Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Saturday, 30 May 2020

Contoh Penulisan Jurnal Reflektif (Praktikum)

Bilangan Jurnal
:
Kedua
Minggu Praktikum
:
Kedua
Tarikh Peristiwa / Kejadian
:
24 Februari 2019 - 1 Mac 2019
Tajuk Jurnal
:
Masalah Penggunaan Bahan Bantu Mengajar

Masalah / Peristiwa:
Pada minggu kedua praktikum, saya menghadapi masalah dalam penggunaan bahan bantu mengajar dalam kalangan murid bagi pembelajaran dan pemudahcaraan modul kemahiran menulis.

Analisis:
Masalah ini timbul kerana beberapa bahan bantu mengajar yang saya gunakan iaitu kad gambar dan kad frasa terlalu besar lalu menyebabkan murid menghadapi masalah untuk menyusun kad gambar dan kad frasa tersebut mengikut urutan dengan betul pada kertas sebak yang dibekalkan. Hal ini demikian kerana, kad gambar dan kad frasa yang guru sediakan mempunyai saiz yang besar dan tidak muat dilekatkan pada kertas sebak. Perkara ini menyebabkan murid terpaksa menggunting kad gambar dan kad frasa yang dibekalkan lalu mengakibatkan masa pelaksanaan bagi aktiviti tersebut melebihi peruntukan masa yang dirancang. Menurut Mohamad Ali et al. (2012), penggunaan alat dan bahan bantu mengajar yang bersesuaian amat penting dalam pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan pemudahcaraan. Dalam hal ini, alat dan bahan bantu mengajar yang digunakan seharusnya dapat digunakan secara efisien. Untuk itu, guru seharusnya memastikan saiz alat dan bahan bantu mengajar tersebut bersesuaian dengan murid yang diajar. Oleh yang demikian, saya seharusnya menyediakan kad gambar dan kad frasa yang mempunyai saiz bersesuaian agar semua kad gambar dan kad frasa tersebut dapat dilekatkan pada kertas sebak oleh murid.
 
Cadangan Tindakan Susulan:
Antara cadangan tindakan susulan yang saya ambil ialah memastikan alat dan bahan bantu mengajar yang saya sediakan mempunyai saiz yang sesuai agar dapat digunakan oleh murid dengan optimum. Selain itu, saya juga akan menggantikan kertas sebak kepada kad aliran untuk membolehkan murid melekatkan kad gambar dan kad frasa dengan lebih mudah tanpa menggunting kad gambar dan kad frasa tersebut. Di samping itu, saya juga akan melakukan perbincangan dengan rakan-rakan internship di Sekolah Kebangsaan Batu 4 Jalan Apas berkenaan dengan penghasilan alat dan bahan bantu mengajar yang bersesuaian dengan aktiviti pembelajaran dan pemudahcaraan.

Tempoh Masa Tindakan Susulan:
Saya cuba mengatasi masalah ini dalam tempoh seminggu. Penggunaan alat dan bahan bantu mengajar yang sesuai dari pelbagai aspek amatlah penting ke arah melancarkan lagi proses pembelajaran dan pemudahcaraan. Perkara ini adalah penting untuk memastikan bahawa alat dan bahan bantu mengajar digunakan mempunyai ciri-ciri alat dan bahan bantu mengajar yang baik.

No comments:

Post a Comment