Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Saturday, 30 May 2020

Tujuan Membaca

Siti Hajar Abdul Aziz (2011) menyatakan bahawa tujuan utama seseorang membaca adalah untuk memperoleh atau meninterpretasikan makna daripada bahan yang dibaca. Walau bagaimanapun, kebanyakan individu mempunyai kelemahan dalam memahami bahan yang dibaca. Meskipun seseorang individu itu memberikan tumpuan terhadap bahan yang dibaca dan membaca bahan bacaan tersebut beberapa kali, namun masih gagal untuk memahaminya dengan baik. Perkara tersebut disebabkan oleh membaca melibatkan aktiviti mental yang agak rumit.
            Membaca melibatkan interaksi antara bahan bertulis atau jenis teks tertentu yang dibaca dengan pembaca itu sendiri. Pembaca pula mempunyai tujuan-tujuan tertentu semasa membaca yang dikaitkan dengan teks dan konteks pembacaan. Secara umumnya, terdapat empat tujuan membaca seperti yang berikut:

Membaca untuk Pengalaman Sastera

Membaca untuk mendapatkan pengalaman sastera melibatkan pembacaan bahan-bahan sastera bagi meneroka perkara yang berlaku dipersekitaran manusia, menghubungkan peristiwa naratif dengan pengalaman peribadi dan menghubungkaitkan emosi dengan situasi dan kemungkinan tertentu. Di sekolah, guru menggunakan pelbagai bahan sastera seperti novel, cerpen, fiksyen, cerita pendek, misteri, drama dan sebagainya untuk mencapai tujuan membaca untuk pengalaman sastera kepada murid.

Membaca untuk Mendapatkan Maklumat

Membaca untuk mendapatkan maklumat melibatkan pembacaan bahan dan teks yang berbentuk formatif bertujuan untuk memperoleh maklumat umum atau spesifik tentang sesuatu perkara.  Tujuan membaca sedemikian memerlukan pendekatan membaca yang tertentu, iaitu yang melibatkan strategi membaca dan berfikir yang nyata berbeza daripada tujuan membaca yang lain. Sebagai contoh, pembaca perlu menginterpretasikan bahan lain yang disertakan dalam teks seperti carta, graf, peta dan jadual, sama ada sebagai bahan sokongan atau data sebenar. Bahan yang bermaklumat pula adalah seperti penulisan ilmiah, biografi, artikel sains, bahan sejarah dan sebagainya.


Membaca untuk Menyelesaikan Sesuatu Tugasan

Membaca untuk tujuan menyelesaikan sesuatu tugasan melibatkan pembacaan pelbagai jenis bahan bacaan. Hal ini demikian kerana maklumat yang terdapat dalam bahan yang berbeza-beza tersebut dapat digunakan sebagai panduan dalam menyelesaikan tugasan tersebut. Menerusi pembacaan tersebut pembaca mendapat gambaran awal dan memperoleh makna bagi membantu pelaksanaan aktiviti dan memulakan tugasannya. Bagi murid pula, mereka bukan sahaja membaca untuk menyelesaikan sesuatu tugasan, malah mereka membaca bahan bacaan yang pelagai sebagai persediaan bagi menghadapi peperiksaan.

Membaca untuk Tujuan Akademik

Sekiranya seseorang individu itu membaca untuk tujuan membuat kertas kerja, disertasi atau tesis,individu tersebut mempunyai tendensi untuk menggunakan strategi membaca secara efisien kritikal. Membaca secara kritikal bermakna mengenal pasti kekuatan dan kelemahan yang terdapat dalam teks.sebagai tamsilan,seorang penulis membuat ulasan tentang sesebuah buku akan berusaha untuk memperlihatkan kelemahan atau kekuatan buku tersebut secara kritikal yang bertujuan untuk memberikan gambaran sebenar kepada pembaca tentang buku tersebut. Membaca secara kritikal dapat meningkatkan pemahaman dan pemikiran kita terhadap teks dan seterusnya dapat digunakan dalam penulisan akademik.

No comments:

Post a Comment