Pada 28 Februari 2019, saya telah menjalankan sesi temu bual bersama dengan salah seorang guru di Sekolah Kebangsaan Batu 4 Jalan Apas, Tawau. Tujuan saya melakukan sesi temu bual tersebut adalah untuk mengetahui berkenaan dengan peranan guru sebagai pemimpin profesional dalam pelbagai aspek pembelajaran dan pemudahcaraan di dalam bilik darjah. Perkara tersebut bertepatan dengan keperluan tugasan kursus asas pendidikan iaitu EDUP3083 Asas Kepemimpinan dan Pembangunan Profesionalisme Guru yang mana memerlukan saya untuk menjalankan sesi temu bual terhadap guru di sekolah pilihan saya semasa menjalani internship. Guru yang ditemu bual merupakan Ketua Panitia Matematik di sekolah tersebut dan mempunyai pengalaman mengajar selama 27 tahun bermula pada tahun 1992. Bentuk temu bual yang telah saya laksanakan adalah temu bual separa berstruktur untuk membolehkan saya melakukan penyoalan lebih lanjut berdasarkan jawapan yang dikemukakan oleh responden. Temu bual tersebut telah dilaksanakan pada 28 Februari 2019 di bilik guru sekolah bermula pukul 10:00 am sehingga 11:00 am.
Semasa melaksanakan temu bual, saya telah mengajukan beberapa soalan yang merangkumi kefahaman responden terhadap konsep profesionalisme keguruan, peranan guru sebagai pemimpin profesional dalam pelbagai aspek pembelajaran dan pemudahcaraan serta beberapa soalan lanjutan. Berlandaskan perspektif responden, profesion keguruan dianggap profesional kerana , kerjaya sebagai guru dianggap sebagai profesional kerana memberikan perkhidmatan yang penting iaitu mendidik anak bangsa, memerlukan keupayaan intelek dalam melaksanakan pembelajaran dan pemudahcaraan, memerlukan latihan khusus dalam bidang perguruan dan mempunyai kod etika tersendiri. Berdasarkan temu bual yang telah saya jalankan, terdapat beberapa peranan guru sebagai pemimpin profesional dalam konteks pembelajaran dan pemudahcaraan dalam pelbagai aspek kepemimpinan yang telah saya kemukan. Menurut Syed Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Subki Miskon (2010), kepimpinan profesional dalam kalangan guru dapat diklasifikasikan kepada empat iaitu perancangan, pengelolaan, pengarahan dan pengawalan. Dalam temu bual yang telah dilaksanakan, responden telah menyatakan peranan responden sebagai ketua panitia secara terperinci berdasarkan aspek-aspek kepemimpinan profesional dalam konteks guru seperti yang telah saya nyatakan pada awal sesi temu bual berlangsung.
Perancangan merupakan antara aspek kepemimpinan profesional dalam konteks guru. Secara amnya, perancangan merujuk kepada penentuan matlamat jangka panjang dan jangka pendek (Ragbir Kaur Joginder Singh, 2013). Berdasarkan temu bual tersebut, peranan responden dari aspek perancangan sebagai ketua panitia di sekolah tersebut adalah mengadakan mesyuarat untuk panitia matematik. Dalam mesyuarat tersebut, perkara yang dibincangkan oleh responden bersama dengan guru panitia matematik ialah pembahagian tugas dari segi kurikulum. Responden juga menyatakan bahawa pembahagian tugas tersebut dilakukan secara adil untuk memastikan guru dalam panitia matematik dapat melaksanakan tugas yang telah diberikan dengan efektif. Semasa mesyuarat juga, responden bersama dengan guru panitia matematik berbincang berkenaan dengan penghasilan rancangan pengajaran tahunan, rancangan pengajaran tahunan, rancangan pengajaran mingguan dan rancangan pengajaran harian untuk membolehkan guru panitia matematik melaksanakan proses pembelajaran dan pemudahcaraan dengan efektif dan sistematik. Responden turut menyatakan bahawa panitia matematik turut membincangkan berkenaan dengan aktiviti yang menjurus ke arah peningkatan pencapaian murid dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Matematik seperti kelas tambahan dan bengkel menjawab soalan-soalan Matematik UPSR untuk mendedahkan murid dengan format soalan Matematik UPSR untuk meningkatkan pencapaian Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi mata pelajaran tersebut. Hal ini adalah bertepatan dengan sasaran yang telah ditetapkan oleh panitia matematik sekolah tersebut.
