Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Saturday, 30 May 2020

Kaedah Pengajaran Kemahiran Membaca

Menurut Abd. Aziz Abd. Talib (2000) dalam buku bukunya yang bertajuk Pedagogi Bahasa Melayu: Prinsip, Kaedah dan Teknik, terdapat empat kaedah mengajar kemahiran membaca dalam Bahasa Melayu seperti yang berikut:
       Kaedah Pandang Sebut
       Kaedah Abjad
       Kaedah Fonik
       Kaedah Bunyi Kata
       Kaedah Cerakinan
       Kaedah Binaan

Kaedah Pandang Sebut

Kaedah ini sangat popular dalam mengajar bacaan dalam bahasa Inggeris, namun guru boleh mencuba kaedah ini untuk mengajar membaca dalam Bahasa Melayu. Berdasarkan kaedah ini, pengajaran membaca adalah berdasarkan perkataan-perkataan yang biasa diguna oleh murid dalam kehidupan seharian yang membentuk kebanyakan pertuturan murid tersebut seperti saya, makan, lari, main, emak, bapa dan sebagainya (Kamarudin Hj. Husin, 1998). Guru akan memperkenalkan beberapa perkataan dahulu dan menyebut perkataan tersebut secara berulang. Pada kebiasaannya, perkataan tersebut disertakan gambar untuk memudahkan pembelajaran murid melalui pembelajaran secara visual. Kaedah tersebut tidak menggunakan aktiviti mengeja sama sekali. Sekiranya murid tidak dapat menyebut perkataan tertentu, guru menggunakan fonik atau bunyi huruf, iaitu menghubungkan satu huruf dengan satu bunyi untuk membantu pelajar menyebut perkataan tersebut. Misalnya bagi perkataan rumah, guru boleh membantu murid dengan menyebut bunyi huruf r iaitu [r] dan kalau perlu membunyikan suku kata [ru]. Secara ringkas, kaedah pandang sebut ini dapat membantu murid dalam mengukuhkan asas bacaan berdasarkan skema bahasa sedia ada mereka.

Kaedah Abjad

Raminah Hj. Sabran dan Rahim Syam (1985) menerusi buku yang bertajuk Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu menyatakan bahawa kaedah abjad merupakan kaedah yang sering kali digunakan oleh guru dalam pengajaran kemahiran membaca di sekolah. Menurut kaedah tersebut, kanak-kanak diperkenalkan dengan nama-nama huruf bermula dari huruf a sehingga huruf z. Setelah murid mengetahui nama-nama huruf, murid akan diajar untuk mengenali huruf-huruf vokal iaitu a, e, i, o dan u, huruf-huruf konsonan serta diftong iaitu aiau dan oi. Pada peringkat tersebut juga, bunyi-bunyi huruf diperkenalkan kepada murid agar mereka mengetahui bunyi-bunyi huruf tersebut. Selepas itu, huruf-huruf tersebut digabungkan bagi membolehkan murid membentuk suku kata dan seterusnya membentuk perkataan.

       Memperkenalkan huruf : a - z
       Memperkenalkan huruf vokal a, e, i, o, u
       Menggabungkan huruf konsonan dan vokal : ba, be, bi, bo, bu
       Membentuk perkataan daripada suku kata : ba + tu = batu
       Seterusnya membentuk rangkai kata dan ayat mudah.

 Kaedah abjad adalah dianggap sebagai satu kaedah yang berkesan dalam pengajaran kemahiran membaca dalam kalangan murid kerana kaedah tersebut bersesuaian dengan binaan perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya. Kaedah ini juga membolehkan murid-murid mengeja perkataan-perkataan baru yang belum dipelajarinya. Selain itu, kaedah ini memberi asas yang kukuh dalam kemahiran membaca murid.

Kaedah Fonik

Menurut Abd. Aziz Abd. Talib (2000), kaedah fonetik mensyaratkan murid mengenal dan mengingat bentuk huruf dan bunyinya tanpa mengingat nama huruf. Kaedah ini adalah berasaskan teori bahawa belajar membaca melibatkan kebolehan mengenal kod (lambang), hubungan antara bunyi dan lambang yang dilihat. Kaedah ini menekankan kepada setiap bunyi-bunyi abjad yang terdapat dalam bahasa. Setiap abjad mempunyai bunyi-bunyi tertentu dan ada juga abjad yang mempunyai lebih daripada satu bunyi terutama dalam bahasa Inggeris. Kaedah ini boleh dimulakan dengan pengenalan bunyi huruf-huruf vokal dan konsonan.
Bunyi-bunyi tersebut kemudian digabungkan untuk membentuk suku kata, dan seterusnya kepada pembentukan perkataan yang bermakna. Guru-guru boleh menggunakan gambar-gambar ilustrasi untuk menarik minat murid-murid sebagai sokongan. Murid-murid tidak diajar nama-nama huruf, sebaliknya diajar bunyi-bunyi huruf. Setelah mereka tahu hubungan tiap-tiap huruf dengan bunyinya, sukukata pula boleh dibina, kemudian baru digabungkan suku kata-suku kata ini menjadi perkataan-perkataan. Seterusnya murid-murid diberi latihan membaca ayat-ayat mudah yang menggunakan perkataan-perkataan yang telah dipelajari.


