tinggi, rendah, sengau, kecil, besar dan sebagainya.
|
Getikulasi
|
· Getikulasi adalah suatu cara untuk memenggal kata dan memberi tekanan pada kata atau kalimat pada sebuah dialog.
· Sama seperti artikulasi, getikulasi adalah berkait rapat dengan pengucapan dialog, namun berbeza dari segi fungsinya sahaja yang berbeza.
· Getikulasi harus dilakukan jika sesuatu dialog itu mempunyai maksud yang berbeza. Misalnya, “Tuan lambat. Pergi!”
|
Intonasi
|
· Intonasi merupakan tekanan dalam pengucapan dialog agar tidak mendatar dan membosankan.
· Terdapat 3 jenis intonasi iaitu :
§ Tekanan Dinamik (keras-lembut). Dilakukan untuk memberi makna yang berbeza dalam frasa. Contohnya penekanan pada perkataan yang dihitamkan dalam frasa di bawah:
a. Saya tidak bersalah !
b. Saya tidak bersalah !
c. Saya tidak bersalah !
§ Tekanan Nada (tinggi). Mengucapkan dialog dengan nada dan bukannya seperti biasa.
§ Tekanan Tempo adalah memperlambat atau mempercepatkan pengucapan untuk tujuan penegasan sesuatu perkara.
|
Cross Talk
|
· Cross talk atau pengucapan mencelah juga sangat penting untuk melatih artikulasi dan intonasi vokal.
|
Warna Suara
|
· Setiap individu mempunyai warna suara tersendiri dan berbeza.
· Warna suara juga berbeza mengikut usia.
· Misalnya warna suara kanak-kanak berbeza dengan warna suara orang tua. Latihan peniruan suara kanak-kanak, orang tua, pengemis dan sebagainya boleh memberi variasi warna suara seseorang.
· Vokal yang baik ada kaitan dengan pernafasan.
· Oleh itu sebelum mengenali vocal latihan pernafasan perlulah dititik beratkan.
|
Pengucapan
Untuk dapat berucap dengan baik, kelenturan alat-alat pengucapan merupakan perkara asas yang perlu dikuasai dan dilatih dengan secukupnya. Alat-alat tersebut termasuklah bibir. Bibir sangat berperanan dalam membentuk huruf-huruf hidup dan huruf M-B-P. Latihan dengan membentuk mulut dengan ruang gerak yang maksimum, otot bibir berulang membentuk bunyi A-I-U-E-O. Pada bentuk O, bibir membuat bulatan dan jangan lupa tarik bibir ke arah depan tetap diperhatikan. Ketika menyebut huruf A, bibir seolah-olah pada posisi menguap membentuk lonjong maksimum. Ketika menyebut huruf I, bibir seolah-olah menarik pipi ke bawah sehingga mulut nampak pipih.
Lakukan latihan ini berulang-ulang mulai dengan tempoh masa untuk membentuk lambang-lambang bunyi, percepatkan temponya semakin cepat dan cepat lagi. Lakukan latihan dengan menyuarakan gabungan huruf mati dengan huruf di atas, menjadi MA-BA-PA, MI-BI-PI, MU-BU-PU. ME-BE-PE, MO-BO-PO berulang-ulang dari lambat ke sedang dan cepat. Lakukan juga dengan huruf mati yang lain. Lakukan dengan diiringi latihan pernafasan. Seterusnya latihan alat artikulasi rahang. Latihan membantu pembentukan rongga mulut. Tutup dan buka mulut selebar mungkin, berulang-ulang. Doronglah rahang bawah ke muka lalu buka ke bawah lalu tarik ke arah dalam/ leher lalu tutup mulut, rahang rapat, dorong ke muka kembali dan lakukan seterusnya berulang-ulang semakin cepat. Seterusnya, melakukan gerakan rahang bawah ke kanan dan kiri.
Selain daripada melatih alat-alat pengucapan, salah satu daripada tanggungjawab pelakon bagi memastikan pengucapannya dalam keadaan yang baik, pelakon perlu memastikan suaranya kedengaran dalam panggung teater. Suara adalah sesuatu yang amat bernilai bagi seseorang pelakon. Bagaimanapun, seseorang pelakon itu harus bercakap dengan lantang tanpa menjerit. Justifikasinya agar penonton dapat memahami perkataan yang disebut oleh pelakon terbabit. Justeru, seseorang pelakon hendaklah menggunakan sepenuhnya kekuatan suara baik dari segi vokal, artikulasi, ritma dan tempo suara. Bagi melontarkan suara, latihan pernafasan yang betul boleh membantu. seorang pelakon yang baik suaranya dapat didengari di seluruh auditorium tanpa menjerit. Kunci utamanya adalah ketenangan dari kerongkong dan rahang agar menghasilkan suara yang bergema. Kelantangan suara harus disertakan dengan pengucapan yang jelas atau di sebut artikulasi. Hal ini kerana, suara adalah aset yang amat bernilai kepada pelakon selain teknik atau gaya lakonan.
Variasi Vokal
Menurut Harun Mat Piah (2006), variasi vokal saling berkaitan dengan konteks iaitu maksud pada setiap perkataan dalam setiap ayat yang merujuk kepada dialog sesebuah pementasan. Kemampuan membezakan suara di dalam barisan tone yang enak mencipta kepelbagaian variasi vokal agar vokal tidak monoton atau statik. Suara yang dapat berubah mengikut masa berpotensi mencipta variasi vokal berkesan dengan menggunakan tingkatan nada, lingkungan, infleksi, kekuatan, kadar atau tempo, berhenti sekejap dan irama. Berikut adalah definisi kepada terma yang dinyatakan oleh Harun Mat Piah (2006):
Jenis Variasi Vokal
|
Huraian
|
Tinggi atau rendahnya nada
(Pitch) dan lingkungan (Range)
|
Pitch adalah bagaimana tinggi atau rendah bunyi suara. Manakala range pula adalah ukuran jarak dalam nota antara pitch paling rendah dan paling tinggi.
|
Infleksi
|
Infleksi adalah naik dan turunnya pitch pada suara.
|
Kekuaran (Intensity)
|
Kekuatan memasukkan emosi di dalam menggabungkan kualiti percakapan dengan kelakuan.
|
Kadar atau Tempo
|
Kelajuan dengan satu percakapan.
|
Tekanan Suara
|
Tekanan suara merujuk kepada jumlah tekanan, kekuatan atau berat vokal menempatkan sesetengah kata atau perkataan di dalam ayat.
|
Berhenti Seketika (Pause)
|
Permulaan penangguhan pada suara atau keraguan dalam percakapan.
|
Irama (Rhythm)
|
Perubahan dalam senyap, bunyi, kekuatan dan kelemahan dalam percakapan.
|