Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Saturday 30 May 2020

Proses Pembudayaan dalam Hidup Masyarakat Malaysia

Proses pembudayaan merupakan proses yang menunjukkan bagaimana sesuatu budaya meresap dalam sesuatu kelompok masyarakat. Pada dasarnya, proses pembudayaan dalam kalangan masyarakat Malaysia telah berlaku sejak dahulu lagi. Proses pembudayaan ini berlaku menerusi interaksi antara satu kelompok masyarakat dengan masyarakat yang lain. Secara amnya, proses pembudayaan dalam hidup masyarakat Malaysia dapat dibahagikan kepada lima jenis iaitu asimilasi, akulturasi, akomodasi, amalgamasi dan segresi. Proses ini menyebabkan wujudnya kepelbagaian budaya dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

(i)         Asimilasi

Asimilasi merupakan proses apabila kumpulan minoriti kehilangan identiti kumpulannya dan diserap oleh kumpulan yang dominan dari segi kebudayaan dan sosial (Mansor, Abdul Rahman dan Mohamad Ainudin, 2007). Terdapat dua jenis asimilasi iaitu asimilasi budaya dan asimilasi struktur. Asimilasi budaya ialah proses di mana kumpulan minoriti mempelajari ciri-ciri kebudayaan masyarakat setempat untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Contohnya, cara berpakaian, bahasa dan adat resam. Hal ini tidak bermakna kumpulan minoriti akan kehilangan identiti etniknya. Asimilasi struktur pula merupakan proses di mana kumpulan minoriti berjaya menyertai institusi utama dan aktiviti sosial dalam masyarakat dominan. Konsep asimilasi ini diwakili formula A + B + C = A. Dalam konteks Malaysia, proses asmiliasi dapat dilihat menerusi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi harian. Hal ini demikian kerana, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan di negara ini.
                                           

(ii)        Akulturasi

Akulturasi ialah satu proses di mana berlaku perubahan dan pinjam-meminjam unsur kebudayaan (Mardianah dan Hasnah, 2003). Ahli daripada pelbagai kumpulan perlu berkongsi pola kebudayaan. Contohnya, menggunakan bahasa yang sama supaya integrasi sosial tidak diganggu oleh perbezaan dan sempadan kumpulan. Berbeza dengan proses asimilasi, proses akulturasi tidak menyebabkan masyarakat kehilangan identiti asal masyarakat penerima. Konsep asimilasi ini diwakili formula A + B = AB. Dalam sejarah tamadun manusia, sering berlaku pertemuan atau pertembungan antara dua atau lebih kebudayaan. Proses ini menyebabkan berlakunya proses pinjam meminjam. Pada peringkat awal, unsur pinjaman digunakan secara langsung dan kemudian diolah serta dijadikan usur kebudayaan sendiri. Di Malaysia, beberapa kes boleh dijadikan rujukan seperti penggunaan tali leher, angpau, makanan, hiburan dan sebagainya.

(iii)       Akomodasi

Akomodasi merupakan proses yang menyebabkan setiap kumpulan etnik menyedari serta menghormati norma dan nilai kumpulan etnik lain dan tetap mempertahankan budaya hidup masing-masing (Syamsul Amri, 2007). Konsep ini diwakili oleh formula A + B + C = A + B +C. A, B dan C di sini merujuk kepada budaya. Pelbagai kumpulan etnik hidup secara harmonis dan menghormati antara satu sama lain. Pada peringkat pemerintahan pusat, setiap kumpulan etnik mempunyai wakil dalam bidang ekonomi dan pendidikan serta mereka juga saling bergantung. Konsep ini begitu meluas diamalkan di Malaysia kerana setiap kumpulan etnik bebas mengamalkan budaya mereka dalam keadaan harmoni. Dalam hal ini, masyarakat majmuk di Malaysia masih bebas mengamalkan budaya mereka. Ini kerana, rakyat di negara ini mempunyai perasaan hormat-menghormati antara satu dengan lain meskipun mempunyai perbezaan latar belakang.

(iv)       Amalgasi

Amalgamasi merupakan satu proses yang terjadi apabila budaya atau ras bercampur untuk membentuk jenis budaya dan ras baru (Syamsul Amri, 2007). Cara utama dalam menentukan proses amalgamasi adalah dengan terjadinya perkahwinan campur antara kumpulan etnik. Teori amalgamasi dinyatakan dalam bentuk formula A+B+C=D, disini A,B, dan C mewakili kumpulan etnik berlainan dan D mewakili amalgamasi iaitu satu kumpulan baru yang terhasil daripada penyatuan A,B dan C. Sebagai contoh, kumpulan-kumpulan etnik yang sedia wujud mengamalkan parkahwinan campur lalu membentuk satu genarasi baru atau budaya baru tanpa menuruti budaya asal mereka. Dalam konteks Malaysia, amalgamasi dapat dilihat menerusi kewujudan masyarakat Baba dan Nyonya yang terhasil daripada perkahwinan campur masyarakat Melayu dengan masyarakat Cina.

(v)        Segresi

Segregasi merupakan pengasingan atau penyatuan antara satu kumpulan etnik dengan satu kumpulan etnik yang lain. Pengasingan tersebut berlaku atas dasar agama, ras, kebudayaan dan ciri-ciri lain. Pengasingan tersebut berlaku dalam beberapa kaedaan iaitu tempat tinggal, jenis pekerjaan, sistem persekolahan dan penerbitan akhbar. Contohnya, pemisahan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Dalam hal ini, kewujudan sistem pendidikan vernakular telah menyebabkan kaum-kaum utama di Malaysia dipisahkan mengikut kelompok etnik masing-masing.



Proses pembudayaan tersebut mencerminkan bagaimana kumpulan minoriti menjadi sebahagian daripada arus utama masyarakat. Perkara tersebut juga menggambarkan integrasi dan semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat Malaysia meskipun mempunyai kepelbagaian budaya. Dengan adanya akomodasi di dalam masyarakat, sudah dapat mencerminkan bahawa masyarakat adalah dalam keadaan bersatu padu. Namun demikian, keadaan integrasi yang sebenar hanya dapat dicapai bermula dengan berlakunya proses akulturasi, asimilasi dan akhirnya mengalami amalgamasi.

No comments:

Post a Comment