Kaedah Bunyi Kata

Profesor Isahak Haron merupakan individu yang memperkenalkan kaedah bunyi kata dalam pengajaran kemahiran membaca. Berdasarkan kaedah ini, pembelajaran kemahiran membaca murid berlaku secara berperingkat bermula dengan bunyi huruf digabungkan dengan nama huruf dan bentuk huruf (Abd. Aziz Abd. Talib, 2000). Setelah itu, murid membina suku kata dan seterusnya membina perkataan. Contoh aktiviti bagi pengajaran kemahiran membaca adalah seperti yang berikut:
  Guru menunjukkan huruf pada kad imbasan dengan gambar di sebelah belakang. Murid menyebut nama huruf tersebut.
       Guru menyebut perkataan dan bunyi huruf.
       Murid mengulangi menyebut perkataan dan bunyi huruf.
       Guru menyebut bunyi huruf dan kemudian menyebut nama huruf.
    Murid mengulang bunyi dan menyebut nama huruf, menulis huruf sambil menyebutnya (terjemahkan bunyi yang didengar kepada tulisan) dan seterusnya murid menulis huruf-huruf.
       Murid membaca apa yg telah ditulisnya, iaitu membunyikan huruf (terjemahkan huruf yang ditulis kepada bunyi yang boleh didengar).
       Murid menulis huruf dengan mata tertutup untuk dapat merasakan huruf itu

Setelah murid sudah biasa dengan nama, bunyi, dan bentuk huruf, guru boleh teruskan dengan latih tubi bagi kemahiran membaca seperti yang berikut:

       Murid melihat semula kad imbasan dan membunyikan huruf dengan kuat (proses bacaan).
       Guru membunyikan huruf-huruf tertentu secara rawak. Murid menyebut nama huruf dan kemudiannya menulis (proses mengeja).

          Hubungan antara nama, bunyi, dan bentuk huruf hendaklah diajar terlebih dahulu kepada murid dengan pengetahuan bahawa sesetengah huruf adalah vokal dan sangat diperlukan dalam setiap perkataan. Kemudian diajar huruf dan bunyi vokal pula.

Kaedah Cerakinan

Pendekatan cerakinan ini dikenali sebagai pendekatan analisis iaitu pendekatan pengajaran ini mendahulukan unsur yang besar, kemudian unsur itu dicerakinkan kepada unsur-unsur yang kecil yang membentuk struktur yang besar tersebut. Melalui pendekatan ini, pengajaran bacaan ini dimulakan dengan memperkenalkan ayat kepada murid – murid kemudian ayat itu dicerakinkan kepada perkataan-perkataan, daripada perkataan dipecahkan kepada suku kata seterusnya huruf-huruf. Contoh ayat seperti ‘saya sayang ibu’. Dalam ayat ini, perkataan-perkataan ialah ‘saya’ , ‘sayang’‘ibu’, manakala suku kata terdiri daripada ‘sa + ya’ , ‘sa + yang’ , ‘i + bu’ , dan huruf-huruf ialah ‘s’‘a’, ‘y’, ‘a’, ‘s’, ‘a’, ‘y’, ‘a’, ‘n’. ‘g’, ‘i’, ‘b’, ‘u’. Kaedah yang sesuai dengan pendekatan ini ialah kaedah pandang dan sebut yang di dalamnya terangkum kaedah seluruh perkataan, kaedah rangkai kata, kaedah ayat dan kaedah cerita.

Kaedah Binaan

Pendekatan binaan juga dikenali sebagai pendekatan sintesis iaitu pengajaran bacaan bagi pendekatan ini dimulakan dengan memperkenalkan unsur-unsur yang terkecil terlebih dahulu kemudian diikuti dengan unsur yang lebih besar. Dalam pendekatan ini, murid-murid akan diperkenalkan dengan huruf-huruf terlebih dahulu kemudian diikuti dengan suku kata, perkataan, rangkai kata, ayat dan cerita. Contoh, untuk mengajar perkataan ‘makan’, murid-murid perlu diperkenalkan dahulu dengan huruf-huruf ‘m’, ‘a’, ‘k’, ’a’ dan ‘n’ dan daripadanya dibentuk suku kata ‘ma’ dan ‘kan’, kemudian digabungkan menjadi ‘makan’. Perkataan ini akan digalurkan dengan perkataan lain yang telah diketahui oleh pelajar untuk membentuk rangkai kata, ayat dan seterusnya cerita. Kaedah yang sesuai dengan pendekatan ini ialah kaedah abjad.

No comments:

Post a Comment