Kepentingan Fonetik dan Fonologi kepada Guru Bahasa Melayu
Penulis: Muhammad Al Afzan bin Ali Hussin
Fonetik dan fonologi merupakan salah satu cabang bidang linguistik yang mengkaji bahasa secara saintifik (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Bidang fonetik adalah suatu bidang kajian mengenai cara menghasilkan bunyi menggunakan alat dan daerah artikulasi untuk tujuan bertutur. Manakala, aspek sistem bahasa merupakan fokus kajian aspek fonologi. Fonetik dan fonologi memainkan peranan yang amat penting dalam konteks pertuturan harian. Dalam konteks pendidikan di sekolah, bidang ini perlulah dikuasai oleh guru bahasa Melayu kerana dapat memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku secara efektif. Terdapat banyak manfaat yang diperoleh oleh guru bahasa seandainya mereka menguasai bidang ini.
Fonetik dan fonologi merupakan salah satu cabang bidang linguistik yang mengkaji bahasa secara saintifik (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Bidang fonetik adalah suatu bidang kajian mengenai cara menghasilkan bunyi menggunakan alat dan daerah artikulasi untuk tujuan bertutur. Manakala, aspek sistem bahasa merupakan fokus kajian aspek fonologi. Fonetik dan fonologi memainkan peranan yang amat penting dalam konteks pertuturan harian. Dalam konteks pendidikan di sekolah, bidang ini perlulah dikuasai oleh guru bahasa Melayu kerana dapat memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku secara efektif. Terdapat banyak manfaat yang diperoleh oleh guru bahasa seandainya mereka menguasai bidang ini.
Awang Sariyan (1985) menyatakan bahawa kepentingan ilmu fonetik dan fonologi kepada guru bahasa dalam konteks aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah ialah dapat membantu para pelajar untuk bertutur dengan menggunakan sebutan baku. Penggunaan sebutan baku adalah penting untuk memastikan para pelajar dapat berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan betul. Dengan menguasai ilmu fonetik dan fonologi, guru dapat mengajarkan para pelajar mengenai cara untuk melafazkan sesuatu perkataan dengan menggunakan kaedah sebutan baku yang berasaskan sebutan fonemik dan sistem ejaan yang memerlukan para pelajar mengetahui tentang cara membunyikan setiap huruf dengan betul. Implikasinya, pelajar dapat mengurangkan penggunaan bahasa dialek tempatan ketika berkomunikasi. Konklusinya, penguasaan terhadap ilmu fonetik dan fonologi terhadap guru bahasa Melayu untuk membantu pelajar menggunakan sebutan baku dalam komunikasi harian ke arah menyeragamkan lagi kaedah sebutan dalam bahasa Melayu.
Abdullah Hassan (2007) menyatakan bahawa bidang fonetik dan fonologi membantu dalam pembelajaran bahasa kanak-kanak. Guru bahasa yang mempunyai pengetahuan tentang bidang fonetik dan fonologi dapat mengajarkan pelajar khususnya di prasekolah untuk menguasai kemahiran membaca dengan menggunakan kaedah fonetik. Penggunaan kaedah tersebut membantu pelajar prasekolah membunyikan suku kata dan menggabungkan bunyi-bunyi bahasa menjadi perkataan. Dalam erti kata yang lain, kaedah fonetik ini menfokuskan penguasaan murid terhadap hubungan huruf dengan bunyi huruf tersebut tanpa mengetahui nama huruf. Pengajaran kemahiran membaca berasaskan kaedah fonetik bermula dengan pengenalan huruf vokal , diikuti oleh huruf konsonan, pembentukan suku kata dan pembentukan perkataan yang bermakna. Dalam pada itu, guru bahasa perlulah menggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai untuk memastikan pelajar dapat memahami kaedah untuk membunyikan sesuatu huruf dengan betul. Secara ringkas, penguasaan guru bahasa terhadap bidang fonetik dan fonologi membantu guru untuk meningkatkan penguasaan kemahiran membaca dalam kalangan pelajar.
