Pages

facebook

sign up

Your Name
Your Email Address
    

Saturday 30 May 2020

Latar Belakang Masyarakat Melayu

Menurut Mohd Ashraf Ibrahim et al. (2018), Asal usul bangsa Melayu merupakan sesuatu yang sukar ditentukan. Meskipun terdapat beberapa kajian dilakukan untuk menjelaskan perkara ini, tetapi kata sepakat antara para sarjana belum dicapai. Secara amnya, terdapat dua teori mengenai asal-usul tentang tempat asal orang Melayu seperti yang dikemukakan oleh ahli arkeologi dan ahli linguistik iaitu teori Yunan dan teori Nusantara.

(i)         Teori Yunan

Berdasarkan teori ini, orang Melayu dikatakan berasal dari kawasan selatan China. Pelbagai nama digunakan untuk merujuk kepada kawasan tersebut, antaranya Indo-China, pantai timur China Selatan, iaitu di Champa dan Kampuchea dan ada pendapat yang mengatakan tempat tersebut ialah burma. Penghijrahan dari utara (bahagian selatan China) ke selatan, iaitu Nusantara, dilakukan secara berkelompok-kelompok. Walau bagaimanapun, sebab-sebab perpindahan masih tidak dapat dipastikan. Perpindahan ini telah menurunkan kelompok Melayu. Kelompok Melayu yang pertama sampai ke kawasan Nusantara dinamakan sebagai Melayu-Proto. Kelompok Melayu kedua pula ialah Melayu Deutro. Golongan Melayu-Deutro pula telah menurunkan orang Melayu moden. Mereka dikatakan mempunyai peradaban yang lebih tinggi daripada Melayu-Proto. Golongan ini lebih pandai dan berkemahiran jika dibandingkan dengan Melayu-Proto. Mereka telah membina petempatan di pesisir pantai dan menetap di situ. Meskipun begitu, teori orang Melayu berasal dari Yunan agak meragukan. Hal ini kerana terdapat bukti arkeologi yang menunjukkan bahawa manusia moden telah menghuni Alam Melayu sejak 35 000 tahun yang lalu. Perkara ini bertentangan dengan tarikh penghijrahan kelompok Melayu proto dan deutro iaitu pada 2 000 SM.

(ii)        Teori Nusantara

Berdasarkan teori Nusantara ini, orang Melayu dikatakan manusia asal yang memang telah wujud di Nusantara. Oleh itu, orang-orang Melayu merupakan orang tempatan. Sarjana yang mengemukakan teori ini menyenaraikan beberapa buah tempat yang dirujuk sebagai kawasan asal Austronesia, iaitu nenek moyang orang Melayu. Kawasan asal yang dicadangkan oleh para sarjana ini adalah berdasarkan beberapa bukti.
Bukti yang pertama dapat dilihat menerusi aspek kebudayaan. Crawfurd telah menyatakan bahawa tanah asal orang Melayu adalah di Sumatera dan Jawa. Hal ini kerana kedua-dua buah kawasan ini memperlihatkan perkembangan kebudayaan yang sangat menonjol berbanding bahagian-bahagian lain di Nusantara. Orang Melayu yang telah bergerak dari Sumatera dan Jawa ke bahagian-bahagian lain di Nusantara seperti di Semenanjung Tanah Melayu ini turut membawa kebudayaan mereka. Hal ini menyebabkan kebudayaan mereka tersebar ke kawasan lain dan lebih menonjol berbanding kebudayaan lain. Oleh itu, orang Melayu tidak berasal dari mana-mana tempat di luar Nusantara, tetapi mereka merupakan induk yang tersebar ke bahagian lain.
Bukti yang kedua ialah aspek bahasa. Marsden mendapati bahawa bahasa Melayu serumpun dengan bahasa Polinesia, Melanesia, dan Mikronesia. Induk kepada bahasa-bahasa ini ialah Austronesia kerana terdapat kekerabatan antara bahasa-bahasa tersebut. Bahasa Austronesia ini tersebar ke pesisir pantai timur (Lautan Pasifik), pantai barat (Lautan Hindi), dan selatan Asia (kawasan Nusantara) sahaja dan tidak termasuk ke wilayah Asia Tengah. Dyen pula menyatakan bahawa orang Melayu berasal dari tiga buah tempat, iaitu Melanesia, Formosa, atau New Guine. Tempat ini berdasarkan bukti bahawa setiap bahasa di kawasan ini mempunyai kekerabatan. Berdasarkan kajian, beliau mendapati bahasa yang terpisah lebih awal mempunyai peratusan kekerabatan yang rendah, sebaliknya bahasa yang baru terpisah mempunyai peratusan kekerabtan yang tinggi. Kekerabatan bahasa dapat dilihat menerusi persamaan beberapa perkataan yang digunakan, persamaan dari segi bentuk kata, dan persamaan dari segi struktur bahasa. Perkara ini menunjukkan bahawa bahasa yang dituturkan di Nusantara berasal daripada induk yang sama.

No comments:

Post a Comment