Aspek kepemimpinan profesional yang seterusnya adalah pengelolaan. Berdasarkan konsep yang dikemukakan oleh Wong Kiet Wah et al. (2018), pengelolaan merujuk kepada peningkatan penyempurnaan perancangan untuk mencapai matlamat. Menurut responden, peranan responden dalam aspek pengelolaan sebagai ketua panitia ialah mengelola pelbagai program berasaskan akademik dan bukan berasaskan akademik untuk mengembangkan potensi murid dalam pelbagai aspek. Perkara ini bertepatan dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan rakyat Malaysia yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (Noriati A. Rashid e tal., 2012). Dalam konteks akademik, responden mengelolakan pelaksanaan kelas tambahan untuk murid Tahun 6 untuk membolehkan mereka memahami kaedah menjawab soalan kertas Matematik UPSR dengan mudah. Responden turut menyatakan bahawa pelaksanaan kelas tambahan tersebut adalah untuk meningkatkan kefahaman murid terhadap soalan aras tinggi yang telah mula diperkenalkan dalam UPSR bermula pada tahun 2016 (Raja Noraina Raja Rahim, 2018). Untuk aktiviti bukan berasaskan akademik pula, responden bersama guru dalam panitia matematik menganjurkan kuiz Matematik untuk memilih murid yang akan mewakili sekolah dalam pertandingan Kangroo Math Competetion. Responden juga turut menyatakan bahawa beliau merupakan penyelaras dalam pengelolaan pertandingan Kangroo Math Competetion tersebut. Perkara ini adalah untuk memberi peluang kepada murid menyerlahkan potensi diri masing-masing menerusi penglibatan dalam aktiviti kokurikulum. Menerusi pengelolaan aktiviti sedemikian, kepimpinan seseorang guru dapat ditingkatkan.
Pengarahan merupakan salah satu aspek kepimpinan profesional guru yang merujuk kepada cara memimpin melaksanakan tugas dan mempengaruhi individu yang dipimpin untuk mendapatkan kerjasama mereka bagi melaksanakan tugas (Omar Abdul Kareem dan Khuan Wai Bing, 2005). Dalam temu bual yang telah dilaksanakan, responden menyatakan bahawa guru sentiasa menerima arahan daripada pihak atasan signifikan dengan transformasi bidang pendidikan. Hal ini bertepatan dengan Sufean Hussin (2004) yang menyatakan bahawa bidang pendidikan bersifat dinamik mengikut perubahan semasa. Perubahan kurikulum yang berlaku menerusi pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pada tahun 2011 telah menyebabkan responden yang juga merupakan ketua panitia menghadiri kursus pelaksanaan KSSR yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Responden sebagai ketua panitia juga menyampaikan input yang diperoleh semasa kursus tersebut kepada guru matematik sekolah tersebut. Menerusi penyampaian tersebut, guru panitia matematik di sekolah dapat meningkatkan kefahaman mereka terhadap pelaksanaan proses pembelajaran dan pemudahcaraan berdasarkan KSSR.
Pengintegrasian elemen Pembelajaran abad ke-21 kini kian diberi penekanan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sejajar dengan transformasi yang berlaku dalam sistem pendidikan negara (Badrul Hisham Alang Osman, 2016). Dalam merealisasikan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengintegrasikan pembelajaran abad ke-21, responden juga telah mengarahkan agar guru matematik di sekolah tersebut melaksanakan proses pembelajaran dan pemudahcaraan yang mengintegrasikan elemen pembelajaran abad ke-21 tersebut. Menurut responden juga, penekanan yang diberikan oleh pembelajaran abad ke-21 adalah seperti peranan guru sebagai fasilitator, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi, pembelajaran berpusatkan murid dan juga pembelajaran kolaboratif. Hal ini amatlah penting untuk memastikan penglibatan aktif murid semasa berlangsungnya proses pembelajaran dan pemudahcaraan di dalam bilik darjah. Dalam hal ini, responden telah mengikuti kursus berkenaan dengan pelaksanaan pembelajaran abad ke-21 dalam proses pembelajaran dan pemudahcaraan. Untuk meningkatkan kefahaman guru matematik terhadap pengintegrasian elemen pembelajaran abad ke-21 tersebut, responden sebagai ketua panitia mengadakan sesi perkongsian untuk meningkatkan kefahaman guru matematik di sekolah berkenaan dengan kaedah pengimplementasian elemen pembelajaran abad ke-21 dalam pembelajaran dan pemudahcaraan. Oleh yang demikian, sesi perkongsian yang dilakukan oleh responden membantu guru matematik yang lain untuk meningkatkan kefahaman mereka terhadap elemen pembelajaran abad ke-21.
