Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Saturday, 30 May 2020

Peringkat Kemahiran Mendengar

Siti Hajar Abdul Aziz (2011) menyatakan bahawa terdapat tiga peringkat kemahiran mendengar iaitu:

Peringkat Awal
Pada peringkat awal kemahiran mendengar, murid akan diajar untuk mengecam, mengajuk dan memilih bunyi. Mereka juga diajar untuk mendengar dan mengecam makna perkataan, rangkai kata dan ayat-ayat dalam petikan. Pada peringkat ini juga, murid akan melakukan perkara dan aktiviti yang diarahkan oleh guru. Sebagai contoh, guru mengarahkan muridnya menggayakan gaya seekor kucing, maka murid tersebut akan bertindak balas dengan menggayakan aksi seekor kucing mengikut kekreatifan masing-masing. Selain itu, pada peringkat awal ini, murid cepat bertindak terhadap soalan yang mudah. Para murid juga dapat mengingat dan memadankan perkataan dan ayat-ayat mudah dengan tepat.

Peringkat Pertengahan
Pada peringkat kedua atau peringkat pertengahan dalam kemahiran mendengar ini, murid didedahkan untuk mengecam dan mengingat fakta dan butiran secara tepat dan terperinci. Murid juga diajar untuk mengenal informasi-informasi spesifik atau maklumat khusus. Sebagai contoh, guru memberitahu murid tentang sebuah kemalangan yang terjadi baru-baru ini. Hal ini dapat meningkatkan pengetahuan murid serta murid dapat mengetahui cara-cara untuk mengelakkan kemalangan itu. Pada peringkat ini juga, murid didedahkan untuk mengenali sebab dan akibat sesuatu tindakan yang dibuat. Selain itu, murid ini akan diajar untuk mengenal perhubungan orang-orang yang berinteraksi dalam kehidupan sosial serta diterapkan ilmu dalam aspek mengenal sikap dan perasaan orang yang bercakap. Mereka akan dipupuk untuk menjadi seorang pendengar yang baik dengan sentiasa menumpukan perhatian terhadap penyampai. Hal ini adalah untuk memastikan murid tersebut menjaga perasaan penyampai serta ilmu dan maklumat yang disampaikan itu dapat memberi manfaat kepada murid terbabit.

Peringkat Maju
Peringkat ketiga pula ialah peringkat maju dalam kemahiran mendengar. Pada peringkat ini, murid dilatih untuk mengenal isi-isi penting. Sebagai contoh, dalam sebuah karangan, guru akan mengajar bagaimana untuk mencari isi-isi utama dalam karangan tersebut. murid akan dapat mengenal peranan dan perhubungan orang yang bercakap. Selain itu, murid akan diajar untuk mentafsirkan maksud orang yang bercakap. Murid tersebut juga dapat membezakan tekanan dan intonasi dalam sesebuah pertuturan. Pada peringkat ini juga, murid akan dididik untuk mengikut aliran dalam dialog atau perbualan serta mereka dapat menafsirkan tujuan penutur menggunakan pelbagai bentuk struktur nahu.

No comments:

Post a Comment