Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Saturday 30 May 2020

Pengaruh Islam Terhadap Sistem Politik Masyarakat Melayu

Kedatangan agama Islam ke Tanah Melayu telah memperkenalkan beberapa unsur baharu kepada amalan pentadbiran dan pemerintahan di Tanah Melayu. Ini telah berlaku terutamanya dalam institusi kesultanan dan juga perundangan.
Sistem pentadbiran yang diamalkan di Tanah Melayu sejak sebelum kedatangan Islam ialah institusi pemerintahan beraja. Institusi raja ini telah dipengaruhi oleh tradisi Hindu-Buddha yang dikenali sebagai konsep dewa-raja. Kedatangan Islam telah mengubah kedudukan dan corak institusi raja di Tanah Melayu. Golongan raja telah mula menitikberatkan konsep-konsep Islam. Misalnya, istilah bagi sultan, Zillullah fil-alam dan Zillullah fil-ardh yang bermakna bayangan Allah di muka bumi telah mula digunakan. Konsep ini menjadi teras institusi raja dan memberikan suatu pengesahan berlandaskan Islam terhadap kewibawaan seorang raja tersebut. Para pemerintah juga telah menggunakan gelaran seperti Khalifatul Mukminin yang bermakna pemimpin orang mukmin. Contohnya, gelaran ini telah digunakan oleh Sultan Mahmud Shah di Melaka, dan Sultan Abdul Ghaffur Muhyidin yang memerintah Pahang antara tahun 1572 hingga tahun 1614.
            Dalam tradisi Hindu-Buddha, seseorang pemerintah sering sahaja menggalurkan nasab keturunannya daripada penitisan dewa. Keadaan ini telah berubah selepas kedatangan Islam. Tokong-tokoh Islam seperti Iskandar Zulkarnain, telah mula dirujuk sebagai asas nasab keturunan sultan. Hal ini secara langsung meninggikan kedudukan seseorang raja atau sultan tersebut. Seterusnya, selepas kedatangan Islam, institusi sultan di Tanah Melayu kekal sebagai institusi berdasarkan pewarisan. Sistem ini meletakkan raja atau sultan sebagai kuasa tertinggi dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran di Tanah Melayu.
            Sistem kesultanan yang wujud di Perlis, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor berbeza daripada sistem di Negeri Sembilan yang berasaskan Adat Perpatih. Di Negeri Sembilan, tunjang kuasa bukanlah terletak pada sultan tetapi pada Yang Di-Pertuan Besar. Pemerintahan dan pentadbiran sultan dibantu oleh lapisan pembesar seperti bendahara, laksamana, penghulu, bendahari, temenggung, dan sebagainya. Institusi kesultanan Melayu juga mempunyai hubungan erat dengan golongan ulama. Golongan pemerintah di Melaka, misalnya, sering mendapatkan nasihat serta pandangan golongan ulama seperti Makhdum Sayid Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar, Maulana Sadar Jahan, Maulana Jalaludin, Qadi Yusuf, dan lain-lain. Hal yang sama juga berlaku dalam kerajaan lain seperti di Kelantan, Terengganu hingga muncullah ulama terbilang seperti Tuk Pulau Manis, Tuk Pulau Condong dan Tuan Tabal.
            Kekukuhan institusi kesultanan adalah berasaskan pegangan orang Melayu terhadap konsep daulat. Konsep daulat ialah pengikat antara golongan rakyat dengan pemerintah. Konsep daulat ini tidak wujud secara bertulis, namun, konsep ini dipegang sebagai sesuatu yang dipercayai kebenarannya. Konsep ini telah mengangkat kedudukan seseorang raja atau sultan ke tahap yang begitu tinggi dan menimbulkan penghormatan rakyat terhadap institusi tersebut. Bagi mengukuhkan konsep daulat tersebut, berbagai-bagai adat istiadat diwujudkan. Adat istiadat ini membabitkan cara berpakaian dan jenis pakaian, bahasa dan pengucapan, tingkah laku dan sebagainya. Antara adat istiadat yang menggambarkan kedaulatan seseorang sultan termasuklah istiadat pertabalan yang disempurnakan dengan penuh tertib dan mengikuti aturan yang telah ditetapkan.

No comments:

Post a Comment