Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Saturday 30 May 2020

Kaedah Pengajaran Kemahiran Menulis

Kemahiran menulis merupakan kemahiran bahasa yang kompleks. Kemahiran tersebut dikuasai oleh murid setelah menguasai kemahiran lisan dan kemahiran membaca. Kemahiran menulis diajarkan secara berperingkat-peringkat. Untuk memastikan objektif pengajaran kemahiran menulis, guru boleh menggunakan pendekatan-pendekatan tertentu seperti yang di bawah:
       Pendekatan Terkawal
       Pendekatan Berpandu
       Pendekatan Bebas
       Pendekatan Proses
       Pendekatan Komunikatif
       Pendekatan LEA

Pendekatan Terkawal

Pendekatan  terkawal merupakan satu pendekatan yang digunakan bagi membantu murid menimba pengalaman mengarang supaya mereka biasa dengan struktur karangan. Selain itu, pendekatan ini dapat mengelakkan murid daripada melakukan kesalahan baik dari segi bahasa mahupun dari segi isi. Murid menulis karangan dengan berpandukan sepenuhnya kepada bahan yang disediakan oleh guru. Anatara aktiviti yang sesuai dilaksanakan menurut pendekatan ini ialah menulis karangan berdasarkan gambar bersiri, menyusun ayat sehingga membentuk perkataan lengkap dan sebagainya.

Pendekatan Berpandu

Pendekatan berpandu merupakan pendekatan menulis di mana guru memberikan isi karangan kepada murid sebagai panduan dalam menulis. Antara contoh aktiviti yang signifikan dengan pendekatan ini ialah murid membina ayat berdasarkan perkataan atau rangkai kata yang telah diberikan oleh guru. Selain itu, murid mengisi tempat kosong dengan menggunakan perkataan mereka sendiri bagi melengkapkan perenggan. Bagi memudahkan murid dalam penulisan, guru boleh menyediakan bahan bantu mengajar seperti kad imbasan dan kad perkataan. Murid mengolah isi berdasarkan pendahuluan dan pengakhiran cerita yang diberikan oleh guru. Penggunaan pendekatan berpandu ini dapat meminumkan murid daripada melakukan sebarang kesalahan dalam penulisan. Menurut pendekatan ini, murid terlebih dahulu didedahkan dengan latihan memadankan ayat. Sekiranya murid telah mahir dalam aktiviti tersebut, aras latihan akan ditingkatkan. Penulisan karangan boleh dilakukan dalam bentuk grafik sebelum ditulis dalam bentuk wacana yang lengkap.

Pendekatan Bebas

Pendekatan bebas merupakan pendekatan yang relevan dilaksanakan untuk kumpulan murid yang sudah menguasai aspek penulisan dengan baik. Murid menulis karangan berdasarkan tajuk yang diberikan oleh guru. Dalam penghasilan karangan, murid mencari isi karangan sendiri tanpa bantuan guru. Setelah mencari isi, murid menyusun isi dan membuat rangka karangan. Berdasarkan pendekatan ini, guru boleh memberikan beberapa perkataan atau rangkai kata tertentu bagi membantu murid memantapkan lagi pengolahan murid. Penggunaan peribahasa amat digalakkan menurut pendekatan ini.

Pendekatan Proses

Pendekatan proses tidak memberatkan hasil tetapi melibatkan proses yang dilalui oleh murid-murid. Pada peringkat permulaan, murid mengumpul bahan berdasarkan tajuk yang diberikan oleh guru. Pengumpulan bahan tersebut boleh dilakukan secara berkumpulan atau individu. Bahan-bahan yang telah dikumpul disimpan di dalam folio. Bahan-bahan daripada folio disaring untuk menentukan kesesuaian dengan tajuk karangan yang diberikan kepada mereka. Penggunaan sumber bahan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) adalah digalakkan. Bahan yang tidak digunakan disimpan semula ke dalam folio untuk kegunaan bagi tajuk karangan yang lain. Setelah itu, murid menyusun isi karangan yang diperoleh daripada bahan tersebut. Dalam peringkat menyusun isi, murid berbincang dengan guru. Isi yang telah disusun ditulis dalam bentuk karangan. Rangka karangan yang telah mantap, ditulis dalam bentuk penulisan yang lengkap. Murid mengedit karangan yang telah disiapkan dan melakukan mpembetulan terhadap sebarang kesalahan dalam penulisan. Setelah selesai melakukan pengeditan dan pembetulan, karangan tersebut dihantar kepada guru untuk dinilai. Berdasarkan pendekatan ini, tumpuan guru adalah terhadap proses mengarang yang dilalui oleh murid bermula daripada proses mengumpul bahan, menyaring bahan, menyusun bahan, mengolah bahan ke dalam bentuk pemerengganan yang sesuai, mengedit penulisan dan menghantat hasil penulisan kepada guru.

Pendekatan Komunikatif

Pendekatan komunikatif merujuk kepada penulisan berdasarkan fungsi bahasa sebagai alat perhubungan. Penekanan diberikan kepada penggunaan bahasa yang berkesan dalam mengungkapkan isi cerita dan kurang memberi fokus terhadap aspek penstrukturan karangan. Murid diberikan laihan mengemukakan pendapat mereka tentang sesuatu idea. Murid diminta bercerita tentang sesuatu dalam konteks perbincangan autentik. Menurut pendekatan ini, bentuk penulisan murid lebih kepada bentuk melaporkan sesuatu kejadian dalam konteks dan suasana kejadian sebenar. Penggunaan bahan rangsangan seperti bahan multimedia dapat membantu murid dalam mengemukakan penceritaan.

Pendekatan LEA (Language Experience Approach)

Menurut pendekatan LEA, guru meransang perbincangan berkaitan tajuk yang dipilih. Murid digalakkan memberi sumbangan untuk membina cerita. Perkataan tertentu yang akan digunakan dalam petikan disebut dalam perbincangan oleh guru. Murid diminta membina ayat berdasarkan idea yang mereka berikan. Setelah itu, guru membimbing murid memberi tajuk cerita. Guru menulis ayat untuk membina cerita bertulis. Setelah cerita selesai ditulis, guru membaca cerita tersebut membaca secara nyaring untuk didengar oleh murid. Murid menyalin teks cerita yang ditulis oleh guru. Murid menggariskan perkataan yang mereka tahu. Kemudian, guru meminta murid menggunakan perkataan yang mereka tahu dalam situasi yang sesuai.

No comments:

Post a Comment