Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Saturday 30 May 2020

Laporan Temu Bual Mengenai Aspek, Kesan dan Implikasi Kepelbagaian Sosiobudaya di Malaysia

Pada 16 Mac 2017, saya telah menjalankan sesi temu bual bersama dengan salah seorang guru  di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna, Sabah. Tujuan saya melakukan sesi temu bual tersebut adalah untuk mengetahui berkenaan dengan aspek, kesan dan implikasi kepelbagaian sosiobudaya di Malaysia. Perkara tersebut bertepatan dengan tugasan kursus asas pendidikan iaitu EDUP3073 Budaya dan Pembelajaran yang mana mengkehendaki saya menjalankan sesi temu bual terhadap guru di sekolah pilihan saya menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah. Semasa melaksanakan sesi temu bual bersama guru tersebut, saya telah mengutarakan beberapa soalan yang berkaitan dengan aspek, kesan dan implikasi kepelbagaian sosiobudaya khususnya di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna.
Berdasarkan temu bual yang telah saya jalankan, terdapat beberapa aspek, kesan dan implikasi kepelbagaian sosiobudaya di Malaysia khususnya di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna. Menurut responden, terdapat lima aspek kepelbagaian sosiobudaya di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna iaitu bangsa, bahasa, struktur sosial, kepercayaan dan adat resam. Saya bersetujua dengan kenyataan responden berkenaan dengan aspek sosiobdaya. Noriati A. Rashid et al. (2014) bahawa aspek budaya sosiobudaya seperti bangsa, bahasa, adat resam dan jantina. Dari segi bangsa, murid di Sekolah Kebangsaan majoritinya berbangsa Bajau. Terdapat juga murid daripada bangsa-bangsa lain seperti Bugis, Suluk dan Melayu. Untuk aspek struktur sosial pula, responden menyatakan bahawa terdapat dua peringkat struktur sosial di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna iaitu kelas pertengahan dan kelas bawahan. Berlandaskan aspek bahasa, kebanyakan murid di sekolah tersebut menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi meskipun terdapat sedikit penggunaan bahasa ibunda. Menerusi temu bual yang dijalankan, responden menyatakan bahawa kepelbagaian sosiobudaya dari aspek kepercayaan tidak wujud di sekolah ini kerana semua murid menganut agama Islam. Untuk aspek adat resam pula, terdapat pelbagai jenis adat resam  murid di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna kerana muridnya terdiri daripada pelbagai kaum meskipun didominasi oleh kaum Bajau.
Responden telah menyatakan beberapa kesan kepelbagaian sosiobudaya dalam kalangan murid di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna. Menurut responden, kesan yang paling ketara akibat wujudnya sosiobudaya yang pelbagai dalam kalangan murid di dalam bilik darjah ialah penggunaan bahasa. Dalam hal ini, responden menerangkan bahawa murid di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna ini menggunakan bahasa ibunda apabila berkomunikasi dengan rakan mereka yang terdiri daripada suku kaum yang sama. Keadaan tersebut bertepatan dengan pernyataan Sufean Hussin (2004) yang menyatakan bahawa murid-murid yang terdiri daripada bangsa yang sama lebih cenderung untuk menggunakan bahasa ibunda bangsa masing-masing apabila berkomunikasi sesama mereka. Kepelbagaian sosiobudaya dalam kalangan murid juga menyebabkan murid di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna ini mengetahui tentang budaya kaum lain menerusi interaksi sesama murid yang berbeza kaum. Perkara tersebut bertepatan dengan Najeemah Md. Yusof (2006) yang menyatakan bahawa interaksi antara murid yang terdiri daripada kaum berbeza menyebabkan murid tersebut mengetahui aspek-aspek sosiobudaya yang berbeza sesama mereka. Kepelbagaian sosiobudaya yang wujud dalam kalangan murid juga mengakibatkan murid berkumpul mengikut kumpulan tertentu mengikut bangsa, bahasa dan struktur sosial seperti mana yang dapat dilihat di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna. Hal ini signifikan dengan teori perapatan Ainsworth iaitu kanak-kanak menjalinkan hubungan sosial dengan individu yang mempunyai persamaan dengan mereka (Wong Kiet Wah et al., 2013).