Selain daripada mengarahkan guru matematik melaksanakan proses pembelajaran berasaskan pembelajaran abad ke-21, responden turut mengarahkan guru matematik Tahap 1 untuk melaksanakan pentaksiran bilik darjah dalam pembelajaran dan pemudahcaraan di dalam bilik darjah. Perkara ini selaras dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang mana menyatakan bahawa pelaksanaan pentaksiran bilik darjah dalam kalangan murid Tahap 1 bermula pada tahun 2019. Menurut Luqman Arif Abdul Karim (2018), pentaksiran bilik darjah telah mula dilaksanakan di sekolah rendah bagi murid Tahap 1. Tambah responden, pentaksiran bilik darjah memerlukan peranan guru sepenuhnya dalam melaksanakan pentaksiran terhadap murid. Murid yang dinilai secara berterusan dalam pelbagai bentuk pentaksiran yang merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran dan pemudahcaraan iaitu dari aspek penilaian merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai. Untuk memastikan perkara tersebut berjalan dengan lancar, responden menyatakan bahawa beliau memberikan penerangan kepada guru matematik untuk meningkatkan kefahaman mereka terhadap pelaksanaan pentaksiran bilik darjah. Bagi memastikan perkara tersebut berlaku, responden meminta guru matematik Tahap 1 di sekolah tersebut untuk menghantar laporan pelaksanaan pentaksiran bilik darjah.
Aspek kepemimpinan profesional yang selanjutnya adalah pengawalan iaitu proses untuk menentukan dan menjamin agar kegiatan individu yang dipimpin terarah pada pencapaian matlamat yang telah ditetapkan (Syed Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Subki Miskon, 2010). Berdasarkan temu bual, responden menyatakan bahawa dalam aspek pengawalan, responden yang juga ketua panitia melakukan cerapan terhadap guru matematik untuk menilai prestasi pelaksanaan proses pembelajaran dan pemudahcaraan guru tersebut. Menerusi cerapan yang dilakukan, responden dapat membantu guru untuk melakukan penambahbaikan terhadap amalan pedagogi guru tersebut ke arah merealisasikan aspirasi sistem pendidikan negara. Hal ini sejajar dengan Zuraidah Abdullah et al. (2016) yang menyatakan bahawa penyeliaan membantu meningkatkan kualiti amalan pedagogi guru. Untuk meningkatkan kefahaman amalan pedagogi yang berkesan, responden menyatakan bahawa beliau turut melaksanakan konsep komuniti pembelajaran profesional yang mana responden berperanan sebagai mentor kepada guru matematik yang lain. Dalam hal ini, responden menyatakan bahawa antara strategi komuniti pembelajaran profesional yang beliau laksanakan adalah bimbingan rakan guru, pembelajaran rancangan pengajaran harian dan sesi perkongsian guru. Perkara tersebut amat penting untuk meningkatkan kefahaman guru terhadap pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan pemudahcaraan yang berkesan.
Secara holistik, terdapat pelbagai peranan guru sebagai pemimpin profesional dalam pelbagai aspek pembelajaran dan pemudahcaraan berdasarkan temu bual yang telah dijalankan. Berdasarkan pernyataan tersebut, peranan guru sebagai pemimpin profesional dalam pelbagai aspek pembelajaran dan pemudahcaraan dapat diklasifikasikan kepada perancangan, pengelolaan, pengarahan dan pengawalan. Aspek-aspek tersebut memainkan peranan yang fundamental dalam konteks guru sebagai pemimpin yang profesional. Perkara tersebut amatlah penting kerana keberkesanan proses pembelajaran dan pemudahcaraan bergantung kepada kepimpinan yang dimiliki oleh guru.
No comments:
Post a Comment