Penguasaan terhadap bidang fonetik dan fonologi turut membantu guru bahasa untuk membantu para pelajar untuk menguasai kemahiran bertutur dengan betul. Bertutur merupakan satu cara komunikasi yang kompleks iaitu penghasilan ujarandan melibatkan proses mental yang menggerakkan alat-alat pertuturan untuk mengeluarkan bunyi bahasa yang bermakna (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Selain daripada penghasilan bunyi bahasa, penggunaan unsur-unsur suprasegmental seperti tekanan, intonasi, tempo, rima dan jeda turut diperlukan untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan agar individu tersebut dapat menyampaikan sesuatu mesej. Unsur-unsur tersebut adalah penting kepada para pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang memerlukan kemahiran bertutur yang tinggi seperti debat, pidato, sajak dan sebagainya yang menekankan aspek-aspek pertuturan. Aktiviti sedemikian memerlukan pelajar menguasai aspek-aspek suprasegmental. Dengan menguasai ilmu fonetik dan fonologi, guru dapat mengajarkan pelajar tentang cara berkomunikasi dengan berkesan melalui pengaplikasian aspek-aspek suprasegmental. Deduksinya, guru bahasa yang menguasai ilmu fonetik dan fonologi dapat mengajar pelajar untuk menguasai aspek-aspek pertuturan dengan betul.
Dengan menguasai ilmu pengetahuan berkaitan dengan bidang fonetik dan fonologi, guru bahasa dapat mengatasi masalah yang berkenaan dengan sebutan pelajar terutamanya pelajar bahasa kedua (Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Dain, 1982). Hal ini demikian kerana, kebanyakan pelajar bahasa kedua menghadapi masalah untuk membunyikan fonem-fonem segmental yang terdapat dalam bahasa kedua tersebut disebabkan oleh fonem-fonem dalam bahasa kedua tidak terdapat dalam bahasa ibunda mereka. Pelajar bahasa kedua kebiasaannya mengantikan fonem segmental yang terdapat dalam bahasa kedua dengan bunyi yang paling hampir dengan bahasa ibunda mereka. Sebagai tamsilan, pelajar Cina yang mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua menghadapi masalah untuk menyebut beberapa fonem segmental dalam bahasa Melayu seperti [r] yang digantikan dengan [l]. Dengan menguasai ilmu fonetik dan fonologi, guru bahasa dapat membantu para pelajar khususnya pelajar bahasa kedua untuk menyebut huruf-huruf dalam bahasa kedua tersebut dengan betul. Guru dapat membantu pelajar tersebut untuk membunyikan fonem bahasa kedua dengan betul dengan mengajar pelajar tersebut tentang cara untuk menggerakkan alat artikulasi mereka dengan betul melalui latihan dan bahan-bahan analisis fonetik. Tuntasnya, pengetahuan yang mantap tentang ilmu fonetik dan fonologi membolehkan guru bahasa membetulkan masalah sebutan dalam kalangan pelajar bahasa kedua agar pelajar tersebut dapat membunyikan setiap fonem dalam bahasa kedua dengan betul.
Kepentingan penguasaan terhadap ilmu fonetik dan fonologi turut membantu guru bahasa untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dengan lebih efektif. Penguasaan terhadap ilmu fonetik dan fonologi membantu guru untuk mengetahui cara melafazkan setiap perkataan berdasarkan sistem sebutan baku (Raminah Sabran dan Rahim Syam, 1985). Dengan itu, guru bahasadapat mengaplikasikan sebutan baku dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Hal ini disebabkan oleh, penggunaan sebutan baku dalam menyampaikan sesuatu ilmu pengetahuan dapat membantu para pelajar dalam memahami tentang apa yang diajarkan oleh guru kerana penggunaan cara bertutur yang seragam. Seandainya guru bahasa menggunakan pelbagai variasi bahasa sedah tentulah para pelajar tidak dapat memahami apa yang diajarkan oleh guru kerana perbezaan variasi bahasa yang dituturkan. Oleh itu, ilmu fonetik dan fonologi membantu guru untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan disebabkan oleh penggunaan satu variasi bahasa baku standard.
Secara kesimpulan, ilmu pengetahuan berkenaan dengan bidang fonetik dan fonologi membantu guru bahasa untuk meningkatkan kemahiran berbahasa dalam kalangan murid khususnya dalam aspek pertuturan di samping dapat melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dengan lebih efektif. Untuk menjadi guru bahasa yang baik, pengetahuan tentang bidang fonetik dan fonologi adalah perlu untuk dikuasai oleh guru bahasa tersebut bagi memastikan pelajar dapat membunyikan fonem segmental dalam sesuatu bahasa dengan betul. Pengetahuan guru bahasa terhadap ilmu fonetik dan fonologi dengan lebih mendalam juga mampu mewujudkan satu cara berbahasa yang seragam.
No comments:
Post a Comment