Dalam sesi temu bual yang telah dijalankan, responden telah menyatakan beberapa implikasi kepelbagaian sosiobudaya dalam kalangan murid berdasarkan empat aspek iaitu murid, guru, sekolah dan pelaksanaan kurikulum tersirat.  Dalam konteks murid, kepelbagaian sosiobudaya memerlukan murid tersebut menggunakan Bahasa Melayu ketika berkomunikasi sesama mereka. Menerusi penggunaan Bahasa Melayu yang juga merupakan bahasa kebangsaan, semangat perpaduan dalam kalangan murid dapat diwujudkan (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Implikasi kepelbagaian sosiobudaya yang seterusnya ialah murid perlu memahami perbezaan dalam kalangan mereka. Perkara tersebut adalah penting untuk mewujudkan penerimaan terhadap perbezaan aspek sosiobudaya dalam kalangan murid untuk mewujudkan perasaan saling hormat-menghormati sesama murid seperti mana yang ditekankan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) menerusi aspek identiti nasional (Goay Teck Chong et al., 2013).
Menurut responden kepelbagaian sosiobudaya dalam kalangan murid juga memberikan implikasi terhadap guru kerana guru merupakan individu yang berperanan sebagai pendidik murid. Berdasarkan pernyataan tersebut, implikasi kepelbagaian sosiobudaya dalam kalangan murid terhadap guru ialah guru perlu merancang aktiviti pembelajaran yang sesuai dengan semua kepercayaan, nilai dan agama murid menerusi pembelajaran secara koperatif. Menurut Ragbir Kaur Joginer Singh (2013), pembelajaran secara koperatif mengalakkan murid untuk menerima perbezaan sesama mereka. Implikasi kepelbagaian sosiobudaya yang berikutnya ialah guru menggunakan Bahasa Melayu ketika berkomunikasi untuk membudayakan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan murid. Hal ini selaras dengan teori pembelajaran Albert Bandura yang mana murid belajar menerusi aktiviti peniruan (Wong Kiet Wah et al., 2013).
Responden juga turut menyatakan bahawa implikasi kepelbagaian sosiobudaya tidak hanya terhad dalam konteks murid dan guru. Kepelbagaian sosiobudaya dalam kalangan murid turut memberi implikasi terhadap sekolah. Implikasi kepelbagaian sosiobudaya dalam kalangan murid terhadap sekolah ialah ialah pihak sekolah seharusnya merancang aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan murid yang pelbagai kaum. Sebagai tamsilan, pihak pengurusan sekolah boleh menganjurkan aktiviti sukaneka dan sebagainya. Pihak pengurusan sekolah juga perlu memberi perhatian terhadap pembahagian murid di dalam bilik  darjah iaitu membahagikan murid yang terdiri pelbagai kaum dengan seimbang bagi setiap kelas. Respondan menyatakan bahawa berdasarkan situasi ketidakseimbangan kaum di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna, pihak pengurusan sekolah membahagikan murid ke dalam kelas yang terdiri daripada pelbagai kaum meskipun kelas tersebut didominasi oleh murid berbangsa Bajau.
Berdasarpan perspektif responden, kepelbagaian sosiobudaya dalam kalangan murid turut memberikan implikasi terhadap pengimplementasian kurikulum tersirat. Responden berpendapat bahawa implikasi kepelbagaian sosiobudaya dalam kalangan murid terhadap pengimplementasian kurikulum tersirat ialah pengajaran dan pembelajaran termasuklah pemupukan nilai-nilai murni dalam diri murid. Seterusnya, implikasi kepelbagaian sosiobudaya terhadap kurikulum tersembunyi ialah guru memberikan peneguhan kepada murid tanpa mengira bangsa, agama dan kelas sosial sewaktu mengajar.
Secara holistik, terdapat pelbagai aspek sosiobudaya yang mendatangkan pelbagai kelas dan implikasi terhadap murid, guru, sekolah dan pelaksanaan kurikulum tersirat berdasarkan sesi temu bual yang telah dijalankan.


Disediakan oleh,                                                                                          18 Mac 2017

 (MUHAMMAD AL AFZAN BIN ALI HUSSIN)
 Pelajar PISMP Bahasa Melayu (SK) Ambilan Jun 2015
IPG Kampus Tawau, Sabah.

                                                                                                      (892 patah perkataan)

No comments:

Post a Comment