Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Saturday 30 May 2020

Pengenalan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Dalam merealisasikan hasrat untuk mewujudkan satu identiti nasional yang kukuh dan utuh dalam konteks negara Malaysia, pihak kerajaan telah memperkenalkan satu dasar yang bertujuan untuk mewujudkan satu kebudayaan bersifat nasional. Perkara ini dapat dilihat menerusi kewujudan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang telah diperkenalkan pada tahun 1971 hasil daripada rumusan Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah penting bagi negara membangun dan mempunyai penduduk multietnik seperti Malaysia. Dasar tersebut dapat membentuk dan mengekalkan identiti negara dalam konteks global. Husin Fateh Din dan Nazariyah Sani (2014) menyatakan bahawa Dasar Kebudayaan Kebangsaan merupakan dasar baharu yang diwujudkan untuk memperkukuh budaya kaum di Malaysia. Dalam penggubalannya, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dirangka berdasarkan persetujuan semua pemimpin yang mewakili kaum-kaum utama di Malaysia untuk mewujudkan satu kebudayaan yang menjadi identiti Malaysia. Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah bertujuan untuk mewujudkan integrasi nasional dalam kalangan rakyat Malaysia, mewujudkan keperibadian kebangsaan dan pembangunan ekonomi yang seimbang. Penggubalan dasar ini adalah berdasarkan pertimbangan terhadap fakta perkembangan sejarah serantau dan kedudukan negara ini sebagai pusat pertemuan serta pusat tamadun dan perdagangan pada masa dahulu. Menurut  Saifuddin Abdullah (2001), Dasar Kebudayaan Kebangsaan berlandaskan tiga prinsip iaitu berteraskan kebudayaan rakyat asal di rantau ini, unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur kebudayaan kebangsaan dan Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan. Dasar Kebudayaan Kebangsaan mempunyai peranan yang signifikan ke arah mewujudkan satu masyarakat Malaysia yang mempunyai identiti nasional seperti yang ditekankan dalam Transformasi Nasional 2050.

No comments:

Post a Comment