Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Saturday 30 May 2020

Proses Kemahiran Mendengar

Untuk berkomunikasi dengan baik, seseorang itu perlu mendengar dengan baik juga (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Kadangkala seseorang itu hanya mendengar ayat-ayat yang dituturkan, tetapi tidak mendengar secara teliti dan kritikal. Sebagai tamsilan, apabila seseorang individu itu hendak mengemukakan komen atau respons semasa penutur sedang bercakap, individu itu tidak akan mendengar sepenuhnya perkara yang sedang diperkatakan oleh penutur tersebut. Jika individu tersebut mendengar dengan teliti, bermakna beliau menunjukkan kepekaannya terhadap orang lain. Hal ini dapat berlaku jika seseorang itu mengeksploitasi proses mendengarnya secara berkesan.
Proses mendengar bukan sahaja melibatkan alat pendengaran yang dapat dilihat, iaitu telinga tetapi ia juga menuntut peranan otak. Otak setiap manusia mampu melaksanakan aktiviti mendengar, berfikir, menilai dan menginterpretasi dalam satu masa. Untuk membolehkan otak seseorang itu melaksanakan kesemua tugas tersebut dengan baik, maka otak memerlukan latihan. Otak merupakan alat untuk memproses maklumat yang didengar oleh pendengar hingga membolehkan pendengar memahaminya dan memberikan tindak balas terhadap perkara yang diperdengarkan.
Mendengar merupakan proses yang aktif. Pendengar perlu mempunyai kemahiran untuk mendiskriminasikan bunyi ujaran yang didengar, mendengar dengan tajam dan sekali gus memahami maklumat tersebut. Hal ini bermaksud, pendengar tidak harus menerima sahaja input yang sampai ke otaknya secara pasif. Sebaliknya, dia harus bijak menepis dan menilai serta menerima input yang benar-benar penting  dan releven. Secara umumnya, proses mendengar berlaku dalam empat peringkat seperti yang berikut
       Mendengar deretan bunyi bahasa
       Memahami bunyi bahasa
       Menilai bunyi bahasa
       Bertindak terhadap bunyi bahasa
Peringkat pertama dalam proses mendengar ialah mendengar deretan bunyi bahasa. Manusia mula mendengar sejak bayi lagi, iaitu bayi yang mempunyai alat pendengaran yang sempurna, mempunyai keupayaan mendengar terlebih dahulu berbanding kebolehan bertutur. Walaupun begitu, pada masa ini otak bayi masih belum berupaya untuk memproses maklumat yang didengarinya. Hal ini berbeza bagi orang dewasa kerana ia mampu untuk memberikan respons terhadap perkara yang didengar. Telinga seseorang itu berupaya untuk mendengar segala bunyi yang terdapat di persekitarannya tanpa sebarang had. Namun demikian, bukan semua bunyi itu membawa makna. Malah, ada bunyi yang menggangu seperti bunyi bising kenderaan, muzik yang terlalu kuat dan jentera pembinaan yang membingitkan. Oleh itu, telinga dan otak seseorang hanya akan mendengar deretan bunyi bahasa daripada ujaran penutur. Hal ini kerana, bunyi tersebut membawa makna tertentu dan dapat diproses oleh otak seseorang individu.
            Peringkat kedua pula ialah memahami bunyi bahasa. Penutur akan mengujarkan deretan bunyi bahasa yang bermakna untuk suatu tujuan, misalnya untuk bertanya atau memaklumkan sesuatu. Daripada deretan bunyi bahasa yang didengar itu, penutur akan menghubungkaitkan bunyi tersebut dengan maksud tertentu. Pendegar yang dapat mendengar dengan baik akan memproses bunyi tersebut bagi membentuk kata dan seterusnya ayat-ayat yang bermakna. Dalam erti kata lain, pendengar perlu memahami bunyi-bunyi bahasa itu terlebih dahulu sebelum dia dapat membina pemahaman terhadap ujaran penutur secara holistik. Dalam hal ini, otak akan memainkan peranan secara automatik bagi memproses input yang sampai kepadanya. Setelah proses ini selesai dilaksanakan, seseorang itu akan dapat menghubungkan bunyi ujaran penutur dengan pemahamannya.
            Peringkat yang ketiga ialah menilai bunyi bahasa. Memahami deretan bunyi bahasa sahaja masih belum memadai dalam proses mendengar. Hal ini kerana, bukan semua bunyi yang difahami itu bermakna dan menepati maksud sebenar penuturnya. Justeru, proses mendengar seterusnya berlaku, iaitu yang melibatkan aktiviti menilai bunyi bahasa yang kita dengar. Sebagai contoh, intonasi ujaran yang nyaring dan keras boleh membawa makna bahawa penuturnya sedang marah. Pada peringkat ini, pendengar harus berupaya untuk menilai dan menguasai makna daripada bahasa yang didengarnya itu. Ia membolehkan pendengar membezakan bunyi yang bermakna dengan bunyi tidak bermakna dan kelainan makna antara satu bunyi dengan bunyi yang lain. Proses ini juga turut melibatkan peranan otak dan ia berlaku tanpa disedari. Hasil daripda proses ini, pendengar akan lebih memahami dan mengerti maksud ujaran yang dilafazkan.
            Peringkat yang terakhir dalam proses mendengar ialah bertindak terhadap bunyi bahasa. Proses ini berlaku setelah pendengar dapat memahami dan menanggapi bunyi ujaran penutur. Justeru, pendengar harus membina konsep pemahaman dan makna yang menepati maksud penutur. Ertinya, pendengar akan membuat interpretasi terhadap maksud sebenar penutur dengan cara menyesuaikannya dengan perbendaharaan makna yang terdapat dalam mindanya. Setelah penyesuaian itu didapati menepati konteks ujaran itu dilafazkan, maka barulah pendengar akan memberikan respons terhadapnya. Respons atau tindakan yang dilakukan oleh pendengar mungkin seperti memberikan jawapan terhadap soalan yang diajukan oleh penutur, membuat penjelasan, menyatakan maklumat ataupun bertindak melalui perbuatan.
Kesimpulannya, terdapat empat proses kemahiran mendengar iaitu mendengar deretan bunyi bahasa, memahami bunyi bahasa, menilai bunyi bahasa dan bertindak terhadap bunyi bahasa.

No comments:

Post a Comment