Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Saturday, 30 May 2020

Jenis Kemahiran Membaca

Individu yang dapat menguasai kemahiran membaca berkeupayaan untuk mengamati, mengingat, mendengar dan membezakan bunyi dengan tepat dan jelas, menyebut lambang huruf yang mewakili bunyi-bunyi tertentu, menggabungkan bunyi untuk membentuk perkataan dan memindahkan lambang-lambang yang dibaca itu kepada sistem kognitif untuk difahami dan ditafsirkan.
          Niles (1963) telah mengemukakan tiga kemahiran membaca yang jelas membezakan antara pembaca yang berjaya memahami dengan baik dan sebaliknya. Kemahiran pertama ialah kemahiran mencari dan memahami perhubungan antara idea dalam ayat-ayat tunggal, perenggan dan petikan yang berbeza panjangnnya. Idea dalam teks berkaitan antara satu dengan lain dalam pelbagai cara seperti membanding dan membeza, sebab dan akibat  dan mengaitkan isi pokok dengan huraian tertentu. Kemahiran kedua ialah menetapkan tujuan-tujuan dalam bacaan dan ketiganya menggunakan sepenuhnya pengalaman lampau apabila mempelajari bahan baharu.
   Pendapat umum mengatakan kebanyakan murid didapati tidak berupaya untuk menguasai kemahiran membaca dan memahami secara berkesan di sekolah pada hari ini. Mereka tidak dapat memahami teks pelajaran, sama ada dalam mata pelajaran bahasa atau mata pelajaran yang lain disebabkan oleh penguasaan kemahiran membaca yang lemah. Salah satu punca mengapa masalah tersebut berlaku adalah kerana murid tidak mempraktikan teknik dan kaedah membaca yang betul. Dalam erti kata yang lain, murid mengabaikan strategi membaca yang sesuai dengan bahan yang dibaca dan tujuan pembacaan dilakukan. Secara amnya, kemahiran membaca dapat dibahagikan kepada dua seperti yang berikut:

Kemahiran Membaca Aktif  

Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2011), kemahiran membaca aktif melibatkan kemahiran membaca dengan tujuan tertentu. Sebelum memulakan bacaan, pembacaan telah pun mempunyai idea dalam usaha untuk memperoleh maklumat yang dicari. Kemahiran membaca jenis ini melibatkan aktiviti yang berikut:
i.           Menumpukan perhatian kepada soalan, iaitu pembaca akan sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang tujuan pembacaan. Dengan  cara ini, pembaca dapat menjimatkan masa dengan membaca perkara yang berkaitan sahaja. Pembaca juga akan mengenal pasti hujah yang relevan bagi menyokong ideanya.
ii.              Menggunakan jadual atau senerai kandungan bagi mendapatkan maklumat yang berkaitan secara cepat.
iii.          Menggunakan beberapa minit untuk melihat sepintas lalu bab atau artikel yang dibaca dengan melihat abstrak, senarai objektif, tajuk, subtajuk, pengenalan dan kesimpulan. Dalam hal ini, pembaca tidak mengambil sebarang nota, tetapi hanya membuat imbasan tentang perkara tersebut.
iv.      Mengelompokkan maklumat yang khusus dan spesifik secara bersama. Untuk melakukan perkara ini pembaca perlu menggerakkan mata secara pantas pada setiap halaman sehingga menemukan bahagian yang berkaitan, melihat kata kunci dan hujah serta kesimpulan yang dibuat oleh penulis.
v.     Mengambil nota daripada bahan yang dibaca. Pembaca perlu bijak memilih maklumat yang berkaitan sahaja, kenal pasti hujah utama, hujah sampingan dan bukti menyokongnya, bertindak balas terhadap bahan yang dibaca, sama ada bersetuju atau menolak serta mengemukakan soalan-soalan dan gunakan pen lut sinar untuk menandakan maklumat yang dikehendaki.



Kemahiran Membaca Kritikal

Siti Hajar Abdul Aziz (2011) menyatakan bahawa tujuan membaca kritikal adalah untuk memperoleh pemahaman mendalam tentang bahan yang dibaca. Oleh yang demikian, pembacaan kritikal melibatkan pembacaan yang mendalam. Pembaca boleh mengemukakan soalan kepada diri sendiri bagi memperoleh pemahaman seperti adakah penulis menyokong kenyataan dan pendapatnya dengan bukti yang sebenar dan adakah alasan yang diberikannnya itu logik.
            Selain itu, pembaca juga perlu mencatat nota dan menggariskan maklumat penting. Oleh itu, kemahiran membaca ini berbeza dengan scanning kerana teknik scanning hanya memfokuskan kata-kata kunci, iaitu kata-kata yang menjadi pokok perbahasan dalam teks tersebut. Jenis kemahiran membaca yang berfokus kepada kaedah dan cara membaca sesuatu teks pula dijelaskan seperti yang berikut:

(a)      Membaca Perlahan

Membaca secara perlahan tidak mementingkan jumlah bahan yang dibaca, sebaliknya merujuk kepada latihan bagi meningkatkan kefasihan atau kefahaman dan untuk hiburan. Membaca perlahan mengurangkan kadar bacaan seseorang, terutamanya jika bahanyang dibaca agak sukar. Membaca perlahan dalam kritikan kesusasteraan kadang kala dirujuk sebagai bahan bacaan tertutup atau dikatakan sebagai membaca secara mendalam. Membaca perlahan berlawanan dengan membaca pantas disebabkan membaca pantas melibatkan teknik membaca bagi meningkatkan kadar bacaan tanpa memberikan kesan kepada kefahaman.

(b)      Membaca Pantas

Membaca pantas merupakan satu teknik bacaan yang digunakan oleh seseorang individu bagi mendapatkan maklumat dengan cepat daripada bahan yang dibacanya. Pembaca yang berbeza akan menggunakan kaedah membaca pantas mengikut cara mereka sendiri. Antara cara yang digunakan seperti mengenal pasti perkataan tanpa berfokus pada huruf  demi huruf, tidak membunyikan kesemua huruf atau frasa yang terdapat dalam teks, mengurangkan tumpuan membaca sesetengah frasa berbanding dengan yang lain dan mengimbas bahagian-bahagian tertentu. Membaca pantas dicirikan berdasarkan analisis antara ukuran kepantasan membaca dengan kefahaman. Kebiasaannya, teks yang dicetak tebal menandakan bahawa pembaca perlu memberikan fokus terhadap teks tersebut. Pembaca tidak semestinya perlu membunyikan perkataan tersebut, tetapi membacanya sebagai satu imej yang lengkap. Skimming, merupakan proses membaca pantas yang kerap digunakan dengan memfokus mata pada  ayat-ayat dalam teks atau idea-idea pokok sebagai gagasan utama yang memberikan makna. Cara tersebut sesuai digunakan bagi mendapatkan idea keseluruhan sesuatu teks.

(c)      Membaca Tanpa Suara

Membaca tanpa suara juga dikenali sebagai bacaan senyap atau bacaan dalaman. Cara ini digunakan apabila pembaca membaca perkataan yang mengkehendakinya membayangkan bunyi perkataan tersebut semasa membacanya. Perkara tersebut merupakan proses semula jadi semasa membaca dan dapat membantu pembaca mengurangkan beban kognitif, di samping membantu minda mengakses makna untuk pemahaman dan mengingati teks yang dibaca. Setakat ini, tiada kajian yang menunjukkan membaca tanpa suara memberikan kesan negatif dalam proses membaca, sebaliknya perkara tersebut dapat meningkatkan kadar peringatan dan pemahaman terhadap teks.

No comments:

Post a Comment