Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Saturday, 30 May 2020

Pengaruh Islam Terhadap Ekonomi Masyarakat Melayu

Kemunculan Islam turut membawa kesan besar kepada orang Melayu dalam bidang ekonomi. Secara amnya, kedudukan Asia Tenggara terletak di tengah-tengah perjalanan di antara timur dan barat. Keadaan ini telah menyebabkan kawasan ini menjadi pusat persinggahan dan tumpuan pedagang. Sejak abad pertama Masihi lagi muncul kerajaan-kerajaan yang memberikan perhatian kepada aktiviti perdagangan seperti Funan, Srivijaya, Kedah Tua dan seumpamanya. Kehadiran agama Islam telah memperlihatkan pembabitan kerajaan-kerajaan Islam seperti Melaka, Acheh, Brunei, Sulu, Johor, Kedah, Kelantan, dan Terengganu dalam arus perdagangan utara-selatan ini. Malahan, sejarah ekonomi orang Melayu antara abad ke-14 hingga abad ke-15 sering kali dikaitkan dengan perdagangan, pentadbiran negara dan perkembangan agama Islam. Aktiviti perdagangan yang diceburi oleh orang Melayu telah merangsang perkembangan yang berkaitan dengannya seperti penggunaan mata wang, percukaian dan seumpamanya. Kesannya bukan sahaja terdapat dalam sosiobudaya, malah terdapat dalam pelbagai aspek perekonomian.

Perdagangan
Sejak abad ke-12 hingga abad ke-18, aktiviti perdagangan yang membabitkan Lautan Hindi dan Laut China Selatan didominasi oleh pedagangan Islam. Hal ini secara langsung mempengaruhi perkembangan perdagangan di Alam Melayu. Pedagang Melayu turut membabitkan diri secara aktif dalam rangkaian perdagangan timur dan barat ini. Perkembangan pesat sektor perdagangan dalam kalangan orang Melayu ini sangat berkait rapat dengan saranan Islam sendiri yang menegaskan bahawa aktiviti ini merupakan sumber rezeki yang besar, malahan Nabi Muhammad SAW sendiri terbabit secara langsung dalam aktiviti ini sewaktu hayat baginda. Lebih penting lagi, aktiviti perdagangan menjadi salah satu saluran penting yang memesatkan proses pengislaman di Alam Melayu. Menjelang abad ke-15, Melaka menjadi pusat perdagangan yang penting. Meskipun Melaka tidak banyak mengeluarkan barang seperti rempah ratus (lada, bunga cengkih dan sebagainya) yang mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pedagang,namun kedudukannya yang sangat strategic membantu perkembangan Melaka. Kehadiran pedagang asing di Melaka telah menyebabkan kerajaan Melaka menyediakan kemudahan pentadbiran yang licin dan teratur agar aktiviti perdagangan berjalan lancar. Kerajaan Melaka telah mewujudkan jawatan laksanamana bagi menjaga urusan kelautan dan jawatan syahbandar sebagai ketua pelabuhan. Undang-undang Laut Melaka telah digubal dan menjadi landasan yang harus diikuti oleh masyarakat terutama dalam hal ehwal berkaitan dengan tugas-tugas nakhoda, jurumud dan seumpamanya. Kepesatan perdagangan di Melaka dapat dibuktikan dengan terdapatnya lebih kurang 84 bahasa yang dipertuturkan di Melaka. Dalam aktiviti perdagangan di Melaka, suatu sistem timbang dan sukat telah diperkenalkan. Hal ehwal perdagangan termasuklah soal sukat dan timbang ini telah diletakkan di bawah tanggungjawab syahbandar. Peratusan timbang dan sukat di Melaka menggunakan sistem tahil dan kati. Antara barangan yang ditimbang dengan sistem ini termasuklah emas, perak, bahan wangian dan batu permata. Untuk menimbang rempah ratus seperti lada, buah pala, bunga cengkih, bunga lawing dan sebagainya, sistem timbangan yang digunakan ialah sistem bahara, iaitu satu bahara dikira sebagai bersamaan dengan 205 kati. Timbangan ini dilakukan menggunakan dachim (dacing). Dalam urusan perdagangan, dua kaedah digunakan di Melaka, iaitu kaedah pertukaran barang dan kaedah jual beli.
            Kejatuhan Melaka kepada Portugis tidak meruntuhkan semangat pedagangan Melayu. Sebaliknya, aktivitiperdagangan telah diteruskan dengan menjadikan kerajaan Johor sebagai pusat dan tunjang kekuasaan Melayu. Keadaan ini terus berlangsung sepanjang abad ke-17 dan ke-18. Selain itu, negeri-negeri lain turut bergiat cergas dalam bidang perdagangan, Negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu juga menjadi pusar perdagangan yang penting sepanjang abad ke-17 dan ke-18.

Mata Wang
Penggunaan mata wang sebagai perantaraan nilai barangan secara langsungnya memudahkan urusan perdagangan dan jual beli. Sistem penggunaan mata wang ini merupakan alternatif kepada sistem pertukaran barang atau sistem barter. Umumnya, negeri-negeri Melayu menggunakan mata wang yang diperbuat daripada timah. Mata wang timah pada zaman Melaka, misalnya, berbentuk bulat dan beratnya satu kati lapan tahil. Nama sultan yang memerintah serta tarikh Islam dicatat pada mata wang tersebut.
            Mata wang dari Pasai, Hormuz dan Cambay juga digunakan di Melaka serta boleh ditukarkan dengan mata wang tempatan. Di Johor juga terdapat mata wang yang diperbuat daripada timah yang dikenali sebagai wang katun. Mata wang ini berbentuk bulat atau segi enam. Mata wang ini tidak mempunyai tarikh, namun, mempunyai tulisan jawi atau Arab seperti Malik atau Sultan al-Adil. Negeri Kedah juga telah mengeluarkan mata wang timahnya sendiri sejak abad ke-17. Mata wang ini adalah untuk kegunaan tempatan. Jenis mata wang timah Kedah berbentuk seekor ayam jantan yang hinggaap di atas beberapa cincin. Mata wang ini boleh dipatahkan dan digunakan secara berasingan. Selain mata wang yang diperbuat daripada timah, terdapat juga mata wang yang diperbuat daripada emas. Mata wang emas ini digunakan secara meluas di Kedah dan Johor pada abad ke-16. Mata wang emas Johor yang tertua dikenal pasti bertarikh tahun 1527, iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Syah.
            Mata wang emas yang digunakan di Kelantan pula dikenali sebagai kijang kerana terdapat gambar kijang pada muka wang emas tersebut. Mata wang di Johor digelar kupang dan mengandungi emas seberat 10 grain (0.65 gram) dan juga 40 grains (2.6 gram). Tiap-tiap mata wang emas tertera nama dan pangkat sultan yang memerintah dan yang mengeluarkan mata wang tersebut. Di bahagian belakang mata wang itu tertulis gelaran Islam sultan berkenaan seperti Khalifatul Muslimin dan sebagainya. Pada masa tersebut pedagang Eropah telah menggunakan wang perak, manakala pedagang India, China dan Arab menggunakan emas atau mata wang emas.

Percukaian
Salah satu aspek penting yang berlangsung seiring dengan aktiviti perdagangan ialah percukaian. Secara umum, cukai merupakan bayaran yang dikenakan oleh pihak pemerintah terhadap aktiviti yang tertentu atau barangan yang tertentu. Cukai yang diterima ini akan menjadi sebahagian daripada sumber pendapatan kerajaan dan akan disalurkan kembali untuk pembangunan negara. Perkembangan aktiviti perdagangan yang pesat di negeri-negeri Melayu turut memperkembangkan bidang percukaian. Di Melaka, misalnya, para pedagang yang berniaga diwajibkan membayar cukai terhadap barang dagangan mereka sebelum urusan perniagaan dapat dilakukan. Cukai di Melaka pula terbahagi kepada beberapa jenis. Cukai yang paling asas ialah cukai tetap (cukai import) yang jumlahnya telah ditetapkan oleh pemerintah. Para pedagang yang datang dari India, Ceylon, Tanah Arab, Siam dan Pegu dikenakan cukai sebanyak enam peratus daripada jumlah barangan yang dibawa. Pedagang dari Jepun dan China pula dikehendaki membayar cukai sebanyak lima peratus. Selain itu, terdapat barang yang tidak dikenakan cukai seperti beras dan makanan.Setelah cukai dibayar, barulah urusan jual beli dapat dilakukan di bazar-bazar yang disediakan di sepanjang Sugai Melaka. Selain itu, orang asing yang menetap di Melaka juga dikenakan cukai. Orang asing yang datang dari Kepulauan Melayu telah dikenakan cukai diraja sebanyak tiga peratus. Orang asing pula dikenakan cukai diraja sebanyak enam peratus.
            Pengaruh Islam yang mendalam di negeri Melaka serta di negeri Melayu yang llain telah mempengaruhi perkembangan ekonominya. Amalan riba telah tidak dibenarkan dalam bidang perniagaan dalam kalangan orang Islam. Walau bagaimanapun, golongan ceti yang memberikan pinjaman wang telah dibenarkan menjalankan aktiviti mereka. Penegasan bersabit larangan amalan riba ini dijelaskan dalam Hukum Kanun Melaka. Hal yang sama turut ditekankan dan diimplementasikan dalam Hukum Kanun Pahang. Sejajar dengan perkembangan pesat dalam sektor perdagangan, maka pihak pemerintah telah menekankan agar golongan kaya dan berkemampuan membayar zakat ini kemudiannya disimpan oleh baitulmal. Badan ini,  berfungsi untuk menyelenggarakan harta kerajaan. Harta ini akan digunakan bagi kepentingan dan kemakmuran negara serta sebagai sumber bantuan yang sewajarnya kepada ahli masyarakat yang memerlukan bantuan.

No comments:

Post a Comment